Teks tersebut membahas mengenai pentingnya kesedaran sivik dan beberapa faktor yang menyebabkan rendahnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat Malaysia. Beberapa langkah yang dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran sivik meliputi memperbaiki sistem pendidikan, menegakkan hukum secara tegas, dan menanamkan nilai-nilai murni sejak dini.
1. Soalan:
Kesedaran sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun sikap ini semakin
kurang diamalkan dalarn kalangan masyarakat. Huraikau punca wujudnya keadaan ini dan
cara-cara untuk menerapkan kesedaran tersebut.
Karangan Contoh:
Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan
serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan
kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara
yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk
dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju
dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, malangnya tanpa kita sedari
kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur
ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan
masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-
kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan
mereka. Buktinya, sampah-sarap dibuang di merata-rata tempat telah mengotorkan dan
menyakitkan mata memandang bukan lagi perkara asing di negara kita. Di manakah
silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun,
fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih
berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Oleh itu, kita harus meneliti dan mendalami
punca permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi
menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Kurangnya
kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita berpunca daripada keruntuhan institusi
kekeluargaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat masyarakat kini menjadikan
rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat
mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin
meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor
Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang
berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah
saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah jawapannya ialah anak-anak.
2. Menyaksikan ibu bapa seperti anjing dengan kucing, akan mempengaruhi pertumbuhan
jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada
ibu bapa ini akan mendorong mereka melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu
dengan menconteng tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam
seperti tandas dan telefon awam. Sikap ini dapat diumpamakan seperti marahkan pijat,
kelambu dibakar. Segala perlakuan ini menjadi bukti betapa rendahnya kesedaran sivik
dalam kalangan masyarakat kita. Jadi, tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah
satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca
daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa
anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut yang akan memberi impak kepada perlakuan
mereka yang tidak bermoral.
Selain itu, semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik
dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar
berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga
menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu
contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku,
berkumandang di udara, berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak
secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Tidak keterlaluan dikatakan bahawa
jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam kalangan warga ‘senior’ kita. Apabila
tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya perasaan ‘Negara
KitaTanggungjawab Kita’ juga turut kurang dalam diri setiap individu. Lantaran itu, ada
yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang
tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk
mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku’ dan
‘engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta
benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan
negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian,
kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka,
sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang
memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.
Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat
menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dalam keghairahan
mengejar kemajuan dan fatamorgana hidup terutamanya dalam aspek kebendaan telah
mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta
pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam
3. masyarakat. Sikap ‘siapa lu siapa gua’ semakin berleluasa. Hidup bak ‘enau dalam belukar,
hanya melepaskan pucuk masing-masing’ sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat.
Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang bertindak tanpa
mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi
kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan
kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan
disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan
bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita
menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan majlis kenduri dan
perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya telah
membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim serta keharmonian dalam
masyarakat. Peluang untuk saling mengenali dan bertegur sapa antara jiran juga tidak
dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan
masyarakat kita semakin berkurang.
Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat
semakin jelas, namun kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan
permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum yang
bengkok terus menjadi patah, langkah-langkah untuk mengembalikan kesedaran sivik
dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa
meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari
oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum
semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui Kurikulum Baru
Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap mata
pelajaran, maka dalam kurikulum baharu yang disemak semula, perkara ini ditambah pula
dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan
dalam pengajaran. Selain itu, mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan telah dimasukkan
dalam kurikulum sekolah dan wajib dipelajari oleh semua pelajar. Bekas Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap
masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih
mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa
mereka. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya
sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Tegasnya, dalam usaha
menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri masyarakat kita, maka perubahan
dalam sistem pendidikan wajib dilaksanakan.
Cara yang seterusnya untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran
sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika
kita tinjau ke negara jiran kita iaitu Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang
4. begitu patuh akan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam.
Namun begitu, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura
mendidik rakyatnya. Setiap mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus
didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan tandas awam pun, Singapura sentiasa
memastikan penggunaannya yang betul. Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air
selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita
juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang
kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat
kepada sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti
telefon awam, dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh
melaksanakannya? Golongan masyarakat yang ‘berkepala batu’ dan terlalu mementingkan
diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tiada tindakan
yang diambil terhadap mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan
tempat menunggu bas. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT)
menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka
membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui
pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa
menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk
kemudahan mereka. Izharlah bahawa hukuman atau tindakan yang tegas dan berat dapat
menanam kesedaran sivik dalam diri masyarakat kita.
Secara tuntasnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan kesedaran sivik rakyat
Malaysia semakin luntur dan beberapa langkah dapat diambil untuk menangani
permasalahan tersebut. Walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan
masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal
ini terutamanya dalam kalangan generasi muda kita kerana merekalah yang bakal
mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita
kecapi selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Dalam
menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah atau
semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-
masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap
kesedaran sivik yang tinggi kerana negara kita menjadi tanggungjawab kita. Oleh itu
bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling
bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa
mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita. Janganlah diabaikan pesanan ahli
filsuf Tao iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup
sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa
manusia. Sekiranya kita ingin melihat kesedaran sivik masyarakat kita kukuh, marilah kita
bersama-sama menanam jiwa manusia dengan kesedaran sivik tanpa menunggu hari esok.
5. Soalan:
Pada masa ini, teknologi maklumat memberikan banyak kebaikan dalam kehidupan
seharian. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) kepada masyarakat dan negara.
Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari
zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom,
kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam
setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya
manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan,
penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih
kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-
lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Di Malaysia,
teknologi maklumat dan komunikasi merupakan agenda baharu yang begitu diberikan
perhatian. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius untuk menerapkan
budaya ICT kepada masyarakat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk menjelaskan
kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang
besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang
tinggi itu, ternyatalah bahawa bidang ICT mempunyai manfaat yang sangat besar kepada
masyarakat dan negara ini.
Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai
sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia.
Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak
ketinggalan untuk mengikuti perkembangan di dalam dan di luar negara. Maklumat yang
disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang
disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari
seluruh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat
terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan
politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Dengan ini, masyarakat Malaysia
tidak akan keciciran maklumat dalam menelusuri arus perdana yang pantas bergerak bagai
belut diketil ekor ini. Gelaran katak di bawah tempurung tidak akan dilabel pada setiap
rakyat Malaysia. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat
Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.
6. Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi
dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang
berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau
perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila
masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia.
Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat
keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik
bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih
pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya
pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat
persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan
berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Jelaslah bahawa kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama
lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi menjadi penghalang
untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi dengan kuku.
Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi maklumat dan
telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Kewujudan ICT
dapat membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di
sekolah dapat dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar
mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau
projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta
melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih
bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain
menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini
melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak
yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh
lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui
modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM)
yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Izharlah bahawa
kemajuan ICT mampu menjadi pemudah cara dan menjadi tarikan dalam memajukan
sistem pendidikan di negara kita.
Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting
dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di
negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar tertutup
7. (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino,
lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah
penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat
yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka. Hal ini berbeza sekali dengan televisyen.
CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di
samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas
penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama
Nurin Jazlin berjaya ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis tersebut
pernah menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes jenayah
yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang
menyayatkan hati namun dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang
mengandungi mayat kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan
negara dapat dipelihara dan secara implisitnya, kehidupan rakyat juga tidak akan terancam.
Tugas anggota keselamatan negara juga akan menjadi lebih mudah. Pendek kata, keamanan
dan keselamatan dapat dijaga melalui kemajuan bidang ICT di negara kita.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga meningkatkan
kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan bidang ICT secara langsung
atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan
dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan
adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan
negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran
antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan
Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi
maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat
Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di
kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai
negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu,
terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri
sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan peranan yang penting
kepada masyarakat dan negara. Kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran
ICT kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa dengan pantas.
Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang
ini. Malah pada masa ini pun, kebergantungan manusia terhadap teknologi maklumat
sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu
menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan
baharu berkaitan ICT agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung. Namun
8. begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan ICT.
Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap
untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi
berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan
yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan
berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.
Soalan:
Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan
penting dalam membangunkan dan memajukan negara ini. Ulaskan penyataan di atas.
Karangan Contoh:
Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang
merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial.
Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan
paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara
sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya
pada hari ini.” Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah mengungkap, “Jika diberikan
aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi,
jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait
susunan retorik yang penuh puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha
membangunkan golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja
mahupun golongan belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusadan
bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk
merencanakan pembangunan negara.
Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk
mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah
9. satu elemen yang maslahatuntuk melahirkan yang pemimpin negara yang berkualiti demi
menjamin masa hadapan negar yang cerah terutamanya dalam aspek pembangunan
negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa.
Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas
tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui
pelbagaiwahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan
sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan
akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Saya juga tidak harus
terbuai dalam dunia yangmengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau
mengamalkanhedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Seorang
tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu
dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan
golongan yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin
pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki kesihatan
fizikal dan mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu
memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu
yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan
bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapatberdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan
fizikal dan mental, saya patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri
dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara
sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi
kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun
golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa
kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan
slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati
diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.
Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan muda
harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan segala suruhan agama
dan meninggalkan semua larangan agama. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan
terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada
Tuhan dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih
dadah, berzina dan mencuri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral,
10. golongan muda juga harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan
khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua
dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta
terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat membantu
pembangunan negara dengan memastikan negara bebas daripada ancamana masalah
sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia negara harus bersahsiah mulia,
berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju
sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara
yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani
berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang.
Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani
mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan
daripada itu, golongan remaja dan belia kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan
berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan
sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan
impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas
tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam
pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya
menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai
jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan negara
dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai sifat
sedemikian, kita lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada
yang serupa, kita dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat menjamin kestabilan
politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah yang akan menjadi pendukung untuk mencapai
perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai
contohnya, saya mestilah sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk
mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu
bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya perlu
mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat lain. Dengan ini,
keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan negara dapat dijalankan dengan
lancar dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat keterbukaan golongan muda
yang belum keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi
11. pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan
dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai
tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan negara
kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi negara merupakan
tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka
daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti
akan memangkinkankecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan
dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi
semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang merupakan aset
negara ini perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-
ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang,
gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas
antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.
Soalan:
Murid memainkan peranan yang penting untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku
Syurgaku’. Bincangkan peranan yang dapat anda mainkan untuk merealisasikan konsep
tersebut.
Karangan Contoh:
Ungkapan "Sekolahku Syurgaku" sering diperkatakan baik dalam kalangan pendidik
mahupun pelajar. Malah kita dapat melihat pada dinding-dinding sekolah juga terukir
ungkapan tersebut. Ungkapan itu amat bermakna jika diteliti, diselusuri dan difahami akan
maksudnya. Sekolah yang juga dikenali sebagai alma mater dapat ditakrifkan secara umum
sebagai tempat untuk menimba ilmu. Manakala syurga pula ditafsirkan sebagai tempat
yang indah, menarik dan gembira ketika berada di dalamnya. Oleh yang demikian,
ungkapan "Sekolahku Syurgaku" melambangkan bahawa sekolah merupakan tempat yang
indah dan menarik ketika menjejakkan kaki ke dalamnya. Malangnya, situasi sekolah pada
12. hari ini tidak lagi diumpamakan seperti syurga oleh para murid. Hal ini terbukti apabila
banyak masalah sosial seperti buli, vandalisme dan melawan serta memukul guru berlaku
di sekolah. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak kerana melibatkan masa hadapan para
murid yang merupakan peneraju tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan kerana
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebelum terlewat, saya sebagai murid yang
bertanggungjawab perlu memainkan peranan yang penting supaya konsep ‘Sekolahku
Syurgaku’ dapat menjadi kenyataan.
Sebagai membuka tirai perbincangan kita, salah satu peranan signifikan saya ialah saya
akan membantu pihak sekolah menjaga kawasan persekitaran sekolah agar sentiasa
bersih. Apabila persekitaran sekolah sentiasa dijaga dengan baik, sudah tentu murid-murid
tidak akan menerima sebarang masalah yang akan mengganggu mereka. Aktiviti
bergotong-royong harus diadakan berkala untuk membersihkan kawasan sekolah dan saya
akan menyertai aktiviti ini bersama dengan warga sekolah yang lain. Gotong-royong
bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga
kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata
pepatah,yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung
minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, saya akan
memungut sampah atau membersihkan longkang. Dengan ini, murid-murid tidak dijangkiti
dengan wabak penyakit yang berbahaya seperti demam denggi yang kini semakin menular
di negara kita. Suasana persekitaran sekolah yang bersih akan menyebabkan murid-murid
berasa kondusif untuk menuntut ilmu. Tegasnya, penjagaan kebersihan sekolah merupakan
antara peranan saya untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.
Peranan saya yang seterusnya ialah saya akan membantu pihak sekolah mengadakan
taman bunga di sekolah. “Program Sekolah dalam Taman” patut diadakan dengan menanam
pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah.
Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini,
saya dan rakan-rakan juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di
kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-
gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya murid-murid lebih selasa
dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan
konkrit yang kaku. Bukan itu sahaja, suasana yang seumpama taman ini dapat memberikan
ketenangan jiwa dan melepaskan tekanan murid-murid yang telah berhempas-pulas
melaksanakan tanggungjawab mereka di dalam kelas. Mereka boleh menikmati keindahan
taman ini pada waktu rehat sambil berbual-bual dengan rakan-rakan untuk berkongsi
cerita dan mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka bagai isi dengan kuku.
13. Jelaslah bahawa usaha saya untuk mengadakan taman bunga di sekolah bersama pihak
sekolah dapat menjayakan konsep ‘Sekolahku, Syurgaku’.
Jika dilihat dari sudut yang berbeza, saya juga akan membantu pihak sekolah mengecat
bangunan sekolah semula. Mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga
akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ‘Sekolahku
Syurgaku’ perlu ditulis pada bangunan sekolah supaya murid-murid sentiasa membaca dan
menyedari tanggungjawab mereka untuk menjadikan sekolah sebagai syurga dan bukannya
neraka untuk mereka. Untuk menjayakan program ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
perlulah berkolaborasi dengan pihak sekolah dalam penyediaan cat dan berus cat. Saya dan
murid-murid yang lain juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah. Kelab atau persatuan
kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar
landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata yang bermotivasi. Dalam
konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar. Ringkasnya,
bangunan sekolah yang dicat semula akan menjadikan sekolah lebih menarik dilihat dan
dapat merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.
Dalam nada yang lain, konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dapat dicapai sekiranya sesebuah
sekolah itu tidak mempunyai sebarang kes disiplin yang melibatkan pelajar seperti kes buli,
ponteng kelas, vandalisme, gangsterisme dan banyak lagi. Keadaan ini bukan sahaja
mengundang nama buruk sekolah, tetapi juga menyebabkan terdapat segelintir pelajar
berasa takut untuk menghadirkan diri ke sekolah. Hal ini secara langsung, mencemarkan
keharmonian sesebuah sekolah. Oleh itu, saya tidak akan melibatkan diri dalam masalah
sosial di sekolah dan sentiasa berdisiplin kerana disiplin merupakan tunjang kepada
keharmonian serta kejayaan sesebuah sekolah. Saya akan sentiasa mematuhi peraturan
yang telah digariskan oleh pihak sekolah seperti menepati masa, bersopan santun ketika
bertutur, menghormati guru-guru dan rakan-rakan, dan menjalankan tanggungjawab yang
diberikan dengan amanah. Saya juga akan sentiasa peka akan masalah disiplin yang berlaku
di sekolah dan segera melaporkan kepada pihak sekolah jika berlakunya kes ugut,
vandalisme dan merokok di sekolah. Tindakan saya ini dapat mengelakkan masalah disiplin
daripada berleluasa dari peringkat awal lagi kerana mencegah lebih baik daripada
mengubati dan sebelum nasi menjadi bubur. Murid-murid juga akan berasa selamat berada
di sekolah dan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar.
Pendek kata, pengelakan saya daripada terjebak dalam masalah disiplin di sekolah turut
dapat memudahkan usaha untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.
14. Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat beberapa peranan yang perlu saya mainkan
untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’. Sekiranya sekolah dapat diumpamakan
seperti syurga, sudah pasti setiap individu akan merasai ketenangan dan keseronokan
apabila berada di sekolah. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, semua orang
pastinya tidak akan menolak jika mereka diberi peluang untuk belajar dan mengajar di
sekolah seperti ini. Oleh itu, peranan pihak sekolah amat penting untuk menjayakan konsep
‘Sekolahku Syurgaku’ supaya iklim kawasan sekolah lebih menarik dan kondusif untuk
meningkatkan prestasi murid-murid sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum.
Namun begitu, kita tidak seyogianya meletakkan tugas ini di atas pundak pihak sekolah
semata-semata kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Lantaran itu, semua
pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menjayakan konsep
‘Sekolahku Syurgaku’ kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dengan ini,
impian negara untuk melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama tidak lagi
menjadi angan-angan Mat Jenin dan kemajuan negara akan setaraf dengan negara-negara
lain di pentas global ibarat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Marilah kita bersama-
sama menjayakan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.