KERTAS KERJA MINGGU BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH.doc
Budi bahasa amalan mulia
1. Budi Bahasa Amalan Mulia
Yang kurik itu kundi.
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa
Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa
bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dan pergaulan
terutamanya dalam aspek budi bahasa.
Sambutlah Salam Sejahtera,Salam Satu Malaysia. Semarak kasih, sekalung budi
Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi berkarisma, penjaga
masa setia pada saat dan ketikanya,dif-dif kehormat,seterusnya para hadirin
pencetus revolusi minda yang saya muliakan.
Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh,izinkan saya mendefinisikan tajuk
pidato saya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga budibahasa ditakrifkan sebagai
adat sopan santun. Amalan bermaksud perbuatan kebiasaan. Manakala mulia
diertikan sebagai murni, luhur atau terhormat.
Secara konotosinya, Budi Bahasa Amalan Mulia juga membawa maksud adat
sopan santun yang diamalkan dapat menyemaikan nilai-nilai murni dalam diri.
Sesungguhnya budi bahasa itu menunjukkan jati diri sesuatu bangsa.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Menelusuri indikator saya yang pertama, amalan berbudi bahasa amat dituntut
dari sudut budaya, peradaban dan agama. Amalan nilai-nilai murni ini dapat
membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Ingatlah falsafah hidup yang bertunjangkan nilai-nilai murni akan mencerminkan
suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia
2. Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan
masyarakat yang lebih bertamadun dan memiliki tahap tatasusila yang tinggi.
Bagi merealisasikannya subjek pendidikan moral memainkan peranan penting
dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada murid-murid seawal mereka di
bangku persekolahan. Bak kata perpatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Hadirin yang dimuliakan,
Indikator saya yang kedua, Bahasa melambangkan bangsa. Justeru penggunaan
bahasa yang sopan dan sesuai perlu diterapkan dalam apa jua keadaan dan masa
agar bangsa dan agama kita dapat dinilai sebagai yang terbaik. Kita hendaklah
membudayakan budi bahasa sama ada di tempat kerja, di sekolah, rumah, di
jalanan sekalipun. Kita juga perlu sentiasa mempamerkan imej diri yang positif
dalam segala tindakan sama ada dari segi cara berfikir, melahirkan perasaan,
pertuturan dan perlakuan. Hanya dengan cara inilah kita dapat membentuk satu
nilai yang mantap dan berkesan. Jika suasana ini dapat diwujudkan,maka
kemesraan akan wujud,saling hormat-menghormati antara satu samalain,tanpa
memperkecilkan dan meremehkan pandangan orang lain.
Tidak melayu hilang di dunia, Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah ini
mungkin hanya tinggal retorik semata-mata sekiranya kita tidak menjaga
keunggulan ataupun integrity bangsa dan bahasanya.Justeru, gunakanlah bahasa
yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun ,
kaya dengan budi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. Inilah sikap dan
pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai matlamat kita pada masa yang
akan datang. Secara konklusinya, Budi Bahasa Amalan Mulia jelas menunjukkan
bahawa amalan berbudi bahasa itu menjadi nadi penggerak yang amat penting
untuk menzahirkan identiti diri kita.
3. Sebelum saya menamatkan bait-bait bicara saya,izinkan saya menghadiahkan
serangkap pantun,
Sedap makan kacang kelisa,
Buah peria pahit dan maung,
Bahasa menggabungkan etnik bangsa,
Satu Malaysia sama bernaung.
Sekian , terima kasih