1. 1.0 PENGENALAN
Malaysia terkenal sebagai negara yang mempunyai pelbagai etnik berbilang bangsa
terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kepelbagaian kaum ini
dinamakan sebagai masyarakat majmuk. Menurut J.S Furnival, masyarakat (society)
bermaksud sekelompok orang yang membentuk sebuah sistem interaksi sosial, di
mana sebahagian besar interaksi yang berlaku dalam lingkungan sistem sosial itu
adalah lahir dari individu-individu yang berada dalam kelompok tersebut.
Masyarakat adalah komuniti yang saling bergantung dan perlu memerlukan antara
satu sama lain, malah secara umumnya, istilah masyarakat pada asasnya merujuk
kepada sekumpulan manusia hidup bersama di suatu tempat tertentu dalam satu
komuniti teratur serta berkongsi sumber yang ada dalam kawasan tersebut.
Masyarakat menurut Kamus Dewan (2005), ialah kumpulan manusia yang hidup
bersama-sama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Individu,
keluarga dan kumpulan-kumpulan kecil merupakan anggota masyarakat.
Majmuk terbentuk daripada beberapa bahagian yang merupakan kesatuan atau dalam
konteks masyarakat, ia terdiri dari beberapa kumpulan etnik. Masyarakat majmuk
adalah satu kumpulan manusia yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa
membentuk satu kesatuan, khususnya dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial di
sesuatu tempat bagi membentuk satu kumpulan yang bersatu padu. Masyarakat majmuk
(Plural society) juga bermaksud masyarakat pelbagai kaum (Multi-racial society)
yang merujuk kepada suasana kepelbagaian bangsa yang bersama-sama atau berkongsi
hidup dan tinggal dalam sebuah negara yang sama. Menurut Kamus Dewan, masyarakat
majmuk membawa maksud masyarakat yang terdiri daripada beberapa kaum.