1. KENEGARAAN MALAYSIA
1.1 PENGENALAN
Kita sering mendengar orang memperkatakan tentang kenegaraan. Kenegaraan sangat penting dan berkait
rapat dengan rakyat, budaya, politik, ekonomi dan sejarah sesebuah negara.
Tahukah anda apa maksud kenegaraan? Kenegaraan merupakan satu kursus yang mengajar
tentang hal ehwal sesebuah negara untuk melahirkan warganegara yang baik dan
bertanggungjawab1
. Warganegara yang baik mesti mempunyai tanggungjawab terhadap diri
sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.2
Sementara dalam disiplin sains politik pula, kenegaraan
selalu di rujuk sebagai pembinaan negara bangsa.3
Umumnya kenegaraan adalah satu bidang
pengajian yang matlamatnya melahirkan rakyat atau warganegara yang baik dan
bertanggungjawab dalam usaha membentuk sebuah negara dan bangsa yang bersatu padu dan
dihormati di peringkat antarabangsa melalui pembelajaran dan penghayatan kursus kenegaraan.
Warganegara yang baik dan bertanggungjawab perlu mengetahui latar belakang warisan
budayanya, perkembangan sejarah bangsa dan negaranya. Pengetahuan sejarah perlu diketahui,
difahami dan dihayati untuk membantu ke arah menanam dan mengembangkan kesedaran dan
kebanggaan terhadap negara. Dengan mempelajari sejarah tanah air, ia menimbulkan rasa
kecintaan dan dapat mendedahkan kepada semangat kesetiaan, rasa kesyukuran serta sedia
berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu juga, intipati sejarah dapat
membantu golongan muda memahami dan menghargai perjuangan kemerdekaan dan kemajuan-
kemajuan yang telah dicapai oleh negara. Pengetahuan atau pemahaman terhadap sejarah boleh
membentuk jati diri yang akan menjadi kebanggaan masyarakat, lantas mempengaruhi sikap
kesetiaan (loyalty), dan patriotisme, iaitu sanggup berkorban kerana negara. Pemupukan semangat
kesetiaan dan patriotisme di kalangan generasi baru di Malaysia sangat penting dan perlu
dipergiatkan setiap masa kerana corak dan keadaan masyarakat Malaysia yang majmuk lagi
kompleks. Mereka dipisahkan oleh budaya dan cara hidup yang berbeza. Jurang perbezaan yang
besar di antara mereka hasil daripada tinggalan Inggeris ini telah menghalang perpaduan dan
integrasi kaum. Perasaan cintakan negara dan semangat sanggup berkorban untuk negara
sepatutnya dipupuk di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Kesedaran yang mendalam
tentang perlunya masyarakat yang telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa dapat dibuat dengan
lebih berjaya jika generasi sekarang sedar bahawa negara kita telah melalui pelbagai zaman dan
cabaran melalui pendidikan dan penghayatan Kenegaraan Malaysia.
Adakah kursus Kenegaraan Malaysia sama seperti kursus sejarah yang diajar
di peringkat persekolahan yang memaparkan peristiwa-peristiwa sejarah
tanahair sahaja?
Kandungan kursus Kenegaraan Malaysia meliputi sejarah pembinaan bangsa dan negara ini sejak zaman pra
merdeka hingga kepada pembentukan dasar-dasar kerajaan selepas merdeka. Kursus ini terdiri daripada
beberapa gabungan disiplin ilmu seperti sejarah, politik dan ekonomi. Kesemua disiplin ilmu ini diadun
menjadi satu kursus Kenegaraan Malaysia yang mengamalkan konsep pengajaran dan pembelajaran yang
merentas sempadan ilmu secara bijaksana. Bagi kebanyakan orang, kenegaraan adalah satu kursus yang di
dalamnya penuh dengan peristiwa dan fakta sejarah. Kita tidak boleh lari daripada mengetahui sejarah negara
dan masyarakat sebagai latar belakang untuk memahami sesuatu bangsa dan negara. Ia akan berfungsi sebagai
pelengkap kepada keperluan untuk memahami segala perkara mengenai sesebuah bangsa dan negara. Namun
ada banyak lagi perkara yang terkandung dalam masyarakat dan negara itu selain daripada sejarah itu sendiri
yang perlu diketahui seperti ekonomi, politik dan sosial yang menjiwai masyarakat dan negara itu. Dengan lain
perkataan, kita harus menggabungkan berbagai disiplin ilmu yang berbeza ke dalam satu kursus yang dipanggil
Kenegaraan Malaysia.
2. Kombinasi beberapa disiplin ilmu yang membentuk kursus Kenegaraan Malaysia menjadikan
kandungannya terlalu luas dengan batasan waktu yang sangat terhad telah memaksa pengajaran
dan pembelajaran merentas sempadan ilmu menjadi begitu relevan. Sehubungan itu, fakta-fakta
penting dari pelbagai disiplin ilmu perlu diolah dan dihubungkaitkan secara menyeluruh untuk
menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku. Pendekatan ini juga diharap boleh menghindarkan
suasana membosankan kepada sesetengah pelajar. Lumrah bagi manusia mempunyai minat dan
kemahuan yang berbeza, begitu juga dengan pelajar mempunyai minat yang berbeza mengenai
subjek yang diajar oleh guru. Jika kita mengambil pendekatan mengajar sesuatu topik secara
terpisah mengikut keperluan disiplin ilmu masing-masing, maka isi kandungan menjadi panjang
dan mendalam. Selain masa yang terhad dan kandungan kursus yang panjang, sikap turut
memainkan peranan penting. Sikap sambil lewa kerana merasakan sudah tahu tentang subjek
yang diajar telah mendorong tindak-tanduk negatif di dalam kuliah seperti tidur, berbual, ponteng
dan sebagainya. Menginsafi kepentingan perkara ini, kursus ini secara sedar cuba menghindarkan
diri daripada mengulangi atau menjadi seperti disiplin ilmu yang berdiri sendiri dengan
mempelbagaikan teknik pengajaran supaya lebih menarik tanpa mengetepikan kesesuaian dengan
matlamat dan objektif kursus, iaitu mewujudkan negara bangsa yang bersatu padu.
1.2 NEGARA BANGSA
Sejak akhir-akhir ini perkataan negara bangsa tidak asing lagi kepada kebanyakan orang
khususnya bagi mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang sains politik dan sejarah. Secara
mudah, negara bangsa mesti mempunyai tiga komponen utama iaitu negara, individu, dan
bangsa. Negara merujuk kepada wilayah kewujudan kelompok manusia, individu ialah manusia,
sementara bangsa pula satu kesatuan manusia yang hidup dalam sesebuah negara. 4
Negara bangsa adalah dua perkataan yang berbeza, iaitu negara, dan bangsa. Negara atau ‘state’ adalah satu unit
politik yang mempunyai kedaulatan dan mempunyai tanggungjawab dan kuasa menjalankan hal ehwal
pentadbiran sendiri.5 Mengikut undang-undang antarabangsa, terdapat empat elemen penting yang mesti ada
dalam menentukan kewujudan sesebuah negara. Negara biasanya ditakrifkan sebagai kawasan tertentu yang
mempunyai sempadan yang jelas, ada penduduk tinggal di situ, terdapat sebuah kerajaan yang sah memerintah,
dan kerajaan itu pula mestilah berkesan dalam menjalankan pemerintahan.6 Bangsa atau ‘state’ pula selaluya
diertikan sebagai kewujudan dalam kumpulan manusia tertentu dengan beberapa ciri yang sama. Persamaan ini
boleh terjadi daripada berbagai perkara seperti unsur-unsur jasmani, politik, dan kebudayaan.7 Etnik yang
hidup dalam keadaan yang terintegrasi tanpa perbezaan yang wujud di antara mereka dapat menyumbang
kepada kestabilan dan kemakmuran negara kerana mereka terhindar daripada sebarang konflik kaum yang
merugikan. Bagaimanapun dari segi praktikal, kedua-dua definisi di atas ada kekecualiannya. Sebagai contoh,
tidak ada satu negarapun di dunia ini yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada satu keturunan etnik
sahaja. Malah ada negara yang mengiktiraf semua etnik yang sama dengannya di sebarang laut sebagai
warganegara, sebagai contoh Israel dan China.8
1.2.1 Ciri-Ciri Negara Bangsa
Adalah tidak tepat jika kita membuat kesimpulan bahawa jika ada negara dan ada penduduk yang tinggal di
negara itu, maka wujudlah sebuah negara bangsa.
Apakah ciri-ciri negara bangsa?
3. Sebuah negara itu akan dikategorikan sebagai sebuah negara bangsa apabila ia telah memenuhi beberapa syarat
yang diperlukan.
Sebuah negara bangsa mempunyai tiga syarat utama sebelum ia dikategorikan sebagai sebuah negara
bangsa.9 Pertama, masyarakat yang tinggal di situ hidup dalam bersatu padu tanpa dipisahkan oleh fahaman
perkauman yang sempit seperti kedaerahan, kepercayaan, bahasa, budaya, pekerjaan, tempat tinggal dan
sebagainya yang boleh membawa kepada perpecahan. Penduduk mesti menerima hakikat bahawa mereka
tinggal dalam satu negara yang berbilang kaum dan budaya. Satu nilai kebangsaan yang boleh mengikat mereka
sebagai satu kelompok manusia mesti diterima dengan hati yang terbuka. Sebagai contoh Dasar Pendidikan
Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan−kedua-dua dasar ini bertujuan menyatukan penduduk
dengan mewujudkan nilai yang sama sebagai nilai kebangsaan di kalangan mereka untuk dikenali sebagai
bangsa Malaysia. Kedua, sebilangan besar rakyat mesti berpegang kepada ideologi politik yang sama iaitu
demokrasi liberal. Perbezaan yang wujud di kalangan mereka hanya berbeza dari segi kaedah atau cara untuk
mencapai matlamat sahaja. Tidak akan wujud kegawatan politik kerana sebilangan rakyat mempunyai matlamat
politik yang sama, iaitu demokrasi. Syarat ketiga ialah kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada sistem
pemerintahan dan undang-undang negara. Rakyat mematuhi kepada undang-undang dan yakin bahawa
undang-undang dan sistem pentadbiran yang diamalkan mampu memberi perlindungan dan keadilan kepada
mereka.
1.2.2 Faktor yang Boleh Mempengaruhi Negara Bangsa
Ketiga-tiga ciri utama di atas menjadi asas pembentukan negara bangsa mungkin akan tinggal
sebagai impian sahaja jika sepuluh perkara berikut tidak diberi perhatian dalam usaha membentuk
sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, dan mempunyai nilai yang sama demi
kebaikan dan kemakmuran generasi mendatang yang lebih gemilang seperti yang dicadangkan
oleh Abd. Rahim iaitu:10
1. Intergrasi
Integrasi kaum dan wilayah adalah perkara asas bagi mengukuhkan perpaduan dan penyatuan
masyarakat dalam sesebuah negara. Kaum-kaum yang telah di integrasi tidak mampu lagi
mengekalkan sikap kenegerian, perkauman dan faham kebangsaan yang sempit tetapi
mengutamakan matlamat kebangsaan.
2. Nasionaliti
Elemen penting dalam kenegaraan dan kewarganegaraan ialah nasionaliti. Konsep asas di sini
ialah pemilikan nilai-nilai bersama akan mengikat seorang warganegara yang baik menjadi satu
bangsa yang mempunyai kesetiaan, sayang dan sanggup berkorban untuk negara. Perkara yang
dimiliki bersama seperti budaya kebangsaan, sistem politik dan bahasa boleh menyatupadukan
rakyat yang diiktiraf sebagai nasionaliti kebangsaan.
3. Nasionalisme
Nasionalisme sebagai asas membina semangat kekuatan, keyakinan diri, penyatuan dan
perpaduan nasional. Nasionalisme kebangsaan yang kuat boleh mengembelengkan semangat,
tenaga, keazaman dan cita-cita serta usaha untuk maju. Semua kaum mesti mengutamakan
kepentingan nasional daripada kepentingan kaum masing-masing.
4. Patriotisme
Patriotisme adalah semangat sanggup berkorban kerana negara. Ia lahir dari perasaan
nasionalisme iaitu cintakan negara. Elemen ini menjadikan bangsa itu kuat dan mampu berjuang
membangunkan bangsa daripada kemunduran dan penindasan. Sebuah negara bangsa yang kuat
4. perlu kepada rakyat yang mempunyai keberanian, ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam
membentuk ketahanan nasional.
5. Globalisme
Dalam dunia semakin kecil akibat daripada perkembangan teknologi maklumat telah menjadikan
globalisasi sebagai satu ancaman kepada negara bangsa. Pertukaran maklumat yang cepat dan
pantas telah menjadikan dunia begitu kecil tanpa sempadan. Oleh yang demikian, nasionalisme
dan patriotisme mestilah menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan negara daripada
ancaman musuh akibat proses globalisasi.
6. Kepelbagaian Budaya
Aliran kepelbagaian budaya yang diamalkan oleh pelbagai kelompok etnik boleh menimbulkan
cabaran yang serius kepada usaha pembinaan bangsa dan negara. Satu budaya kebangsaan yang
boleh diterima oleh semua kaum patut dipupuk dan dimajukan untuk mewujudkan satu budaya
yang boleh diterima oleh semua sebagai satu identiti kebangsaan.
7. Pluralisme
Sifat pluralisme telah didukung oleh masyarakat bermula sejak zaman penjajahan Inggeris lagi.
Dasar pecah dan perintah Inggeris yang membahagikan kaum mengikut sektor telah menghalang
perpaduan kaum sebelum merdeka. Sifat pluralisme ini boleh dihapuskan atau dikurangkan
melalui penyusunan semula masyarakat. Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan
pelbagai dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sebagainya.
8. Liberalisme
Fahaman liberalisme yang memberikan kebebasan kepada individu, kelompok dan organisasi
tertentu yang tidak terkawal mampu menghalang pembentukan negara bangsa. Keutamaan
mengejar kekayaan dan kebendaan telah menjadikan manusia terlalu mementingkan diri sendiri.
Sikap seperti ini jika tidak dikawal boleh membelakangkan matlamat dan kepentingan nasional.
9. Neo-Feudalisme
Penjelmaan neo-kolonialisme dalam sistem budaya, sosial dan politik menyekat demokrasi.
Suasana ini mewujudkan sebilangan kecil elit birokrat dan ahli politik yang kuat dan kebal dari
segi undang-undang dalam kerangka perubahan yang mereka buat sendiri perlu diatasi untuk
mewujudkan negara bangsa Malaysia moden.
10. Demokrasi
Syarat utama membina negara bangsa ialah mewujudkan dan menyebarluaskan fahaman dan
amalan demokrasi. Rakyat boleh mengambil bahagian yang aktif dalam membentuk segala
keputusan dalam segala hal supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati. Kritikan yang membina
dan bertanggungjawab harus dibenarkan seluas-luasnya untuk kebaikan bersama. Amalan
demokrasi ini boleh melahirkan warganegara yang tahu kebebasan dan tanggungjawab kepada
bangsa dan negara.
1.2.3 Proses Pembinaan Negara Bangsa
5. Proses pembentukan sebuah negara bangsa memakan masa yang panjang. Hague dan Harrop
menentukan sesebuah negara bangsa hanya terbentuk setelah melalui empat proses berikut:11
(i) State-building (bina negara)
(ii) Nation-building (bina bangsa)
(iii) Mass participation (penyertaan rakyat)
(iv) Politics of distribution (pengagihan nilai-nilai dalam masyarakat)
Perubahan dari satu tahap kepada satu tahap di atas adalah berbeza dari satu negara ke satu
negara yang lain. Perubahan ini berlaku kerana konflik12
yang terjadi antara etnik atau kaum
disebabkan oleh wujud jurang perbezaan yang terlalu besar di antara mereka semasa atau selepas
penjajahan Inggeris. Sebarang tindakan untuk memenuhi kehendak dan kepentingan kaum
tertentu akan sentiasa disalahertikan oleh kaum yang lain. Apabila berlaku konflik, maka
perubahan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut dan proses pembinaan negara dan
bangsa akan memasuki tahap selanjutnya sehinggalah pembentukan sebuah negara bangsa
menjadi kenyataan. Di Malaysia pembentukan negara atau ‘state’ yang terdiri daripada rakyat
berbilang kaum hanya dimulakan pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu
ditubuhkan mula melonggarkan pemberian kerakyatan bersyarat kepada penduduk bukan
Melayu. Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 yang diperoleh dari Inggeris
mengukuhkan lagi asas itu dan diikuti pula penubuhan Malaysia pada tahun 1963 sebagai tanda
pembentukan negara Malaysia yang berdaulat.13
Pada waktu itu, Malaysia hanya mendapat sebuah
negara ‘state’ daripada Inggeris sebagai simbol kemerdekaan. Malaysia diperintah oleh Parti
Perikatan yang sah dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Bagaimanapun,
penduduk yang tinggal di Malaysia masih belum diintegrasikan sebagai sebuah bangsa. Mereka
masih dikenali mengikut kaum dalam segala bidang. Pada tahap pertama ini, interaksi dan
perpaduan kaum berada pada tahap yang paling rendah.
Pada tahap kedua, memperlihatkan berlakunya perhubungan awal yang longgar antara kaum.
Perhubungan longgar antara kaum yang dipisahkan oleh jurang perbezaan yang sangat besar ini
dijelaskan oleh Furnivall sebagai mempunyai ciri-ciri masyarakat majmuk14
apabila terdapat lebih
daripada satu etnik termasuk penduduk bumiputera yang tinggal di situ, mereka bercampur tetapi
tidak bersatu, tinggal berdekatan tetapi terpisah, mengamalkan budaya, pekerjaan dan
pendidikan yang berbeza. Pada tahap ini, interaksi antara mereka berada pada paras minimum
seperti mereka hanya bertemu di pasar ketika menjalankan urus niaga sahaja.
Pada tahap ketiga, perhubungan kaum menjadi agak rencam, pelbagai dan saling bergantung yang
akhirnya memerlukan kepada satu iklim persefahaman yang harmoni bagi mendamai dan
memenuhi kepentingan kaum supaya perpaduan dapat diwujudkan. Kemudian jurang perbezaan
yang wujud di antara mereka cuba dirapatkan, persamaan dan kerjasama antara kaum dicari serta
diperluaskan sebagai ikhtiar mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Pada tahap ini,
masyarakat telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa yang bersatu dengan memiliki nilai-nilai
yang sama, dan membentuk sebuah negara bangsa Malaysia.
1.3 NEGARA BANGSA MALAYSIA
Dunia sekarang sedang memasuki “gelombang ketiga” itu ledakan teknologi maklumat. Teknologi yang
berkembang pesat ini menyediakan rangkaian lebuh raya maklumat yang membolehkan manusia berhubung
dan bertukar maklumat di seluruh dunia dalam masa yang pantas. Fenomena ini telah menjadikan dunia begitu
kecil seperti ‘desa sejagat’. Perkembangan mutakhir ini telah menimbulkan banyak persoalan mengenai
perlunya sebuah negara bangsa Malaysia.
Pendapat yang mengatakan Malaysia tidak perlu negara bangsa dan rakyat yang bersatu padu,
mempunyai semangat nasionalisme serta patriotisme adalah tidak tepat. Nasionalisme masih
6. perlu sebagai senjata untuk memelihara keutuhan negara dan membina kekuatan dalaman
daripada ancaman asing dalam bentuk baru seperti globalisasi.15
Kita harus menerima hakikat
bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dengan pelbagai budaya serta bimbang akan
dijajah, maka nasionalisme masih perlu ditanam setiap jiwa rakyat Malaysia. Jurang perbezaan
besar yang wujud antara kaum telah sengaja dibuat sejak zaman penjajah Inggeris lagi bagi
memenuhi kehendak dan matlamat mereka untuk mencari keuntungan.16
Perpecahan dan
perasaan kekitaan yang begitu tebal di kalangan rakyat pada di waktu itu menjadi penghalang
wujudnya semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme sebelum perang adalah berteraskan
kepada kaum. Orang bukan Melayu masih menumpukan perhatian mereka ke tanah besar China
dan India kerana mereka tidak menganggap Tanah Melayu sebagai tanahairnya, sementara orang
Melayu menumpukan perhatian kepada Timur Tengah dan Indonesia sebagai teras perjuangan
mereka.17
Keadaan berpuak-puak penduduk Malaysia masih jelas kelihatan walaupun negara telah
mencapai kemerdekaan. Semasa kita mencapai kemerdekaan sebenarnya kita hanya mendapat
sebuah negara ‘state’ daripada penjajah Inggeris. Konsep bangsa ‘nation’ yang sebenarnya belum
wujud lagi kerana penduduk pada masa itu didukung oleh faham perkauman yang terlalu tebal.
Perasaan iri hati dan tidak percaya antara kaum berleluasa sehingga akhir meletus tragedi 13 Mei
1969.18
Banyak dasar kerajaan dijalankan seperti Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK), Dasar
Ekonomi Baru (DEB), dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang bertujuan menyusun
semula masyarakat. Namun sehingga hari ini jurang perbezaan antara kaum masih lagi besar.
Struktur sosial, ekonomi dan politik masih tidak banyak yang berubah. Justeru itu tidak hairanlah
jika ada sarjana yang membuat kesimpulan bahawa Malaysia belum lagi mencapai taraf negara
bangsa tetapi sebagai satu negara banyak bangsa.19
Menyedari hakikat ini, tibalah masanya bagi
negara mengorak langkah untuk melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang belum terlaksana.
Keperluan untuk Malaysia melahirkan sebuah bangsa ini pernah disokong oleh Dr. Mahathir
Mohamad dalam ucapannya semasa pelancaran Rancangan Pemasyarakatan Perpaduan di Kuala
Lumpur:
“… kita menjadi bangsa Malaysia hanya sebagai politikal identiti sahaja, … matlamat kita ialah satu bangsa
Malaysia yang mudah dikenali sebagai unik bagi warganegara Malaysia tanpa menghapuskan unsur-unsur
budaya kaum-kaum yang berlainan keturunan”. 20
Walaupun pada zahirnya kita tidak nampak usaha penjajahan seperti yang pernah dilakukan oleh
penjajah akan berlaku lagi, namun kita harus waspada kepada ancaman luar dan neo-
kolonialisme. Apakah jaminan negara yang sudah merdeka tidak akan dijajah lagi? Nikmat yang
dikecapi akan hilang dalam sekelip mata sekiranya berlaku kecuaian, kelalaian dan sebab-sebab
lain. Dalam keadaan dunia memasuki zaman semakin maju dan canggih, penjajahan, penindasan
dan penghinaan ke atas kita boleh dirangka dalam pelbagai bentuk baru sama ada melalui minda,
gaya hidup dan sebagainya. Musuh negara ada di mana-mana, mereka sentiasa mencari jalan
untuk memecahbelahkan keharmonian kaum dan ingin menjatuhkan negara dengan apa cara
sekalipun. Jika kita leka, cuai dan lupa kepada sejarah, tidak mustahil Malaysia akan jatuh sekali
lagi ke tangan musuh. Perpecahan dan konflik kaum yang berlaku di dunia akhir-akhir ini
seharusnya menjadi pengajaran kepada kita supaya lebih waspada.21
Di sinilah letaknya
kepentingan semangat nasionalisme dan patriotisme di kalangan rakyat yang boleh dipupuk
melalui pendidikan sejarah yang terdapat dalam kursus Kenegaraan Malaysia.
Nasionalisme mesti dipupuk dan disebarluaskan kerana ia akan melahirkan pula semangat
patriotisme, iaitu sanggup berkorban demi negara seperti berjuang mempertahankan negara
daripada ancaman asing.22
Bagaimanapun, nasionalisme yang hendak ditanam mestilah melihat
nasionalisme yang positif. Nasionalisme sempit yang berpaksikan perkauman hendaklah ditolak.
Ia hanya mendorong kepada perpecahan lantas mengundang kepada kemunduran kerana konflik
dan peperangan yang berpanjangan. Nasionalisme Malaysia yang tidak berteraskan kepada
perkauman diharapkan dapat mengikat rakyat menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu. Usaha
7. mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan adil pada masa depan perlu bermula dari
sekarang yang penuh dengan kebimbangan dan ketidakpastian. Masa depan bangsa Malaysia yang
unggul dengan kerjasama, perpaduan, tolak ansur hanya wujud jika batas-batas perkauman dan
jurang ketidaksamaan pembahagian antara kaum menjadi kabur melalui dasar-dasar kerajaan
yang dijalankan.23
Perasaan mencintai negara akan wujud jika rakyat mengetahui fakta sejarah negara. Melalui
sejarah seseorang itu akan dapat mengetahui dan memahami berbagai peristiwa termasuk
pertumbuhan, perkembangan dan pembangunan malah kemerosotan sesebuah negara, bangsa
dan masyarakat.
Pengetahuan dan pemahaman tentang asal usul dan perkembangan tamadun manusia masa
lampau boleh membantu generasi hari ini menghargai segala bentuk warisan, usaha dan
sumbangan manusia yang terdahulu. Penghargaan ini boleh mendorong seseorang itu memiliki
perasaan bangga dan sayang kepada diri, keluarga, bangsa dan tanah air sendiri. Di samping itu, ia
juga boleh dijadikan panduan untuk kita menjalani masa depan yang lebih cemerlang dengan
mengambil iktibar supaya kita terlepas daripada mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh
generasi yang terdahulu.
Pendidikan sejarah Malaysia boleh menjamin kestabilan politik dalam bentuk mewujudkan asas
jati diri, meningkatkan rasa kepunyaan dan seterusnya membangkitkan perasaan cinta dan bangga
yang agung kepada negara. Perasaan cinta kepada negara boleh timbul jika kita memahami latar
belakang sejarah sesebuah negara. Sebagai contoh, orang bukan Melayu dengan lapang dada akan
menerima Malaysia sebagai negaranya jika mereka tahu pengorbanan orang Melayu dan UMNO
semasa pilihanraya umum tahun 1955. Orang Melayu boleh memenangi pilihanraya tanpa perlu
bekerjasama dengan MCA dan MIC, kerana majoriti pengundi pada masa itu adalah orang
Melayu.24
Masyarakat Melayu merupakan teras negara, namun kita tidak harus menafikan kewujudan masyarakat lain yang
telah turut sama menyumbang kepada kekukuhan dan kemantapan negara Malaysia sehingga hari ini.
Kepentingan sejarah sesuatu bangsa khasnya harus berteraskan kepada sejarah masyarakat peribumi bagi
pemantapan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini, masyarakat Melayu harus menjadi tunggak ketuanan,
patriotisme dan nasionalisme negara bangsa. Ini boleh memastikan keutuhan negara dan bangsa akan terjamin.
Budaya sebagai teras keutuhan dan kekuatan bangsa amat penting walaupun setelah pencerobohan kuasa asing.
Ia akan terus berperanan walaupun ketika masyarakat khususnya orang Melayu berada di luar rantau Melayu.
Sebab itulah sejarah penting bagi melanjutkan usaha pembinaan bangsa dan negara berdasarkan peristiwa masa
lampau, dan membentuk perubahan yang bersesuaian dengan keadaan semasa dalam membina dan
menghadapi cabaran paradigma baru.
1.4 KESIMPULAN
Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan terdedah kepada globalisasi yang melanda
akibat daripada ledakan teknologi maklumat, pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu
masih diperlukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada masyarakat
majmuk. Jika penduduk Malaysia masih ditentukan dengan garis perkauman yang tebal di antara mereka
bermakna Malaysia terdedah kepada konflik perkauman yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja seperti
sebutir bom jangka. Begitu juga dengan ancaman luar yang akan datang tidak kira masa dalam berbagai bentuk
sama ada secara langsung atau tidak langsung. Negara tidak akan maju kerana masa dan kos yang tinggi
digunakan untuk menangani masalah ini. Usaha kerajaan dalam menyusun semula masyarakat melalui dasar-
dasar yang dijalankan selepas peristiwa 13 Mei 1969 merupakan langkah baik menuju pembentukan sebuah
negara bangsa. Semangat nasionalisme menjadi pemangkin dan pelengkap kepada usaha kerajaan ini. Setiap
warganegara sepatutnya bersedia menggantikan nasionalisme sempit berasaskan perkauman kepada
nasionalisme kebangsaan lantas melahirkan pula semangat patriotisme yang tidak berbelah bagi terhadap
negara.
8. Generasi hari ini harus menilai kedudukan masyarakat pada masa dahulu dan menjadikannya sebagai iktibar
untuk membentuk sebuah negara bangsa Malaysia baru yang bersatu padu, dihormati dan berdaulat melalui
pembelajaran dan penghayatan kursus Kenegaraan Malaysia.