Kepupusan tulisan Jawi sebagai pengantar intelektual dan tradisi keilmuan masyarakat Melayu mempunyai kesan yang amat besar dalam proses pembinaan jati diri bangsa Melayu dan pengukuhan sosiobudaya bangsa itu di negara ini. Tulisan Jawi merupakan khazanah intelektual, jati diri budaya, wacana pemikiran dan kesusasteraan, serta estetika bahasa yang penting kepada pembinaan kekuatan bangsa Melayu. Tulisan itu turut menjadi medium yang menjalin keintiman hubungan dan siratulrahim ummah dan sebagai genre bahasa yang mempunyai kaitan yang amat unggul dan penting kepada jati diri dan unsur Islam yang mendasari kekuatan dan kekukuhan jati diri Melayu. Sejak berabad lamanya, tulisan Jawi telah memainkan peranan yang amat penting dalam mendukung perjuangan kemelayuan dan keislaman. Tulisan itu bukan sahaja mempunyai kekuatan dari segi jati diri kebangsaannya, malah kekuatan simbolisme terhadap perkembangan budaya dan bahasa Melayu. Tulisan Jawi, dari segi sejarah penakatan dan perjuangan Melayu, telah memberikan sumbangan yang besar dan banyak kepada perubahan dan kemajuan bangsa Melayu. Pendidikan Melayu berkembang dan dapat disampaikan kepada orang Melayu, khususnya generasi tua dahulu, melalui tulisan Jawi. Walau bagaimanapun, tulisan itu semakin pupus apabila mula dipinggirkan daripada sistem pendidikan negara yang mengutamakan tulisan Rumi. Secara beransur-ansur, tulisan Jawi diketepikan dan tidak lagi menjadi pengantar dalam pengajaran dan pemelajaran di sekolah.