1. http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2012_07_01_archive.html
SMAHADZIR
SEBAIK sahaja gagasan atau konsep ini dijelma dan disebarluaskan di pelbagai dada
media massa perdana negara, pelbagai peringkat masyarakat bercakap tentang
1Malaysia. Di mana-mana sahaja ianya diperkatakan. Ada pelbagai pandangan,
spekulasi, pendapat, argumentasi, dijelmakan. Ada yang sengaja memutarbelitkan
pengertiannya yang sebenar untuk kepentingan tertentu dan menyedapkan halwa
telinga.
Akibatnya sehingga kini masih ramai warganegara yang keliru dan tertanya-
tanya apakah definasi sebenarnya gagasan 1Malaysia terutamanya generasi muda
termasuk para pelajar sekolah dan universiti. Tidak kurang juga kakitangan kerajaan
sendiri yang masih ramai lagi belum faham akan makna gagasan 1Malaysia sebenarnya
yang seharusnya sudah fasih dalam diri masing-masing.
Sebagaimana yang sudah mangli ditegaskan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun
Razak bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat
akhirnya ialah perpaduan nasional yang juga merupakan wawasan utama semua
Perdana Menteri negara kita terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa
bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.
Dalam erti kata yang lain, gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan bagi
memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang
budaya, berbilang kepercayaan, berteraskan beberapa nilai penting yang seterusnya
menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Jika dikaji secara mendalam, apa yang berubah
adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih
berganti. Begitulah yang harus difahami oleh kita sebagai rakyat Malaysia terhadap
gagasan terbaru 1Malaysia cetusan minda YAB Datuk Seri Najib Tun Razak ini.
Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berpendidikan dan
terpelajar, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara.
Pemimpin yang dapat mengkosepsikan satu amalan biasa di dalam masyarakat
bertujuan untuk menjadikannya satu plan tindakan yang konkrit untuk dilaksanakan
sebagai agenda negara, adalah pemimpin yang berwibawa dan dapat mengorak
2. langkah untuk menyusun satu strategi bagi membangunkan bangsa dan negara dalam
mencapai kemajuannya.
Di samping mengkonsepsikan sesuatu amalan yang dianggap biasa dan mudah
di dalam masyarakat itu, maka pemimpin tersebut juga dapat menginstitusikan konsep
tersebut di dalam satu visi dan gagasan yang lebih konfrehensif untuk menjadi agenda
perjuangan bangsa. Maka pemimpin tersebut adalah merupakan pemimpin yang
cemerlang. Hal inilah yang saya rasa menjadi inspirasi dan pandangan pemimpin kita
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika merangka satu gagasan perjuangan yang
hendak dilaksanakannya seperti gagasan 1Malaysia ini.
Gagasan 1Malaysia merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh YAB
Perdana Menteri untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan
kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya.
Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi teras
gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan,
meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai ini semua merupakan amalan baik yang
dilaksanakan oleh masyarakat kita selama ini, sama sahaja seperti amalan tolong
menolong dan hormat menghormati yang merupakan budaya bangsa Malaysia di
kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama.
Tidak dapat dinafikan bahawa gagasan 1Malaysia merupakan satu usaha yang
teratur untuk mengumpul segala nilai dan amalan baik agar dapat difahami oleh semua
kalangan dalam masyarakat Malaysia, dan seterusnya dapat menghayati dan
merealisasikannya dengan penuh kesedaran demi kepentingan bersama. Generasi
yang baru mungkin tidak memahami perjuangan mencapai kemerdekaan dan
pengisiannya oleh Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman
Putra bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Tun Tan Siew Sin dan Tun
Sanbanthan. Mungkin ramai orang muda sekarang tidak mendalami falsafah perjuangan
ketiga-tiga pemimpin yang ketika itu mewakili tiga kaum terbesar di tanah air kita, dan
yang benar-benar memahami sensitiviti kaum masing-masing, sehingga mereka bertiga
terpaksa mengamalkan dasar toleransi yang cukup tinggi untuk menjaga kesepaduan
kaum dan bersama-sama membangunkan bangsa dalam semua aspeknya.
Gagasan 1Malaysia diwujudkan berdasarkan kepada konsep keadilan kepada
semua. Ini bermakna tidak ada kumpulan yang akan dipinggirkan, dan bantuan serta
peluang akan diberikan berdasarkan kepada keperluan dan merit. Namun demikian, hak
3. yang termaktub dalam Perlembagaan tetap akan dipatuhi dan pembangunan pada
tahap yang berbeza bagi kumpulan yang berlainan harus diambil kira. Prinsip ‘Rakyat
Didahulukan’ bermakna kerajaan akan menumpukan perhatian kepada bidang yang
sangat diperlukan dan dikehendaki oleh rakyat dan kerajaan akan mengagihkan sumber
yang terhad lebih kepada bidang-bidang itu.
Bagaimanapun, kerajaan akan mengimbangi keperluan jangka masa pendek
dengan membuat pelaburan dalam bidang yang akan mendatangkan kesejahteraan
dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Dengan ‘Pencapaian
Diutamakan’, satu tahap baru telah ditetapkan bagi ketelusan dan
kebertanggungjawaban kerajaan. Keberhasilan yang ketara yang dapat dilihat dan
dirasai oleh rakyat dan disampaikan dengan serta merta adalah diperlukan.
Kita harus faham bahawa dalam semua perjuangan untuk kesepaduan dan
keamanan, terutamanya di dalam negara kepelbagaian kaum dan keturunan, masing-
masing kaum tentulah seharusnya sanggup berkorban demi kesejahteraan dan
perdamaian, dan menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh sedar untuk menjaga
kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan untuk satu kaum yang tertentu. Bidang-
bidang keberhasilan negara yang diinstitusikan untuk mencapai matlamat 1Malaysia
juga merupakan satu pelan tindakan yang akan dijalankan bagi mencapai matlamat
gagasan tersebut, terutamanya apabila telah dilibatkan beberapa kementerian yang
tertentu untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan tugas masing-masing dalam
merealisasikan matlamat tersebut.
Yang penting bagi rakyat ialah memahami hakikat bahawa segala sesuatu yang
termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan perundangannya masih tetap kekal
terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Demikian juga dengan
beberapa konsep, seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa, status Raja
berperlembagaan dan sebagainya haruslah ditafsirkan dalam konteks yang betul
dengan fakta walaupun gagasan 1Malaysia kelihatannya boleh dimengertikan sebagai
sesuatu yang mutlak dan mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang.
Gagasan 1Malaysia adalah merupakan satu institusi dan mekanisme pelan tindakan
untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang bersatu.
Sesungguhnya kita berbeza etnik, bahasa, warna kulit, agama dan cara hidup
tetapi kita disatukan di bawah langit Malaysia dan sedang berdiri di buminya yang
makmur. Demi Malaysia kita sanggup melupakan perbezaan untuk berkongsi nilai yang
4. serupa iaitu kedamaian dan kemakmuran. Di mana bumi Malaysia dipijak di situlah
langit Malaysia dijunjung. Kita berbeza dalam banyak perkara tetapi kita berkongsi
Malaysia yang satu. Di sinilah kita mencari rezeki, beribadat, belajar dan menikmati
hidup dengan aman dan tenteram. Di atas tanah Malaysia nan satu ini kita 1Malaysia
hanya ingin hidup aman, bahagia dan sejahtera. Tiada sebarang peperangan dan tiada
sebarang kekacauan.
Lantaran itu kita harus sedar dan meyakini bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah
satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia
merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan
lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan
pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara. Lantaran itu gagasan 1Malaysia
dijelmakan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi
negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan
ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
Jika ‘Bangsa Malaysia’ yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat
akhir perjalanan ini, maka gagasan 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat
tersebut. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan
konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik
dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama.
Gagasan 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep ‘Malaysian Malaysia’
kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai
undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Gagasan 1Malaysia
kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau
menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang
telah dipersetujui dan dimuafakat oleh bapa-bapa negarawan suatu ketika dulu.
Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di
Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut
dibanggakan.
Gagasan 1Malaysia menekankan sikap ‘penerimaan’ di kalangan rakyat
berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya
agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai
rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi
5. semata-mata. Apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk
semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada
mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf
kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar
kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan
kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Gagasan 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk
mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini
dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada
perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara
akan berjalan dengan lebih lancar.
Formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama
iaitu penerapan Teras-Teras Perpaduan, manakala aspek kedua adalah penerapan
Nilai-nilai Aspisari. Teras-teras perpaduan ini didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu
menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti
hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta
kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.
Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu
menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-
elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan
tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan
kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta
meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya
berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.
Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta;
ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam
segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan
masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan
identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.
Dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah
mengutarakan tema ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai sebahagian
daripada konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping
menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan
6. memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan
juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila
berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya
kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat,
justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi
kerajaan.
Sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan
kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri. Seorang Menteri di
Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan
KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan
perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemah hasrat kerajaan.
Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan
sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa
penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.
NKRA telah diidentifikasi sebagai bidang utama bagi negara. Ianya mewakili
sebuah gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan terdesak
rakyat dan tidak kurang pentingnya isu jangka masa panjang yang memberi kesan
kepada rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan sekarang. Untuk menunjukkan
bagaimana pentingnya NKRA itu, ianya merupakan tanggungjawab bersama Kabinet,
dengan akauntabiliti untuk menyampaikan keberhasilan terletak pada menteri peneraju,
yang mana mereka ini telah dilantik dan akan dipantau secara formal oleh Perdana
Menteri. Kewujudan NKRA bukan bererti bidang lain tidak akan mendapat perhatian.
Bidang-bidang yang lain ini akan diliputi di peringkat Menteri dan disebut sebagai
MKRA.
Setiap menteri yang berkaitan akan dipertanggugjawabkan untuk menyampaikan
keberhasilan masing-masing. Zaman ‘kerajaan maha mengetahui’ telah berlalu. Bagi
memastikan yang kerajaan mempunyai ukuran yang tepat dan merasakan bidang apa
yang perlu diutamakan untuk rakyat, berbilang sumber input telah dipertimbangkan
termasuk undian pendapat rakyat, kaji selidik persepsi, analisis media (alternatif dan
aliran perdana), dialog dengan ahli akademik dan pemimpin dari sektor awam dan
sektor swasta.
Selepas dibincangkan dengan cermat oleh Kabinet, enam NKRA dan menteri
peneraju masing-masing telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika menyampaikan
7. ucapan beliau semasa meraikan 100 hari dalam pentadbiran pada 11 Julai 2009, iaitu:
mengurangkan jenayah (diterajui oleh Menteri Dalam Negeri), membanteras rasuah
(diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahagian Undang-undang),
mempertingkatkan pencapaian pendidikan (diterajui oleh Menteri Pelajaran),
mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah (diterajui oleh
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), mempertingkatkan
infrastruktur asas luar bandar (diterajui oleh Menteri Luar Bandar dan Wilayah) dan
memperbaiki pengangkutan awam bandar (diterajui oleh Menteri Pengangkutan).
Di atas segalanya, 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’
diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang
maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada
pandangan dunia. Kita harus sedar bahawa matlamat perpaduan kebangsaan tidak
akan mampu direalisasikan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di
bumi nyata dan bersifat utopia. Mana mungkin juga ia akan berjaya jika mengabaikan
sensitiviti dan realiti kontemporari. Sebenarnya, dalam sejarah ketamadunan manusia
telah acap kali menyaksikan bagaimana niat baik sahaja tanpa kebijaksanaan yang
bersandar kepada realiti telah membuka laluan kepada ketidakadilan.
Dalam aspek pengurusan kemajmukan kaum seperti di Malaysia yang menuntut
hemah dan hikmah yang tinggi, seandai dan sekiranya kita tidak berwaspada, sudah
tentu akan muncullah sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas
oleh kaum majoriti ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas
kaum majoriti. Lantaran itu, kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib kini telah
mengangkat gagasan 1Malaysia sebagai paksi pentadbiran. Gagasan ini ditunjangi oleh
beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan
toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi
bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan
serta prinsip rukun negara.
Sejarah telah mencatatkan bahawa semenjak mula para patriot
memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan
nasional telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana semua pihak sedar
bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu tidak mungkin segala matlamat dan
wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.
8. Mantan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan
penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah
negara bagi mencapai perpaduan kaum di bidang politik. Terbukti apabila masyarakat
pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat
mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam
dan menyelami lautan yang paling dalam. Perkara ini terbukti apabila negara mencapai
kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia pada tanggal 16
September 1963.
Kendati begitu tragedi hitam 13 Mei 1969 pula telah menyentak hati dan
perasaan rakyat Malaysia kepada realiti bahawa penyuburan perpaduan nasional tidak
boleh dianggap sebagai usaha bermusim sebaliknya ia memerlukan komitmen yang
berterusan. Bertitik tolak dari situlah, Allahyarham Tun Razak selaku Perdana Menteri
Malaysia Kedua telah pun meluaskan konsep kerjasama antara kaum melalui
penubuhan Barisan Nasional termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan
penciptaan ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara. Usaha-usaha murni ini telah
dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa ini
telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr. Mahathir melalui konsep Bangsa Malaysia dan
Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah melalui
Misi Nasional.
Justeru, wajar dipertegaskan di sini bahawa gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali
menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara
sama ada secara tersurat ataupun secara tersirat. Malahan Kerajaan kekal menjunjung
kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153,
Bahagian 2 dan Bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh
yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah-gulana atau menaruh syak
wasangka ataupun bimbang bahawa gagasan ini akan terpesong dari apa yang telah
dipersetujui dan dimuafakatkan oleh negarawan-negarawan kita suatu ketika dahulu.
Selanjutnya, salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial
berasaskan kepada pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara
memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun,
kekayaan tidak boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar. Lantaran
itulah baru-baru ini kerajaan telah membuat kemas kini dan penggubahan kepada
dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Kerajaan mempunyai tiga
9. matlamat utama iaitu memastikan negara akan mengalami impak yang seminima
mungkin kesan kegawatan ekonomi global, berusaha untuk keluar dari kemelut ekonomi
dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan secara keseluruhan
membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.
Bagi memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan
menengah tinggi kepada negara berpendapatan tinggi tercapai, maka kerajaan akan
melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada
ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi. Model baru ekonomi ini akan
menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan dengan itu
sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan hasrat pembentukan
model baru ekonomi ini. Dalam mencapai matlamat ini kerajaan akan menimbang
semua opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di luar kotak pemikiran
lazim untuk diperhalusi.
Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka salah
satu inisiatif bagi menjayakannya ialah dengan melihat semula sistem pendidikan
negara dengan memasukkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan
nilai-nilai budaya tinggi. Langkah ini diharap akan dapat melahirkan guna tenaga yang
akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru.
Kerajaan juga dilihat begitu komited dengan mengambil langkah-langkah yang
jitu bagi merangsang pelaburan terus asing di dalam membantu merealisasikan model
baru ekonomi ini. Untuk menjayakan matlamat ini kerajaan telah menyemak kembali
dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan
persekitaran pelaburan yang lebih kondusif.
Semoga gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ ini
dapat memberi manfaat kepada seluruh warganegara Malaysia. Marilah kita bersama
merealisasikan gagasan 1Malaysia sebagai wadah utama pembangunan negara menuju
tahap negara maju pada tahun 2020. Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan YAB
Perdana Menteri ini adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak Islam. Sifat
kehidupan manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t secara berbeza keturunan, etnik,
budaya dan latar belakang secara alami adalah cabaran yang wajib manusia
laksanakan untuk mendekatkan diri antara satu sama lain. Manusia perlu berkongsi
aspirasi dan keperluan, dan sebahagian keperluan itu tidak terdapat dalam semua
orang, maka dari situlah proses perkenalan, perundingan dan persefahaman
10. menentukan arah yang perlu dilaksanakan. Hal ini adalah selaras dengan kandungan
Al-Quran, yang menjadi pegangan dan keyakinan utama masyarakat Islam.
Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia adalah sebuah gagasan yang dijelmakan
sebagai prakarsa kesinambungan usaha pengukuhan perpaduan nasional. Kita wajar
bersyukur kerana dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang begitu bertanggungjawab
terutama dalam usaha-usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara kita
dengan pelbagai gagasan.
Kendati apa pun dasar dan program pembangunan yang telah digubal,
semuanya telah mengarah kepada cita-cita perpaduan merentas kaum dan wilayah
sebagai satu integrasi dalam kepelbagaian bangsa Malaysia. Apa yang jelas dengan
tuntutan gagasan 1Malaysia ialah bukan sekadar batas fizikal dari sudut geografi dan
demografi bahkan ia merangkumi pengertian luas fikiran dan semangat yang
menyeluruh.
Kesimpulannya, untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia, sekalian rakyat
haruslah beriltizam untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah tembok-tembok
prasangka, menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru dalam
satu saf yang padu bagi membangunkan ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ yakni
sebuah negara aman makmur lagi dirahmati Tuhan.
Rujukan:
<!--[if !supportLists]-->1. <!--[endif]-->Abdul Rahman Embong. (2001). Negara Bangsa:
Proses dan Perbahasan. Bangi, Selangor D.E.: Penerbit UKM [Universiti Kebangsaan
Malaysia].
<!--[if !supportLists]-->2. <!--[endif]-->Ahmad Fawzi Basri. (1987). Isu-isu Perpaduan
Nasional. Sintok, Kedah: Sekolah Pengajian Asasi UUM [Universiti Utara Malaysia].
<!--[if !supportLists]-->3. <!--[endif]-->Akhbar Utusan Malaysia. Kuala Lumpur: 13 Ogos 2009.
<!--[if !supportLists]-->4. <!--[endif]-->Atan Long. (1984). Pendidik dan Pendidikan. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
<!--[if !supportLists]-->5. <!--[endif]-->Awang Had Salleh. (1980). Pendidikan ke Arah
Perpaduan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
<!--[if !supportLists]-->6. <!--[endif]-->Berita “Wawasan 2020” dalam akhbar Utusan Malaysia.
Kuala Lumpur: 28 Februari 1991.
11. <!--[if !supportLists]-->7. <!--[endif]-->Fauzi, M. (1987). Isu-isu Perpaduan Nasional. Kuala
Lumpur: Penerbit Seasons.
<!--[if !supportLists]-->8. <!--[endif]-->Mahathir Mohamad. (1991). Melangkah ke Hadapan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
<!--[if !supportLists]-->9. <!--[endif]-->Miall, H., O. Ramsbotham & T. Woodhouse. (1999).
Contemporary Conflict Resolution. UK: Polity Press.
<!--[if !supportLists]-->10. <!--[endif]-->PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet
1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.
<!--[if !supportLists]-->11. <!--[endif]-->Rita Sim. (2010). What it Takes to Make 1Malaysia a
Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].
Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anda mungkin juga meminati:
• 1Malaysia: Prakarsa Kesinambungan Usaha Pengukuhan Perpaduan Nasional
• Fahami Prinsip Penerimaan Dalam Gagasan 1Malaysia
• Fahami Prinsip Penerimaan Dalam Gagasan 1Malaysia
• Tanggungjawab Generasi Merdeka Dalam Menjana Gagasan 1Malaysia
12. Fahami Prinsip Penerimaan Dalam Gagasan 1Malaysia
SMAHADZIR
GAGASAN 1Malaysia yang bercambah dari ilham YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib
Tun Razak bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam
kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan
ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
Gagasan 1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan
pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan
“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, prinsip penerimaan merupakan salah
satu dari tiga prinsip teras gagasan 1Malaysia selain dari prinsip kenegaraan dan prinsip
keadilan sosial. Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri dari
pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza,
tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia yang akrab dan bersatu.
Memang tidak dapat dinafikan akan kata-kata YAB Perdana Menteri Dato’ Seri
Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia itu merupakan suatu kesinambungan dari
perjalanan sejarah negara sejak kemerdekaan negara 1957. Gagasan 1Malaysia tegak
bersandarkan prinsip-prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan Rukun Negara serta
keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip itu hendaklah dihayati dan difahami sepenuhnya oleh
rakyat Malaysia dalam usaha merealisasikan cita-cita murni perpaduan.
13. Dalam ertikata yang lain, rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan nasional
harus memangkas sebarang tunas kesuburan pohon perkauman dan menjauhi
sebarang ancaman yang boleh merosakkan tonggak-tonggak kenegaraan. Setiap rakyat
Malaysia tanpa mengira ras, budaya, agama dan kepercayaan perlu berpegang teguh
dan sedia mempertahankannya tanpa sebarang kompromi.
Prinsip penerimaan yang harus segenap lapisan masyarakat Malaysia hayati dan
fahami ialah mengenai perbuatan, sikap, anggapan dan pandangan terhadap hakikat
sesuatu kebenaran fakta, misalnya hakikat sejarah Malaysia dan sifat kepelbagaian
yang ada. Prinsip penerimaan itu ditandai oleh suatu perlakuan yang positif, menerima
sesuatu kebenaran dengan hati yang tulus, ikhlas dan terbuka. Jangan ada sebarang
rasa tidak puas hati terhadap apa juga yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan
tercatat dalam Rukun Negara. Persetujuan bersama antara para pemimpin silam harus
diakuri tanpa sebarang kompromi demi perpaduan dan kesejahteraan bersama.
Lantaran itu, impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-
benar bersatu padu hanya boleh dicapai sekiranya rakyat mengamalkan nilai yang
terkandung dalam gagasan 1Malaysia. Nilai itu jika dikaitkan dengan pemikiran rakyat
untuk berubah dari satu paradigma dengan pradigma asas ialah sikap bertolak ansur,
saling hormat menghormati antara satu sama lain, akur dengan apa yang telah
dipersetujui bersama. Dalam gagasan 1Malaysia, bertoleransi hanya permulaan,
paradigma selepas itu ialah berubah dari bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya.
Hakikat ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.
Dengan lain perkataan, apabila kita ikhlas menerima perbezaan dalam
masyarakat kita, tulus menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang unik,
sesungguhnya ini adalah sesuatu yang memberi kekuatan kepada kita dan bukan
sebaliknya. Menurut YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, “Jika
kepelbagaian diterima sepenuhnya di kalangan masyarakat sebagai satu sumber
kekuatan dan sesuatu yang unik, barulah ‘kita bergerak dari satu peringkat ke satu
peringkat yang lain’. Dan apabila kita bergerak dari paradigma bertoleransi kepada
penerimaan sepenuhnya, terdapat satu kemuncak muktamad iaitu meraikan
kepelbagaian kita. Apabila kita meraikan kepelbagaian kita barulah ia bermakna kita
telah mencapai destinasi akhir Bangsa Malaysia 1Malaysia, dan barulah kita akan
berfikir dan kita akan bertindak sebagai 1Rakyat, 1Negara dan 1 Impian.”
14. Sebenarnya, jika kita selak kembali catatan sejarah negara kita Malaysia, nilai
penerimaan ini sudah lama kita praktikkan antara rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita
mengambil contoh tentang Kontrak Sosial, di mana masyarakat Melayu, Cina dan India
sudah pun bersetuju dan berjanji dengan menerima beberapa perkara untuk bersatu.
Bagi masyarakat Melayu, mereka sudah bersetuju untuk menerima masyarakat Cina
dan India untuk menjadi warganegara Malaysia.
Manakala bagi masyarakat Cina dan India mereka telah bersetuju untuk
menerima dan mengakui tentang perkara Hak Keistimewaan Melayu, Kedudukan Raja-
Raja dan Sultan, Islam sebagai agama persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan. Inilah hakikat yang kita tidak dapat menafikannya di mana nilai
penerimaan ini sudah lama dilaksanakan di di negara kita.
Sejarah juga telah mencatatkan bahawa sejak ribuan tahun negara kita Malaysia
adalah sebahagian daripada sejarah Asia Tenggara, sebelum kedatangan pengaruh
asing atau setelah dijarah pemerintahan kolonial. Jika negara Indonesia dengan
pengaruh Belanda, maka negara kita Malaysia pula dengan penjajah Inggeris. Hakikat
bahawa kolonial itu bukan sahaja membawa pengaruh ke atas sistem pemerintahan
atau kehidupan ekonomi kerana memenuhi revolusi industri abad ke-19 di barat, bahkan
mendatangkan pengaruh budaya baru melalui sistem pendidikan adalah sesuatu yang
jelas. Kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran dua abad lalu tidak sama
konteksnya dengan hubungan antara empayar pada abad ke-15.
Menurut Dato’ A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), rantau ini sejak zaman berzaman mewarisi tradisi kesultanan dan
institusi Raja-raja Melayu. Kecemerlangan kerajaan-kerajaan awal Melayu dari sejak
awal Masehi itu diakuri timur dan barat. Dunia Melayu adalah milik azali umat Melayu
dan bangsa serumpunnya di serata gugusan kepulauan. Konsep ibu pertiwi atau tanah
air (motherland atau paterland) terletak di situ.
Seterusnya jelas beliau lagi, fenomena terkemudian boleh dianalogikan sebagai
sebuah rumah besar yang menerima kedatangan ‘tetamu’ yang kini telah memilih hidup
bermastautin dan menjadi rakyat di rantau ini. Di negara kita Malaysia, penerimaan
rakyat asalnya yakni bangsa serumpun Melayu terjelma melalui sikap meraikan,
menyediakan peluang dan tapak kehidupan untuk ‘rakan-rakan’ baru tadi. Jika realiti ini
difahami, dihayati dan diakuri, maka rakyat akan lebih memahami makna ‘orang
memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa’. Justeru akurilah hakikat hahawa
15. tanggapan dan penerimaan tidak akan menjadi mudah, jika rakyat menolak hakikat
sejarah.
Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat asal Malaysia sudah lama sedia dan
sanggup berkongsi kuasa politik, ekonomi dan sama-sama membina kesejahteraan
sosial. Selama ini negara kita Malaysia sangat menghormati kepelbagaian dan
perbezaan rakyatnya. Selain daripada mementingkan kedudukan bangsa serumpun
Melayu atau peribumi secara adil sesuai dengan aspirasi Perlembagaan, Malaysia tidak
meminggirkan rakyatnya dari keturunan Cina, India dan lain-lain lagi seperti Serani,
Benggali, Portugis dan sebagainya. Kini mereka sudah berstatus warganegara
Malaysia. Dasar-dasar negara digubal untuk kepentingan semua kaum tidak kira
bangsa, keturunan, budaya dan agama demi mencapai matlamat perpaduan. Kendati
begitu, kita harus secara rasional menerima hakikat bahawa golongan manakah yang
berada di lembah kemiskinan dan kedaifan sejak sebelum dan selepas merdeka!
Lihat pula secara sedar bagaimana status ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan,
prasarana luar bandar? Majoriti penduduk luar bandar itu terdiri daripada masyarakat
Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Rungus,
Melanau, Orang Sungai, Dayak, Bajau, Melanau, Negrito, Mahmeri, Semang, Senoi,
Jakun, Sakai, Kenyah, dan puluhan yang lain di Sabah dan Sarawak. Jadi, formula
tertentu perlu digarap bagaimana sewajarnya membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’
tadi.
Kepelbagaian itu sewajarnya berada di dalam penerimaan segenap lapisan
rakyat. Di negara kita Malaysia, masyarakat berketurunan Cina, India, Portugis, Baba,
Benggali, Serani dan lain-lain lagi mempunyai ciri budaya, bahasa, adat resam, agama,
kepercayaan, dan warisan seni masing-masing. Nilai-nilai hidup yang terbaik bersifat
universal perlu dipupuk menjadi nilai-nilai nasional. Penerimaan apa yang terbaik
daripada bangsa induk Melayu dan suku bangsa serumpunnya dan menyaring nilai-nilai
budaya positif masyarakat Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi
itu boleh dilakukan untuk tujuan perkongsian nilai-nilai bersama.
Malahan sebahagian unsur-unsur warisan budaya masyarakat Cina, India,
Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu sudah terserap ke dalam
kebudayaan nasional di bidang bahasa, pakaian, perhiasan, makanan, kesenian dan
sebagainya. Amalan asal bersumberkan kaum dan sukuan itu, suatu waktu dalam
proses masa akan mengambil tempatnya yang baru pula. Contoh amalan 1Malaysia
16. sudah lama dipraktikkan di Sabah malah menjadi budaya harian masyarakat di Negeri
Di Bawah Bayu tersebut.
Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah setiap individu masyarakat yang
pelbagai ras, budaya dan kepercayaan ini dapat saling mengenali, memahami lalu
menerima antara satu sama lain? Contoh terdekat yang boleh kita ambil ialah dalam
aspek kontrak sosial. Kita boleh kaitkan kontrak sosial dengan nilai penerimaan yang
dicadangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dari segi sosial. Pendidikan yang
utamanya, di mana semua rakyat perlu menerima dengan kuota yang diberikan kepada
orang Melayu, contohnya kuota untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP),
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Matrikulasi
dan universiti-universiti awam. Begitu juga dengan kuota untuk biasiswa-biasiswa
kerajaan, seperti biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menetapkan
kuota Melayu dengan nisbah kaum lain ialah 55%:45%, dan Majlis Amanah Rakyat
(MARA) khas untuk Melayu dan Bumiputera.
Seterusnya dengan penerimaan agama Islam sebagai agama Persekutuan
Malaysia, semua kaum perlu menerima hakikat ini memandangkan ia sudah termaktub
dalam Perlembagaan Malaysia, malahan bangsa-bangsa lain juga boleh mengamalkan
agama masing-masing di negara ini. Amat penting bagi semua rakyat Malaysia untuk
memahami nilai penerimaan dalam perkara sosial ini.
Sementara dalam aspek ekonomi pula nilai penerimaan ini amat penting juga
untuk kita memahami supaya kita dapat menerimanya dengan hati yang tulus. Dengan
mengambil contoh dari pembahagian Amanah Saham Malaysia (ASM), di mana
kerajaan telah menetapkan bahawa pembahagian saham antara kaum dengan nilai-nilai
yang tertentu berdasarkan taburan penduduk di Malaysia iaitu Melayu 55%, Cina 25%,
India 7%, dan lain-lain kaum Bumiputera 12%.
Jika kita lihat dari taburan penduduk di negara kita, majoritinya adalah bangsa
Melayu. Maka kita dapat lihat, walaupun dari segi angka yang diterapkan dalam
gagasan 1Malaysia untuk masyarakat Melayu adalah tertinggi berbanding kaum lain,
tetapi masyarakat Melayu sebenarnya memang berhak mendapat bahagian yang
tertinggi. Maka semua kaum di Malaysia ini perlu menerima hakikat ini dengan hati yang
ikhlas dan berlapang dada. Justeru, kita dapat lihat di sini nilai penerimaan amat penting
dalam menjayakan gagasan 1Malaysia ini.
17. Seterusnya mari kita lihat dari segi politik pula. Nilai penerimaan sudah lama
dilakukan dalam kerajaan Barisan Nasional, di mana pembahagian kerusi-kerusi
Parlimen mengikut perjanjian yang telah dimetrai dalam perlembagaan Barisan
Nasional. Kita boleh lihat bilangan dan peratus kerusi parlimen yang dimenangi oleh
Bumiputera dan bukan Bumiputera serta bilangan dan peratus Bumiputera dan bukan
Bumiputera dalam kabinet Kerajaan Malaysia.
Bilangan kerusi Bumiputera dalam Parlimen ialah 83.57% sementara bilangan
Bumiputera dalam kabinet ialah 69.57%. Manakala bilangan kerusi bukan Bumiputera
dalam Parlimen ialah 16.43% dan bilangan bukan Bumiputera dalam kabinet ialah
30.43%. Justeru, jika kita kaji statistik ini, jelas menunjukkan bahawa dalam kerajaan
Barisan Nasional, nilai penerimaan sudah pun dilakukan. Kita dapat lihat bahawa jumlah
kerusi yang dimenangi oleh kaum bukan Bumiputera adalah sedikit iatiu 16.43% sahaja,
tetapi disebabkan nilai penerimaan oleh ahli Parlimen Bumiputera dalam kerajaan
Barisan Nasional, jumlah bilangan ahli Parlimen bukan Bumiputera yang memegang
portfolio Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet adalah tinggi iaitu sebanyak 30.43%
berbanding jumlah yang dimenangi dalam kerusi Parlimen.
Sejarah juga telah mencatatkan bahawa di dalam Islam kepelbagaian itu sudah
menjadi fitrah kehidupan. Ia adalah anugerah Allah s.w.t. Justeru itulah agaknya, umat
Islam tahu menilai dan meraikan kepelbagaian. Justeru, prinsip penerimaan dalam
gagasan 1Malaysia sesungguhnya tidak lari dari ketentuan Islam.
Pendekatan 1Malaysia jika benar-benar dihayati dan difahami dengan mendalam
pasti akan memperkukuhkan konsep perpaduan dan kesatuan negara. Gagasan
1Malaysia bolehlah diibaratkan sebatang sungai yang lebar dan panjang, maka akan
ada pertemuan alirannya, beza anak sungai dengan sungai induk yang arusnya
mengalir sehingga ke muara. Gagasan 1Malaysia bukannya retorik politik atau agenda
politik, tetapi cita-cita kenegaraan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat
yang bergelar warganegara Malaysia. Jadi, janganlah jadikan ia diterjemah dalam
konteks yang bersimpang-siur dan mengelirukan. Berpegang teguhlah kepada sistem
pemerintahan yang satu, dan dipayungi rimbun Perlembagaan yang satu. Bukankah
negara kita Malaysia ini tidak lahir dari sesuatu yang vakum, ada kesepakatan asal
berlandaskan kontrak sosial?
Setiap perkara sudah termaktub dan terkanun dalam Perlembagaan. Maknanya
prinsip penerimaan akan sebuah Perlembagaan menunjukkan hakikat kehidupan kita
18. berbangsa dan bernegara. Itu adalah prinsip yang utama. Parti-parti politik mana pun
yang menguasai pemerintahan, keluhuran Perlembagaan wajib dijunjung. Setiap
individu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya perlu memahami
hakikat ini dengan benar dan tanpa sebarang kompromi.
Konsep dan falsafah gagasan 1Malaysia dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan’ dan penerapan nilai-nilai murni itu bukannya sukar untuk
difahami. Jadi, prinsip penerimaan itu tidak boleh lari dari undang-undang tertinggi
negara yakni Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama dengan penuh
rasa kecintaan terhadap negara, patriotisme, kesetiaan politik dan keikhlasan, rakyat
Malaysia akan mempertahankan negara sendiri sebagai sebuah negara bangsa,
bukannya ‘kaki di sini, akal di sana’.
Kesimpulannya, semua rakyat Malaysia yang bergelar warganegara Malaysia
tanpa mengira fahaman dan ideologi politik harus sama-sama berganding mahu
memantapkan barisan memperkukuhkan tunjang perpaduan sebagaimana yang
dihasratkan oleh gagasan 1Malaysia. Dalam aspek politik, gagasan 1Malaysia ini perlu
tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Semua pihak tanpa mengira
fahaman dan ideologi politik bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan
ini malahan perlu mengetepikan perbezaan mereka. Perkara ini kerana keperluan dan
kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum
kepentingan politik mengambil tempat. Semua pihak perlu bersifat glokal bagi mencari
usaha ke arah pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing
dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan
sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka
menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang lebih bersifat
menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia.
Rujukan:
<!--[if !supportLists]-->1. <!--[endif]-->Ibrahim Ali. (2009). “1Malaysia: Perspektif Generasi
Kemerdekaan”. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Kebangsaan 1Malaysia, yang
diselenggarakan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM (Universiti Sains
Malaysia) di Putrajaya pada 11 Ogos.
<!--[if !supportLists]-->2. <!--[endif]-->Islar, Mine. (2007). The Current Nation Building Process
in Malaysia: A Critical Look at the English-Medium of Instruction Policy. UK: Lund
19. University, Center of East and Southeast Asian Studies Master Programme in Asian
Studies East and Southeast Asia Track.
<!--[if !supportLists]-->3. <!--[endif]-->Jurij Hj. Jalaludin. (1991). Wawasan 2020. Kuala
Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.
<!--[if !supportLists]-->4. <!--[endif]-->Kamarulzaman Askandar. (2004). The Making of Ethnic
& Religious Conflicts in Southeast Asia: Cases and Resolutions. Yogyakarta, Indonesia:
Center for Security and Peace Studies, Universitas Gadjah Mada.
<!--[if !supportLists]-->5. <!--[endif]-->Kamarulzaman Askandar. (2007). Promoting the “Peace
Dream”: Creating & Supporting the Dream Keepers in Southern Thailand. Pulau Pinang,
Malaysia: USM [Universiti Sains Malaysia].
<!--[if !supportLists]-->6. <!--[endif]-->Mansor Mohd Noor [ed]. (2005). Integrasi Etnik di
Institut Pengajian Tinggi Awam. Pulau Pinang: Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi
Negara.
<!--[if !supportLists]-->7. <!--[endif]-->Mohammad Redzuan Othman. (2006). Sejarah
Pembinaan Negara Bangsa: Siri Khas Sastera dan Sains Sosial. Kuala Lumpur:
Penerbit UM [Universiti Malaya].
<!--[if !supportLists]-->8. <!--[endif]-->Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman, Mohd Samsudin
& Kamaruzaman Yusoff [eds]. (1998).
<!--[if !supportLists]-->9. <!--[endif]-->Prosiding Kongres Sejarah Malaysia II: Sejarah dan
Proses Pemantapan Sejarah Bangsa. Kuala Lumpur: PSM [Persatuan Sejarah
Malaysia].
<!--[if !supportLists]-->10. <!--[endif]-->PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet
1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.
<!--[if !supportLists]-->11. <!--[endif]-->Rita Sim. (2010). What it Takes to Make 1Malaysia a
Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].
<!--[if !supportLists]-->12. <!--[endif]-->Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia
yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2011/01/sekolah
-landasan-terbaik-terap-nilai.html
Sekolah landasan terbaik terap nilai 1Malaysia
20. 2011/01/03
SESI persekolahan 2011 diharap dimulai dengan semangat dan harapan
menggunung pelbagai pihak untuk memajukan diri, masyarakat dan negara.
Tahun ini juga diharap dapat menyaksikan warga Malaysia berusaha gigih
menjayakan gagasan 1Malaysia dan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
Murid mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), diharap
meneruskan kecemerlangan mereka sehingga mencapai kejayaan setinggi
mungkin.
Bagi murid yang kurang cemerlang, janganlah cepat putus asa. Jika berusaha
gigih dalam bidang diminati, kejayaan akan digenggam di masa depan.
Sekolah tempat terbaik merealisasikan Gagasan 1Malaysia. Sebagai institusi
mempunyai murid pelbagai kaum dan budaya, sekolah menawarkan medium
strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia.
Sekolah juga tempat sesuai untuk menjayakan budaya cemerlang, ketabahan,
rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai
ini semua adalah amalan baik yang dilaksanakan masyarakat dan budaya bangsa
Malaysia merangkumi kaum dan etnik sejak sekian lama.
Teras gagasan 1Malaysia bertepatan apa diingini dari setiap murid. Sebagai anak
Malaysia dan pewaris negara, murid memainkan peranan penting menuntut ilmu
di samping terbabit pelbagai aktiviti dalam bilik darjah mahupun gerak kerja luar
bilik darjah.
Segala aktiviti positif sekolah adalah usaha membentuk personaliti, ketrampilan
dan jati diri sebagai anak Malaysia. Peranan ibu bapa, guru, masyarakat bahkan
negara dalam pembentukan murid amat ditagih.
Profesion perguruan adalah profesion mulia. Guru di negara ini banyak berjasa
meningkatkan tahap profesionalisme perguruan negara. Dalam konteks
menjayakan gagasan IMalaysia dan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,
pendidik harus menjiwai profesion perguruan.
Guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggilap bakat serta
memperkukuhkan potensi diri murid supaya berjaya dalam bidang diceburi.
Peranan pendidik juga untuk mengimbangi perkembangan intelek, rohani,
jasmani dan emosi.
Sebagai orang yang paling hampir dengan murid, guru perlu memberi dedikasi,
komitmen dan keprihatinan kepada semua anak didik. Guru selaku orang yang
mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan
bakat dalam setiap anak murid.
PROF MADYA DATIN DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)