AKSI NYATA Numerasi Meningkatkan Kompetensi Murid_compressed (1) (1).pptx
Nilai
1. Nilai, Etika, Integriti
PENJELASAN
Nilai, Etika dan Integriti adalah tiga kata kunci terpenting yang mendasari PIN perlu
diperjelaskan.
NILAI
Satu set pegangan yang menjadi asas bagi pembentukan sikap dan kelakuan
individu. Set pegangan ini menentukan kriteria perlakuan yang baik atau sebaliknya,
yang diingini atau tidak dan positif atau negatif.
ETIKA
Etika ialah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu,
organisasi dan profesyen.
1. Etika Individu
Etika individu ialah himpunan nilai pada diri individu yang membimbingnya dalam
membezakan antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang
patut dan boleh dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan.
Pemilihan antara perkara-perkara ini sentiasa berlaku semasa menjalankan tugas,
dalam kehidupan sehari-hari, ataupun apabila berinteraksi dengan pihak lain.
2. Etika Organisasi
Bagi yang bekerja dalam sesebuah organisasi, etika organisasi menjadi garis
panduan baginya menjalankan tugas, seperti perlu berpegang pada nilai bersih,
cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil. Oleh sebab
organisasi berurusan dengan orang ramai, maka etika organisasi juga menuntut
penjawat itu mematuhi Piagam Pelanggan.
3. Etika Profesyen
Etika profesyen ialah kod yang menggariskan apa yang harus dibuat dan tidak harus
dibuat oleh pengamal profesyen berkenaan. Antara profesyen yang mempunyai kod
etikanya termasuk kedoktoran, kehakiman, undang-undang, perakaunan,
kewartawanan dan perguruan. Misalnya, seorang doktor atau hakim terikat dengan
etika profesyen yang dipraktikkannya. Seorang editor, pengarang atau wartawan
2. pula perlu berpegang pada etika kewartawanan dalam penyebaran maklumat melalui
media. Begitu juga seorang guru mesti mematuhi etika perguruan.
INTEGRITI
Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan
padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah
berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.
1. Integriti Individu
Integriti individu ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu
dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip
moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri
dengan kepentingan umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan
bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam
pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia
dikatakan tidak berintegriti atau lemah integritinya.
2. Integriti Organisasi
Selain individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi
tercermin dalam perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau
sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika
organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan
sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.
3. Integriti Penjawat Awam
Bagi individu yang memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan
awam, integriti bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang
dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak
boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara
atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan
dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat
itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya,
orang di bawahnya dan kepada pihak lain.
3. Kesimpulan
Pembudayaan etika dan integriti individu harus melalui satu proses seumur hidup. Ia
melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan
media massa. Pembudayaan etika dan integriti dalam organisasi pula, menuntut
kepimpinan bertindak sebagai teladan (role model) manakala anggota lain
menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Organisasi juga perlu mempunyai
matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Ia
perlu mempunyai sistem dan prosedur yang baik bagi melicinkan pelaksanaan
tugasnya secara cekap, teratur, dan tepat, di samping mempunyai sistem kawalan
kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan
itu perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab kepada
Tuhannya.