Dokumen tersebut membahas tentang hukum dan syarat-syarat penggunaan hadis dha'if. Ia menjelaskan pendapat para ulama tentang diperbolehkannya penggunaan hadis dha'if dalam konteks keutamaan beramal, dengan ketentuan memenuhi 3 syarat yakni kelemahan hadis tidak berat, sejalan dengan prinsip-prinsip agama, dan tidak dijadikan ukuran kepastian. Dokumen ini juga menekankan pentingnya menge
Pembiasaan Pembacaan Hadits dan Penerapannya untuk Mewujudkan Akhlak Rasulul...
Hadis dha
1. Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya
1. Kata-Kata al-Imam al-Nawawi.
2. Pendapat para ilmuan berkenaan pengamalan hadis dha‘if
3. Syarat-syarat pengamalan hadis dha‘if:
- Ulasan kepada syarat pertama
- Ulasan kepada syarat kedua.
- Ulasan kepada syarat ketiga
4. Memberi prioriti kepada hadis sahih dan hasan
5. Hadis dha‘if tidak boleh dijadikan ukuran nilai sesuatu amal
6. Rujukan
Dalam risalah ini penulis akan cuba mengupas isu beramal dengan
hadis yang dha‘if. Kupasan ini adalah bersifat umum tanpa terhad
kepada bebrapa isu sahaja kerana terdapat banyak amalan kita di
Malaysia yang disandarkan kepada hadis-hadis yang dha‘if.
1. Kata-Kata al-Imam al-Nawawi.
Kebanyakan orang yang membolehkan penggunaan hadis dha‘if
menyandarkan hujah mereka kepada kata-kata al-Imam al-Nawawi
rahimahullah (676H):[1]
Berkata para ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli fiqh dan selain
mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan hadis dha‘if
dalam bab keutamaan (al-Fadha’il), memberi anjuran (al-Targhib) dan
amaran (al-Tarhib) asalkan ianya bukan hadis maudhu’.
Adapun dalam bab hukum-hakam seperti halal dan haram, jual-beli,
penceraian dan apa-apa lain yang seumpama, tidak boleh beramal
dengan hadis dha‘if kecuali dengan hadis yang sahih atau hasan.
Melainkan jika hadis-hadis tersebut bersangkutan dengan sikap
berhati-hati terhadap bab-bab tersebut, seperti hadis dha‘if yang
menyebutkan makruhnya hukum melakukan sebahagian bentuk jual-
beli atau pernikahan, maka disunatkan untuk menghindari
daripadanya (yang makruh tersebut) namun ia tidak jatuh kepada
hukum wajib.
Ada yang menerima kata-kata al-Imam al-Nawawi di atas sebulat-
bulatnya, bahkan menganggap mudah bahawa pengamalan hadis
dha‘if diperbolehkan asalkan ianya bukan hadis maudhu’. Sebenarnya
terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan oleh seseorang
2. sebelum dia boleh mengamalkan hadis dha‘if. Syarat-syarat ini juga
diketahui dan dipegang oleh al-Imam al-Nawawi, hanya beliau tidak
menggariskannya dalam kitabnya al-Azkar kerana kitab tersebut
bukanlah kitab ilmu hadis tetapi kitab yang dipermudahkan untuk
menjadi amalan orang ramai. Hal ini seperti yang disebutkan sendiri
oleh al-Imam al-Nawawi di bahagian muqaddimah kitab al-Azkarnya
tersebut.
2. Pendapat para ilmuan berkenaan pengamalan hadis dha‘if
Dalam kata-kata al-Imam al-Nawawi di atas, beliau menyebut
bahawa: “Berkata para ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli fiqh
dan selain mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan
hadis dha‘if……” Kata-kata di atas sebenarnya bukan mencerminkan
pandangan ijma’ tetapi jumhur ilmuan Islam. Hal ini diterangkan oleh
al-Hafiz al-Sakhawi rahimahullah (902H):[2]
……bahawa dalam pengamalan hadis dha‘if terdapat tiga pendapat:
(yang pertama adalah) tidak dibolehkan beramal dengannya secara
mutlak, (yang kedua adalah) boleh beramal dengannya jika dalam bab
tersebut tidak ada yang selainnya (tidak ada hadis yang sahih atau
hasan) dan yang ketiga – ini merupakan pendapat jumhur – boleh
beramal dengannya dalam bab keutamaan asalkan bukan dalam bab
hukum-hakam sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini akan
syarat-syaratnya.
3. Syarat-syarat pengamalan hadis dha‘if.
Sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi di atas, jumhur
ilmuan membolehkan penggunaan hadis dha‘if dalam bab keutamaan
beramal selagi mana diperhatikan syarat-syaratnya. Syarat-syarat
tersebut dikemukakan oleh beliau seperti berikut:[3]
Saya mendengar guru kami rahimahullah (yakni al-Hafiz Ibn Hajar al-
Asqalani, 852H) selalu berkata, bahkan telah mencatitkannya dengan
tulisannya untuk saya bahawa syarat pengamalan hadis dha‘if ada
tiga:
1. Yang disepakati, bahawa kelemahan hadis tersebut tidak berat.
Maka terkeluarlah apa yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang
dusta atau dituduh sebagai pemalsu hadis serta yang parah
kesalahannya.
2. Bahawa ianya mencakupi asas umum (agama). Maka terkeluarlah
3. sesuatu yang diada-adakan kerana tidak memiliki dalil asas yang
mengasaskannya.
3. Bahawa ia diamalkan tanpa berkeyakinan ia adalah sabit (daripada
Nabi), agar tidak disandarkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
apa yang tidak disabdakan olehnya.
Seterusnya marilah kita mengulas lanjut tiga syarat di atas.
3.1 Ulasan kepada syarat pertama
Hadis dha‘if yang diperbolehkan penggunaannya ialah hadis yang
ringan kelemahannya. Maka dari sini dapat kita ketahui bahawa setiap
hadis yang ingin digunakan, sekalipun untuk tujuan keutamaan
beramal dan memberi anjuran serta amaran, perlu dirujuk kepada
sumbernya yang asal dan disemak darjatnya. Ini kerana tanpa
merujuk kepada sumbernya yang asal dan menyemak darjatnya, kita
tidak akan mengetahui sama ada kelemahannya adalah ringan atau
berat. Dirujuk kepada sumbernya yang asal bererti mencari hadis
tersebut dalam kitab-kitab hadis sama ada ia benar-benar wujud atau
tidak. Disemak darjatnya bererti dikaji sanadnya sama ada ianya sahih
atau tidak. Jika ianya tidak sahih, maka disemak sama ada
kelemahannya adalah ringan atau berat. Jika kelemahannya ringan
maka ia lulus syarat yang pertama ini, jika kelemahannya adalah berat
maka ia gagal.
Di sini penulis merasa perlu untuk membetulkan salah faham
masyarakat, termasuk para da’i, penceramah, penulis dan ilmuan
yang selain daripada ahli hadis, yang berpendapat boleh menggunakan
apa jua hadis asalkan ia duduk di dalam bab keutamaan beramal (al-
Fadha‘il) dan memberi anjuran serta amaran (al-Targhib wa al-Tarhib).
Mereka tidak menyemak asal-usul hadis tersebut sama ada ia wujud
atau tidak dalam kitab-kitab hadis yang lengkap dengan sanadnya.
Lebih memberatkan, mereka tidak memberi perhatian langsung
kepada darjatnya. Setiap hadis yang mereka temui dalam bab ini
disampaikan terus dalam kuliah-kuliah atau karya-karya mereka.
Ini sebenarnya adalah kesalahan yang amat berat. Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang
menceritakan (atau meriwayatkan) satu hadis dan dia pandang hadis
tersebut sebagai dusta, maka dia termasuk dalam salah seorang
pendusta.” [Shahih Muslim, muqaddimah] Terhadap hadis ini, al-Imam
Ibn Hibban rahimahullah (354H) menukil daripada al-Imam Abu Hatim
rahimahullah:[4]
4. Dalam hadis ini terdapat dalil yang membenarkan apa yang kami
sebut, bahawa apabila seseorang itu meriwayatkan sebuah hadis yang
tidak sah daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, apa sahaja hadis
yang disandarkan kepada baginda, padahal dia mengetahui bahawa ia
tidak sah, (maka) dia termasuk salah seorang pendusta.
Malah maksud zahir hadis ini adalah lebih berat kerana baginda
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menceritakan
(atau meriwayatkan) satu hadis dan dia pandang hadis tersebut
sebagai dusta…”, baginda tidak mengatakan bahawa orang tersebut
yakin bahawa hadis tersebut adalah dusta (tetapi sekadar
memandangnya sebagai dusta). Maka setiap orang yang ragu-ragu
sama ada yang diriwayatkannya itu adalah sahih atau tidak sahih
termasuk dalam zahir perbicaraan hadis ini.
Perkara yang sama juga disebut oleh al-Imam al-Thohawi
rahimahullah (321H):[5]
Sesiapa yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam berdasarkan sangkaan, bererti dia menyampaikan
hadis daripada baginda secara tidak benar. (Sesiapa yang)
menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar bererti dia
menyampaikan hadis daripada baginda secara batil. (Sesiapa yang)
menyampaikan hadis daripada baginda secara batil (maka) dia
berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadis.
Mereka termasuk dalam sabdanya shallallahu 'alaihi wasallam:
“Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka hendaklah dia mengambil
tempat duduknya di dalam neraka.” Kami berlindung daripada Allah
Ta‘ala daripada yang sedemikian.
Berdasarkan syarat yang pertama ini, hendaklah kita pastikan bahawa
setiap hadis yang digunakan untuk tujuan keutamaan beramal dan
memberi anjuran serta amaran memiliki sumber rujukannya serta
dijelaskan darjatnya. Tidak boleh disampaikan sesuatu hadis dengan
sangkaan ia memiliki rujukan dan darjat yang paling rendah adalah
ringan kelemahannya kerana sangkaan seperti ini termasuk dalam
kategori mendustakan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Umpamakan hal ini seperti seorang jurujual yang mempromosi sebuah
buku. Dia menceritakan kepada para pelanggannya bahawa buku
tersebut adalah baik serta banyak maklumat yang benar lagi besar
manfaatnya. Padahal si jurujual itu sendiri pada asalnya tidak pernah
membaca buku tersebut untuk membezakan sama ada ia adalah baik
5. atau tidak, jauh sekali daripada mengkaji maklumat di dalamnya sama
ada ia adalah benar atau tidak. Nah, apa yang dipromosikan oleh si
jurujual ini terbuka kepada kemungkinan benar dan salah. Namun oleh
kerana dia tetap membuat promosi tanpa menerangkan hakikat yang
sebenar, dia sebenarnya berdusta kepada para pelanggannya.
Demikianlah juga dengan seseorang yang menyampaikan hadis Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam tanpa dia sendiri mengetahui asal usul dan
darjatnya. Apa yang disampaikannya terbuka kepada kemungkinan
benar atau salah. Namun apabila dia tetap menyampaikan hadis
tersebut dan menyandarkannya kepada Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam, dia juga dikira berdusta ke atas baginda. Oleh itu hendaklah
kita sentiasa peka kepada syarat yang pertama ini, sama ada kita
adalah sebagai penyampai atau penerima hadis-hadis Nabi shallallahu
'alaihi wasallam. Pastikan ia memiliki sumber rujukan dan dijelaskan
darjatnya. Jika syarat yang pertama ini tidak dipenuhi, hendaklah
hadis tersebut ditinggalkan sekalipun ia memiliki kedudukan yang
masyhur di kalangan masyarakat.
3.2 Ulasan kepada syarat kedua.
Hadis dha‘if tidak boleh digunakan untuk menetapkan sesuatu amalan,
perintah atau larangan. Peranan hadis dha‘if tidak lain sekadar
menerangkan keutamaan satu amalan yang telah ditetapkan oleh al-
Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Hadis dha‘if juga tidak boleh
digunakan untuk menganjur atau melarang sesuatu perkara melainkan
perkara tersebut telah tetap hukumnya daripada al-Qur’an dan/atau
hadis yang sahih. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H)
berkata:[6]
Berkata (al-Imam) Ahmad bin Hanbal, apabila datang (persoalan)
halal dan haram kami memperketatkan semakan sanad dan apabila
datang (persoalan) memberi anjuran dan amaran (al-Targhib wa al-
Tarhib) kami memudahkan semakan sanad. (Ibn Taimiyyah mengulas
lanjut): Demikianlah apa yang disepakati oleh para ilmuan tentang
beramal dengan hadis dha‘if dalam keutamaan beramal. Ia tidaklah
bermaksud menetapkan hukum sunat berdasarkan hadis yang tidak
boleh dijadikan hujah dengannya (kerana ia adalah dha‘if). Ini kerana
“sunat” merupakan hukum syari‘at yang tidak boleh ditetapkan
melainkan dengan dalil syari‘at juga. Sesiapa yang mengkhabarkan
daripada Allah bahawasanya Dia menyukai (menyunatkan) sesuatu
amal tanpa dalil syari‘i maka sungguh dia telah mensyari‘atkan dalam
agama apa yang tidak diizinkan Allah.
6. Sebagai contoh, hadis-hadis berkenaan puasa pada bulan Rejab dan
solat khusus pada malam-malam tertentu bulan Rejab semuanya tidak
ada yang sahih. Syaikh Sayid Sabiq menegaskan:[7]
Berkenaan puasa pada bulan Rejab, tidak ada kelebihan yang
menonjol (tentang bulan Rejab) berbanding bulan-bulan lain, kecuali
bahawa ia termasuk daripada bulan-bulan haram (yakni bulan
Zulqa‘idah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab). Tidak diterima dalam
sunnah yang sahih bahawa berpuasa dalam bulan Rejab memiliki
keutamaan yang khusus. Adapun apa yang datang tentangnya
(keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), ia tidak dapat
dipertanggungjawabkan sebagai hujah. Berkata (al-Hafiz) Ibn Hajar
(al-Asqalani), tidak diterima (apa-apa) hadis yang sahih yang dapat
dijadikan hujah tentang keutamaannya (bulan Rejab), mahupun
tentang puasanya dan puasa pada hari-hari tertentu daripadanya
mahupun solat pada malam yang tertentu daripadanya.
Apabila tidak wujud hadis yang sahih yang menetapkan wujudnya
“Puasa sunat Rejab” dan “Solat malam Rejab yang ke sekian-sekian
hari”, hadis-hadis yang menerangkan keutamaan berpuasa dan
bersolat pada bulan Rejab tidak memiliki apa-apa nilai. Yang lebih
penting, ia tidak boleh dijadikan dalil untuk menghukum sunat
berpuasa dan bersolat secara khusus kerana bulan Rejab.
Sebenarnya terdapat banyak lagi amalan yang dilakukan oleh umat
Islam berdasarkan hadis yang dha‘if tanpa diperhatikan sama ada
amalan tersebut terlebih dahulu telah ditetapkan atau tidak oleh dalil
al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Setakat ini berdasarkan ulasan
kepada syarat yang pertama dan kedua, hendaklah setiap orang yang
ingin beramal dengan hadis dha‘if menyemak terlebih dahulu bahawa:
1. Hadis yang ingin dijadikan sumber amalan memiliki rujukan dalam
kitab yang asal dan telah disemak bahawa ia sekurang-kurangnya
memiliki darjat kelemahan yang ringan.
2. Amalan tersebut telah ditetapkan berdasarkan dalil al-Qur’an
dan/atau hadis yang sahih manakala hadis yang lulus syarat pertama
di atas tidak lain hanyalah untuk menerangkan keutamaan amalan
tersebut.
3.3 Ulasan kepada syarat ketiga
Apabila menggunakan hadis dha‘if yang telah memenuhi dua syarat
7. yang pertama di atas, hendaklah diingati bahawa tidak boleh
berkeyakinan hadis tersebut adalah sabit daripada Nabi shallallahu
'alaihi wasallam. Berdasarkan syarat yang ketiga ini, para ahli hadis
telah menetapkan bahawa hadis yang dha‘if tidak boleh disandarkan
sebutannya kepada diri Rasulullah secara jelas tetapi perlu
diisyaratkan kelemahannya.
Misalnya, tidak boleh berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
telah bersabda bahawa……” tetapi hendaklah berkata: “Dalam kitab
Mu’jam al-Kabir oleh al-Imam al-Thabarani, terdapat sebuah hadis
dha‘if yang berbunyi ……” atau apa-apa lain yang seumpama. Al-Imam
al-Nawawi menjelaskan:[8]
Berkata para ilmuan peneliti (al-Muhaqqiqun) daripada kalangan ahli
hadis dan selain mereka, apabila sebuah hadis adalah dha‘if tidak
boleh dikatakan terhadapnya “Telah bersabda Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam …” atau “Rasulullah telah berbuat…” atau “Rasulullah
telah memerintahkan…” atau “Rasulullah telah melarang…” atau
“Rasulullah telah menghukum…” dan apa-apa lain yang
menyerupainya daripada bentuk kalimah yang menunjukkan
kepastian.
Demikian juga, tidak boleh dikatakan terhadap (hadis dha‘if tersebut)
“Diriwayatkan oleh Abu Hurairah…” atau “Berkata Abu Hurairah…” atau
“Disebut oleh Abu Hurairah…” atau “Dikhabarkan oleh Abu Hurairah…”
atau “Dihadiskan oleh Abu Hurairah…” atau “Dinukil oleh Abu
Hurairah…” dan apa-apa lain yang menyerupainya. Demikian juga,
tidak boleh dikatakan yang seumpama terhadap para tabi’in dan
orang-orang sesudah mereka terhadap apa yang dha‘if. Tidak boleh
berkata terhadap apa jua riwayat yang dha‘if dengan kalimah yang
menunjukkan kepastian.
Sesungguhnya yang (boleh) dikatakan hanyalah “Diriwayatkan
daripadanya…” atau “Dinukil daripadanya…” atau “Dihikayatkan
daripadanya…” atau “Didatangkan daripadanya…” atau “Disampaikan
daripadanya…” ……… dan apa yang menyerupainya daripada kalimah
yang menunjukkan kelemahan, tidak daripada kalimah yang
menunjukkan kepastian.
Mereka (para ilmuan peneliti) berkata, kalimah yang menunjukkan
kepastian ditujukan untuk hadis yang sahih atau hasan manakala
kalimah yang menunjukkan kelemahan ditujukan kepada apa yang
selain daripada kedua-dua (bukan hadis sahih dan bukan hadis
hasan).
8. Amat penting untuk mengisyaratkan kedha‘ifan hadis tersebut agar:
1. Orang ramai dapat mengetahui bahawa si penyampai telah
menyemak sumber dan darjat hadis tersebut,
2. Orang ramai tidak menganggapnya sebagai sebuah hadis yang
sahih,
3. Orang ramai tidak menetapkan hukum berdasarkan hadis tersebut,
4. Seandainya wujud kemusykilan dalam maksud hadis tersebut, ia
tidak mengelirukan orang ramai kerana mereka tahu ia tidak sahih.
Jika syarat ketiga ini tidak diperhatikan, orang ramai tidak akan dapat
membezakan antara hadis yang sahih dan tidak sahih. Akibatnya
mereka akan mengamalkan hadis tersebut sebagai sumber hukum dan
menyebarkannya kepada masyarakat dengan anggapan ia adalah
benar dan baik. Akhirnya ia akan menjadi masyhur dan sebati di
dalam masyarakat dan menganggapnya sebahagian daripada syari‘at
Islam. Ini sama-sama dapat kita perhatikan di negara kita sendiri
masa kini. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah mengingatkan
tentang natijah buruk ini kira-kira 500 tahun yang lalu:[9]
Sedia dikenali bahawa para ahli ilmu mempermudahkan penerimaan
hadis dalam bab keutamaan (al-Fadha’il) sekalipun di dalamnya
memiliki kelemahan selagi mana ia bukan hadis maudhu’. Namun
disyaratkan bagi orang yang mengamalkannya bahawa dia yakin hadis
tersebut adalah dha‘if dan dia tidak memasyhurkannya kerana
dibimbangi seseorang lain akan beramal dengan hadis yang dha‘if
tersebut (tanpa mengetahui ia adalah dha‘if) sehingga mensyari‘atkan
apa yang tidak disyari‘atkan atau dia meriwayatkannya kepada
sebahagian orang yang jahil sehingga disangkakan ia adalah sunnah
yang sahih.
Demikianlah ulasan kepada tiga syarat penting yang perlu diperhatikan
oleh setiap orang yang ingin menggunakan hadis dha‘if. Apabila
sesebuah hadis telah lulus tiga syarat di atas, terdapat dua perkara
tambahan yang perlu diperhatikan, iaitu:
4. Memberi prioriti kepada hadis sahih dan hasan
Jika di dalam sebuah bab terdapat hadis-hadis yang sahih, hasan dan
9. dha‘if, maka hendaklah seseorang itu memberi prioriti kepada yang
sahih dan hasan sahaja. Sebabnya:
1. Hadis yang sahih dan hasan adalah sabit daripada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam manakala hadis yang dha‘if masih terbuka
kepada kemungkinan benar dan salah. Maka berpegang kepada yang
pasti adalah lebih utama daripada yang diragui.
2. Menyibukkan diri dengan hadis yang dha‘if lazimnya akan
menyebabkan hadis yang sahih dan hasan terpinggir. Ini kerana setiap
individu memiliki kemampuan yang terhad. Jika kemampuan itu
dipenuhi dengan menyibukkan diri dengan hadis dha‘if, maka hadis
yang sahih dan hasan akan tercicir daripada dirinya.
Poin kedua di atas pernah diulas oleh al-Imam ‘Abd al-Rahman bin
Mahdi rahimahullah (198H): [10]
Tidaklah wajar seseorang itu menyibukkan dirinya dengan menulis
hadis-hadis yang dha‘if kerana kesibukannya itu akan mengakibatkan
tercicirnya hadis daripada para perawi yang thiqah (terpercaya = hadis
sahih) sebanyak hadis daripada perawi lemah yang ditulisnya.
Izinkan penulis memberi satu contoh. Setiap tahun ketika tibanya
Nisfu Sya’ban, ada di antara kita yang berpuasa, bersolat malam,
membaca surah Yasin tiga kali dengan doa tertentu di antaranya dan
pelbagai lagi. Semua amalan ini sebenarnya tidak pernah ditetapkan
oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Hadis-hadis yang
menganjurkannya tidak ada yang sahih dan tidak boleh dijadikan
dasar bagi menetapkan sesuatu amalan. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi
hafizahullah menukil kata-kata al-Imam Ibn al-‘Arabi rahimahullah
(543H) dalam persoalan ini:[11]
Tidak ada sebuah hadis jua yang dipercayai kesahihannya mengenai
keutamaan malam Nisfu Sya’ban. Jika kita (hendak) menerima hadis-
hadis yang menerangkan keutamaan malam Nisfu Sya’ban dan kita
hendak memperingatinya dengan amal kebajikan, maka hal ini tidak
pernah berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mahupun daripada para sahabat radhiallahu ‘anhum dan kaum
muslimin abad-abad pertama. Padahal mereka semua termasuk umat
Islam yang terbaik.
Daripada semua sumber tersebut tidak ada riwayat yang menerangkan
bahawa malam Nisfu Sya’ban diperingati dengan berkumpul di masjid-
masjid, membaca doa-doa tertentu dan melakukan solat-solat khusus
10. seperti yang kita saksikan di beberapa negeri kaum muslimin. Bahkan
di beberapa negeri sejumlah orang berkumpul sesudah solat Maghrib
di masjid-masjid lalu membaca surah Yasin, solat dua rakaat dengan
niat memohon panjang umur, ditambah dua rakaat lagi dengan doa
dijauhkan ketergantungan hidup daripada orang lain, kemudian
mereka membaca doa panjang lebar yang tidak berasal daripada
seorang pun daripada kalangan Salaf. Doa yang mereka baca itu pula
menyalahi nas-nas (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta mengandungi hal-
hal yang saling berlawanan maksudnya.
Dalam kesibukan kita membaca, menyebar dan mengamalkan hadis-
hadis yang dha‘if berkenaan malam Nisfu Sya’ban, kita telah keciciran
sebuah hadis yang sahih mengenainya. Hadis tersebut ialah: “Allah
akan memperhatikan semua makhluk pada malam Nisfu Sya’ban,
maka Dia mengampuni semua makhluknya kecuali orang musyrik dan
yang bermusuhan (sesama sendiri).”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Hibban, berkata Syaikh
Syu‘aib al-Arna’uth hafizahullah dalam semakannya ke atas Shahih Ibn
Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut 1997) jld. 12, ms. 481, no:
5665: “Hadis sahih bi syawahid.” Hadis ini juga dihimpun oleh al-Imam
al-Munziri rahimahullah (656H) dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib
(Dar Ibnu Katsir, Damsyik 1999), jld. 2, ms. 51, no: 1517. Berkata
para penyemak: Shaikh Samir Ahmad al-‘Athar, Yusuf Ali Badiwi &
Muhyiddin Dibb Matsu: “Sahih bi syawahid.” Berkata Syaikh al-Albani
dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh
2000), jld. 1, ms. 597, no: 1026: “Hasan Sahih.”
Sama-sama kita bertanya kepada diri kita, adakah kita mengetahui
tentang hadis ini? Adakah selama ini hadis di atas tersembunyi atau
tercicir daripada pengetahuan kita kerana selama ini kita sibuk dengan
pelbagai hadis lain, yang tidak satu jua yang sahih, berkenaan malam
Nisfu Sya’ban? Lebih jauh, sudahkah kita mengamalkan hadis ini?
Mengamalkan hadis ini bukanlah dengan berpuasa, bersolat malam,
berzikir, berdoa dan sebagainya. Akan tetapi beramal dengannya ialah
kita melayakkan diri kita supaya memperoleh pengampunan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala pada malam Nisfu Sya’ban. Terdapat dua syarat
kelayakan, yang pertama kita lulus, alhamdulillah. Yang kedua perlu
kita pastikan bahawa kita tidak bermusuhan dengan sesiapa di
kalangan umat Islam. Jika ada, mungkin saudara, jiran, rakan kerja
dan sebagainya, hendaklah kita bermaafan dan menghubungkan
semula silraturahim. Inilah cara “mengamalkan” hadis sahih di atas
berkenaan malam Nisfu Sya’ban.
11. 5. Hadis dha‘if tidak boleh dijadikan ukuran nilai sesuatu amal
Kepentingan atau keburukan sesuatu amal tidak boleh diukur
berdasarkan hadis-hadis dha‘if sahaja. Sering kali para penulis dan
penceramah begitu ghairah menyampaikan hadis-hadis dha‘if dalam
memberi anjuran dan amaran tanpa disedari bahawa anjuran dan
amaran tersebut nilainya telah dilebih-lebihkan daripada apa yang
sepatutnya. Mereka menganggap hal ini akan memberi manfaat
kepada umat tetapi yang benar adalah di sebaliknya. Ganjaran yang
dibesar-besarkan kepada amalan yang kecil akan mengakibatkan
seseorang itu meremehkan agama, dengan anggapan memadailah dia
membuat amalan yang sedikit kerana ganjarannya sudah lebih dari
mencukupi. Sedangkan amaran yang dibesar-besarkan terhadap
kesalahan yang kecil akan menyebabkan seseorang itu menjauhkan
diri daripada Allah dan merasa putus asa daripada keampunan-Nya.
Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menerangkan hal ini dengan lebih lanjut:
[12]
Hadis-hadis yang memberi anjuran dan amaran (al-Targhib wa al-
Tarhib), sekalipun tidak memuat hukum halal atau haram, ia memuat
sesuatu lain yang sangat penting dan berbahaya, iaitu ia merosakkan
nilai amal atau kewajiban yang telah ditentukan oleh Pembuat syari'at
Yang Maha Bijaksana. Setiap amal yang diperintahkan ataupun
dilarang memiliki “nilai” tertentu di sisi Pembuat syari'at dalam
kaitannya dengan amal-amal yang lain. Kita tidak boleh melampaui
had yang telah ditentukan oleh Pembuat syari'at sama ada dengan
menurun atau menaikkannya.
Di antara hal yang sangat berbahaya ialah memberi nilai sebahagian
amalan lebih besar dan banyak daripada ukurannya yang sebenar
dengan membesar-besarkan pahalanya sehingga mengalahkan amalan
lain yang lebih penting dan lebih tinggi derajatnya dalam pandangan
agama. Demikian juga memberikan kepentingan kepada amalan yang
dilarang dengan membesar-besarkan seksanya sehingga mengalahkan
amalan lainnya.
Membesar-besarkan dan melebih-lebihkan janji pahala dan ancaman
siksa akan mengakibatkan rosaknya gambaran agama di mata
sebahagian orang karena mereka akan menyandarkan apa yang
mereka dengar atau baca tersebut kepada agama padahal agama itu
sendiri bebas dari semua itu. Seringkali tindakan melebih-lebihkan,
terutama dalam soal ancaman, akan menimbulkan akibat yang
sebaliknya dan kegoncangan jiwa. Bahkan seringkali orang yang
12. berlebih-lebihan itu akan menjauhkan diri mereka daripada-Nya
(kerana putus asa dan merasa tidak layak memperoleh keampunan
Allah ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan)
Kita wajib menjaga amal perbuatan sesuai dengan tingkatan-
tingkatannya yang telah digariskan oleh syari‘at tanpa terjerumus ke
dalam tindakan melebih-lebihkan. Ini hanya akan membawa kita
kepada salah satu dari dua bentuk pelampauan, sama ada yang
menambah atau mengurang, sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Ali bin
Abu Thalib radhiallahu 'anh: “Kalian harus mengambil sikap
pertengahan, yang kepadanya orang tertinggal harus disusulkan dan
kepadanya pula orang yang berlebihan harus dikembalikan.
Berdasarkan tiga syarat pengamalan hadis dha‘if dan dua perkara
tambahan yang perlu diperhatikan, sama-sama dapat diambil iktibar
bahawa menggunakan hadis dha‘if tidaklah semudah yang disangka.
Hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah salah satu
sumber syari‘at di sisi al-Qur’an al-Karim. Maka kita perlu berinteraksi
dengannya melalui disiplin-disiplin yang telah digariskan oleh para ahli
hadis. Apa yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sabdakan
berkenaan agama tidak lain adalah wahyu Allah. Apabila kita bersikap
leka dalam berinteraksi dengan hadis-hadis baginda, kita bukan sahaja
mendedahkan diri kepada kemungkinan berdusta di atas nama
Rasulullah tetapi juga berdusta di atas nama Allah.
Oleh itu hendaklah setiap individu memberi perhatian khusus dalam
bab ini. Jangan menerima sebarang hadis sekalipun yang
menyampaikannya adalah orang yang masyhur di mata masyarakat.
Pastikan bahawa setiap hadis yang disampaikan mematuhi syarat-
syarat di atas. Apabila membaca buku-buku agama, pastikan setiap
hadis diberikan rujukan, lengkap dengan nombor hadis dan bab.
Jangan berpuas hati dengan catitan “Hadis riwayat al-Bukhari” atau
“HR Muslim” kerana terdapat sebahagian penulis yang berbuat
demikian padahal hadis tersebut tidak wujud di dalam kitab Shahih al-
Bukhari dan Shahih Muslim.
Apabila mendengar khutbah, kuliah, ceramah dan sebagainya, jangan
segan-segan bertanya kepada penyampainya: “Ustaz, hadis yang
ustaz sebut itu siapa yang meriwayatkannya dan apa darjatnya?” atau
apa-apa lain yang seumpama. Setiap mukmin yang bertanggungjawab
terhadap Allah dan Rasul-Nya berhak untuk bertanya dan setiap
penyampai yang bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya
tidak boleh merasa ego untuk menjawab. Akan tetapi jika penyampai
tersebut tidak ingat pada saat itu, berilah dia tempoh untuk
13. menyemak semula agar dia dapat menjelaskannya pada masa yang
akan datang.
Tanpa berlebih-lebihan, penulis menganjurkan para pembaca sekalian
meninggalkan mana-mana penulis dan penyampai agama yang tidak
berdisiplin dalam mengemukakan hadis-hadis Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. Kita perlu bertegas dalam hal ini, bukan sahaja
supaya amalan kita sentiasa berada di atas ukuran yang benar tetapi
supaya para penulis dan penyampai tersebut tidak mengambil mudah
perkara ini.
6. Rujukan:
[1] al-Azkar (diteliti oleh ‘Amr bin ‘Ali Yasin; Dar Ibn Khuzaimah, Riyadh 2001), ms.
53
[2] al-Qaul al-Badi’ fi Fadhli Shalat ‘ala al-Habib al-Syafi’ (diteliti oleh Muhammad
‘Awwamah; Muassasah al-Rayan, Beirut 2002), ms. 473
[3] al-Qaul al-Badi’, ms. 472
[4] al-Majruhin min al-Muhadditsin (diteliti oleh Hamidi bin ‘Abd al-Rahman; Dar al-
Shomi‘in, Riyadh 2000), jld. 1, ms. 16-17
[5] Musykil al-Atsar (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Salah Syahin; Dar al-Kutub al-
Ilmiah, Beirut 1995), jld. 1, ms. 123
[6] Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 18, ms. 65
[7] Fiqh al-Sunnah (Dar al-Fath, Kaherah 1999), jld. 1, ms. 516
[8] al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (diteliti oleh Muhammad Najib Ibrahim; Dar Ihya’
al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 1, ms. 134
[9] Tabyin al-‘Ujab bi ma warada fi Fadhli Rejab, ms. 3-4; dinukil daripada Tamam
al-Minnah fi al-Ta’liq ‘ala Fiqh al-Sunnah oleh Syaikh al-Albani rahimahullah (1999)
(Dar al-Rayah, Riyadh 1409H), jld. 1, ms. 36
[10] Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi (463H) dalam al-Kifayah fi ‘Ilm al-
Riwayah (Maktabah al-‘Alamiyah, Madinah), ms. 132
[11] Fatawa Mu‘ashirah (edisi terjemahan oleh al-Hamid al-Husaini dengan judul
Fatwa-Fatwa Mutakhir; Pustaka Hidayah, Bandung 1996), ms. 480-481
[12] al-Muntaqa min Kitab al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri (Dar al-Wafa’,
Kaherah 1993), jld. 1, ms. 49-50