Dokumen tersebut membahas mengenai penyebab dan penanganan masalah sosial dan disiplin pelajar dari perspektif Islam. Ia menjelaskan bahwa tanggung jawab untuk membentuk akhlak yang baik tidak hanya terletak pada satu pihak saja, melainkan merupakan tanggung jawab bersama antara keluarga, sekolah, masyarakat, dan pelajar itu sendiri. Dokumen tersebut juga menekankan pentingnya pendidikan yang men
Makalah yang membahas character building atau pendidikan karakter dari sudut pandang Islam. Bagaimana praktisnya serta contoh-contoh dari hal-hal yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Makalah yang membahas character building atau pendidikan karakter dari sudut pandang Islam. Bagaimana praktisnya serta contoh-contoh dari hal-hal yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.
PPT TENTANG FUNGSI FUNGSI PENDIDIKAN ISLAM SEKALIGUS METODE NYABagirAlkaff2
Di sini menerangkan tentang fungsi fungsi tentang pendidikan Islam yg semoga bisa bermanfaat dan semoga bisa membantu untuk mempelajari tentang fungsi fungsi tentang pendidikan Islam dan di sini juga terdapat metode-metode tentang pendidikan Islam jadi bukan hanya fungsi nya aja akan tetapi terdapat juga metodenya tentang pendidikan Islam (SEMOGA MEMBANTU)
1. PUNCA DAN RAWATAN MASALAH SOSIAL DAN DISIPLIN PELAJAR : SATU
PANDANGAN
Oleh ;
Prof. Madya Ab Gani bin Jalil
Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial
Universiti Teknologi Malaysia.
LATARBELAKANG
Banyak telah diperkatakan tentang masalah sosial dan disiplin pelajar Universiti
Teknologi Malaysia (UTM). Antara rungutan pensyarah pelajar meniru, berdua-duaan, tidak
hormat orang yang lebih dewasa, mudahnya pelajar merasa kecewa dalam hubungan
percintaan dan kesimpulan yang sering dibuat iaitu kegagalan pendidikan Islam oleh
pensyarah Pusat Pengajian Islam.
Rungutan-rungutan dapat diterima oleh semua pihak sebagai satu kesedaran untuk
memperbaiki generasi pelajar. Tetapi kesimpulan mudah yang dibuat dan lebih bersifat
retorik itu agak menyakitkan sebelah pihak dan bersifat tidak adil. Ia sama sahaja dengan
kecaman yang dilontarkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bahawa sistem
pendidikan hari ini gagal membentuk akhlak.
Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab membentuk akhlak? KPM sahaja?
Guru-guru atau pensyarah pendidikan Islam sahaja? Guru-guru disiplin sahaja? Atau kita
semua yang terlibat dalam dunia pendidikan sahaja yang sepatutnya mengambil
tanggungjawab yang maha besar dan maha berat ini ? Ataukah untuk berlaku adil maka
semua pihak dan setiap individu dilibatkan dalam pendidikan ?
DEFINISI
Masalah didefinisikan oleh Kamus Dewan sebagai “sesuatu yang memerlukan
penyelesaian, perkara atau keadaan yang menimbulkan kesukaran (kesulitan).”.
Sosial pula ditakrifkan sebagai, “1. segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal
masyarakat, kemasyarakatan. 2. berkaitan dengan persahabatan, pergaulan dan aktiviti masa
lapang. “
1
2. Bersosial pula bermaksud, “bercampur gaul dan bermesra (biasanya dimaksudkan
antara lelaki dengan perempuan). Disiplin menurut takrifan Kamus Dewan ialah :
1) Latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri.
2) Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.
Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran 1979 pula
menjelaskan maksud “disiplin” sebagai, “kesanggupan seseorang individu menghormati dan
mematuhi undang-undang sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan
sendiri. Disiplin juga bermakna kesanggupan seseorang itu bekerja atau membuat sesuatu
dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, kesanggupan
mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain,
kesanggupan menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong
menolong dan kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang
membina serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat.”
Dari perspektif Islam, disiplin ditakrifkan sebagai peraturan-peraturan yang
diperlukan oleh manusia untuk mencapai kesempurnaan hidup sesuai dengan apa yang
diperintahkan oleh Allah. Bermula dari kejadian manusia pertama Adam dan isterinya Hawa,
mereka hidup dengan disiplin walaupun di syurga sebenarnya tidak memerlukannya.
Kiranya disiplin inilah yang telah melatih dan menjadikan manusia mempunyai daya juang
(jihad). Tanpanya, manusia tidak mungkin boleh mempunyai kalangsungan (survivle) hidup.
Al-Quran menyebutkannya sebagai “sunnatullah” seperti firmanNya dalam surah al-Fath
ayat 23 yang bermaksud, “(Kekalahan orang-orang yang menentang Rasul Allah sudah tetap
menurut) "Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan
engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.”
Oleh itu, disiplin dalam Islam lebih merupakan cara hidup yang tidak mungkin
seseorang itu boleh terlepas darinya. Sebagaimana contohnya yang dapat dilihat dalam
ibadah yang mempunyai rukun dan syarat serta dilaksanakan dengan tertib (Bahasa Arab
“Tartib” iaitu mengikut susunan). Kesemua ibadah di dalam Islam melatih muslim menjadi
seorang yang berdisiplin. Jika hal ini dapat difahami dengan cara yang paling mudah, maka
disiplin tidak lagi menjadi masalah dan tentulah tidak ada lagi masalah disiplin!
2
3. Bagi seorang muslim yang menghayati ibadahnya, Islam mengajarkan supaya
berjamaah dalam melaksanakan solat. Bagi mereka yang menganggapnya hanya sebagai
fardu kifayah, diwajibkan pula solat Jumaat. Ini mengajar seorang muslim itu bersosial dan
berinteraksi dengan orang lain. Bagitu juga juga dalam ibadah-ibadah puasa, zakat dan
menunaikan haji. Kesemuanya mempunyai nilai interaksi sosial dan disiplin yang tinggi.
Tetapi, manusia lebih senang memilih untuk mempelajari ilmu tanpa memikirkan untuk
menghayatinya. Kerana itulah ulama besar seperti Imam Al-Ghazali menyusun kitabnya
yang masyhur “Ihya` Ulum al-Din” (Menghidupkan ilmu-ilmu agama).
PENGHAYATAN
Berilmu suatu yang boleh didapati melalui proses pembelajaran, tatapi menghayati
ilmu pula adalah suatu yang memerlukan kesungguhan kejiwaan dari dalaman diri individu
manusia. Oleh itu, manusia harus dilihat dari sudut elimen-elimen kejadiannya, iaitu jasad,
roh, aqal dan emosi (istilah agama disebut juga sebagai “nafsu”). Untuk menyelesaikan
masalah manusia, penyelesaian itu harus bersifat menyeluruh (wholistic) merangkumi ke
empat-empat unsur tersebut. Hal ini diakui oleh Knootz dan Weirich (1991 : 399) dalam
bukunya Management, “Kita tidak boleh bercakap tentang hakikat manusia tanpa menyentuh
keseluruhan diri manusia itu, bukan setakat ciri-ciri yang khusus dan terpisah seperti
pengetahuan, sikap, kemahiran atau sifat peribadi.
Setiap orang memiliki semua ciri ini pada kadar yang berbeza. Selain itu, ciri-ciri ini
bertindak balas di antara satu sama lain dan penonjolannya dalam situasi tertentu berubah
dengan pantas dan tanpa diduga.
“Manusia adalah peribadi lengkap yang dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.
Manusia tidak dapat menghindarkan diri daripada kesan pengaruh ini dalam pekerjaan
mereka.”
Drucker (1989: 38) juga bersetuju tentang perlu adanya nilai dalam diri manusia, “….
Precisely, because the object of management is a human community held together by the
work bond for common purpose, management always deals with the nature of man and with
good and evil as well.
3
4. “That means there has to be values, commitment, conviction in management even
passion. Without them, there will be no perfomance and no result. Indeed since management
deals with people and with things, management without values, commintments, convions can
only do harm.”
Untuk menyelesaikan masalah, usaha perlu dilakukan untuk mengenal pasti masalah
sebenar. Untuk mengubat, seorang doktor perlu mendiagnos pesakit. Hanya setelah
mengenalpasti penyakit, barulah dapat diberikan ubat sebenar. Untuk menjadikan manusia
boleh menyelesaikan masalah “menghayati ilmu”, ia perlu kepada pendididikan dalam istilah
Islam “Tarbiyyah”. Pendidikan berlaku bermula dari rumah kemudian ke sekolah dan
seterusnya ke mana-mana sahaja asalkan manusia sanggup berfikir dan menjadikannya
iktibar. Tanda soal yang paling besar ialah “Adakah setiap individu telah melaksanakan
peranan “mendidik” itu? Di rumah, adakah ketuanya (bapa) telah mendidik? Di sekolah,
adakah guru telah mendidik atau hanya mengajar untuk menghabiskan silibus? Apatah lagi
di universiti, adakah setiap individu pensyarah telah mendidik atau hanya sekadar memberi
latihan teknikal untuk mengeluarkan product sama seperti operator pengeluaran di kilang-
kilang industri? Di dalam masyarakat, adakah masyarakat berperanan mendidik atau hanya
melihat tanpa menegur kerana bimbang akan mengundang risiko?
Dalam Islam, proses mendapatkan ilmu hendaklah disertai dengan akhlak terpuji.
Imam al-Ghazali menegaskan, “ …… ibadat hati dan mengisi batin dengan ilmu tidak pula
sah tanpa lebih dahulu membersihkan hati daripada najis akhlak dan sifat-sifat kotor.”.
Dr. Muhammad “Atiyyah al-Abrasyi (1970: 108) menjelaskan tujuan utama
pendidikan sebagai, “pembentukan akhlak dan budipekerti yang sanggup menghasilkan
orang-orang yang bermoral, lelaki maupun wanita, jiwa yang bersih, kemahuan yang keras,
cita-cita yang benar dan akhlak yang tinggi, tahu erti kewajiban dan pelaksanaannya,
menghormati hak-hak manusia, tahu membezakan buruk baik dan mengingatkan Tuhan
dalam setiap pekerjaan yang mereka lakukan.”
Ilmu berkait rapat dengan Yang Memberi ilmu, Yang Maha Mengetahui iaitu Allah
s.w.t. Ilmu pengetahuan yang terjauh daripada Penciptanya akan menjadi ilmu sekular yang
tidak dapat membentuk keperibadian apatah lagi akhlak yang mulia. Sebagai contoh, para
4
5. jurutera yang boleh membina kapalterbang, bila dihubungkan dengan Allah, akan
menggunakan hasil ciptaan mereka untuk manfaat manusia sejagat. Tetapi jika tidak
dikaitkan dengan Allah, akan menggunakan hasil ciptaan mereka untuk membunuh ribuan
nyawa yang tidak berdosa atas berbagai nama dan alasan yang mewajarkan tindakan mereka.
Profesor Harold H. Titus (1953: 420-421) menjelaskan, “Pendidikan telah
memisahkan dirinya daripada warisan rohaniah dari zaman silam, tetapi gagal menyediakan
satu penggantian yang memuaskan. Akibatnya, orang-orang terpelajar sendiri turut
kehilangan pendirian dan keyakinan atau nilai di samping tidak mempunyai satu pandangan
duniawi yang menyeluruh.”.
Matlamat akhir mempelajari ilmu ialah mendapat kesenangan dan keselesaan. Dalam
hal ini Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Sesiapa yang
menghendakki kesenangan dunia, wajiblah menuntut ilmu. Sesiapa yang menghendakki
kesenangan akhirat, juga wajib menuntut ilmu. Sesiapa yang menghendakki kesenangan
kedua-duanya sekali wajib menuntut ilmu.” Kesimpulannya, manusia yang menuntut ilmu
terbahagi kepada tiga kelompok.
1. Kelompok yang mementingkan dunia semata-mata.
2. Kelompok yang mementingkan akhirat sahaja.
3. Kelompok yang memerlukan kesejahteraan dan kebahagian di dunia dan akhirat.
Implikasi dari tiga sikap tersebut amat berbeza. Kelompok pertama apabila berjaya
akan hanya mementingkan diri sendiri. Bagi mereka hidup ini ialah belajar, ijazah, jawatan,
gaji lumayan dan akhirnya kemewahan. Bagaimana mendapatkannya tidak penting asalkan
matlamat tercapai.
Kelompok kedua pula amat bertentangan dengan yang pertama. Mereka dilihat
merupakan kelompok tidak berjaya. Cara hidup dan pemikiran mereka amat mudah.
Dibimbangi dari mereka muncul generasi yang lemah dan tidak berdaya memberikan
sumbangan untuk masyarakat apatah lagi umat.
Kelompok ketiga inilah yang merupakan kumpulan seimbang dalam maksud tidak
mengabaikan keperluan hidup dunia dan akhirat. Inilah generasi yang dibentuk oleh Islam
5
6. sehingga dapat mencapai zaman gemilang pada suatu masa dahulu. Mereka menegakkan
negara dan umat yang berdaulat dan berwibawa hingga menjadi qiblat bangsa-bangsa lain
dari seluruh dunia.
GENERASI SEIMBANG PENYELESAIAN MASALAH
Keseimbangan merupakan kata kunci bagi permasalahan yang dihadapi oleh umat
manusia. Bila dapat difahami bahawa manusia dicipta oleh Allah dari unsur-unsur jasad dan
roh serta di masa yang sama, diberi akal dan emosi, ertinya penyelesaian masalah mestilah
mengambilkira kesemua elimen tersebut.
Masalah jasadiah (nisbah kepada jasad atau fizikal) paling mudah diselesaikan. Ia
memerlukan segala bahan yang diperlukan oleh jasad. Makan minum, kerihatan, memuaskan
nafsu (mengikut yang dibenarkan oleh agama), keseronokan dan segala yang indah.
Masalah rohiyyah (nisbah kepada roh atau spiritual) agak sukar diselesaikan. Bagai
manapun, penyelesaiannya akan menyelesaikan juga masalah emosi dan memandu akal ke
jalan yang benar dan diridhai oleh Pencipta. Pertama ia memerlukan ilmu, ilmu pula
memerlukan amal kerana dengannya ilmu akan hidup dan memandu manusia. Ilmu juga
akan memandu akal. Dengan akal manusia dapat mengimbangi emosinya.
Pengajian dan aktiviti di universiti perlu merangkumi kegiatan yang meliputi
keempat-empat unsur tersebut. Aktiviti yang berkaitan dengan akal dalam bentuk pengajaran
dan pembelajaran merupakan tugas utama universiti. Sementara aktiviti kerohanian yang
berkaitan dengan roh hanya merupakan aktiviti sampingan dalam bentuk solat jamaah, solat
Jumaat, kuliah-kuliah maghrib dan subuh serta majlis-majlis bacaan yasin mingguan, solat
hajat menjelang peperiksaan dan qiamullail. Bagai manapun, aktiviti kerohanian ini tidak
mendapat tempat di hati pelajar universiti kerana tidak mempunyai nilai kredit. Kebiasaan
dunia kampus yang memberi nilai kepada segala aktiviti dengan nilai kredit atau kenaikan
pangkat (bagi para pensyarah) sedikit sebanyak menyumbang kepada fenomena ini.
Ilmu juga memerlukan satu aktiviti pengukuhan. Ia boleh dilakukan dengan
mengajarkan kemahiran berfikir. Minda pelajar sudah terlalu banyak diasak dengan ilmu,
lebih tepat lagi maklumat. Kesempatan untuk berfikir tidak banyak diberi kepada pelajar
6
7. sejak di bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti. Masa bilakah mereka sempat
berfikir. Yang mereka dengar sentiasa ialah ingat formula demi formula dengan segala
macam teori dan pendapat. Oleh itu, program-program yang menggalakkan setiap individu
berfikir harus disusun. Kaedah pengajaran yang memberikan kemahiran berfikir juga perlu
dikembangkan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya, “Berfikir seketika lebih baik
ibadah (sunat) selama setahun.”.
Suasana persekitaran yang santai harus diwujudkan. Jika dibimbangi pelajar tidak
tahu menggunakan suasana itu, berikan kemahiran. Minta pandangan, saranan dan cadangan
dari para pensyarah yang pernah belajar di luar negara bagaimana suasana yang harmoni
boleh diwujudkan dengan syarat ia tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana
percanggahan akan menyebabkan hilang berkat ilmu. Kehilangan berkat ilmu akan
mengakibatkan kemeranaan akhlak dan kerosakannya seterusnya kerosakan yang timbul akan
menyebabkan kemerosotan disiplin dan seterusnya berlaku masalah sosial.
Tenaga pengajar di universiti juga harus berperanan melahirkan generasi seimbang
ini. Tugas mereka bukan setakat mengajar di kelas-kelas perdana dan SPACE. Mereka harus
mempunyai kesedaran bahawa kebahagiaan bagi seorang “guru” bukanlah setakat mencapai
kemewahan metrial, tetapi juga kepuasan bekerja (bagi bukan muslim) dan “bonus pahala
yang kekal” dari Maha Pencipta (bagi mereka yang punya keyakinan “faith”.). Tidak ada
saat yang paling membahagiakan seorang guru melainkan melihat pelajarnya berjaya di
samping berakhlak dengan akhlak yang mulia!
Mungkin masih ada lagi kalangan yang beranggapan “adalah terlalu ideal menjadi
seorang “guru” yang berakhlak seperti di zaman para sahabat. Itu hanya boleh dilakukan
oleh orang-orang luar biasa. Di dalam Islam tiada istilah “manusia luar biasa”. Yang ada
ialah istilah muslim atau mukmin. Apapun istilah yang diberikan, adalah wajar bagi setiap
individu pensyarah terjun dalam gerakan besar-besaran memperbaiki suasana sosial yang
berpaksikan kepada Falsafah Pendidikan Negara dan sebagai muslim didasari oleh aqidah.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya, “Bila seorang anak Adam itu mati,
putuslah segala amalnya kecuali tiga (yang masih berjalan pahalanya) iaitulah sedekah jariah,
ilmu yang memberi manfaat dan anak saleh yang mendoakan baginya.”. Di rumah ibu bapa
7
8. berperanan sebagai pendidik dan di insititusi pengajian, orang yang paling hampir kepada
pelajar ialah pensyarahnya.
PENUTUP
Begitulah pentingnya berilmu, berfikir dan beramal. Keguruan sama ada gelarannya cikgu,
ustaz, pensyarah, profesor atau jurulatih, merupakan amanah yang harus dilaksanakan sebaik-
baiknya. Hanya dengan cara itu pendidikan dapat berjalan dengan sempurna. Rasulullah
s.a.w. mengingatkan semua pendidik dengan sabdanya yang bermaksud, “Kiranya Allah
memberikan hidayah kepada seseorang lantaran kamu, itu lebih baik daripada dunia dan
isinya.”.
RUJUKAN:
Al-Quran al-Karim.
Abdullah Basmeih, 1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran. Kuala Lumpur: Jabatan
Perdana Menteri.
Al-Ghazali. Ihya’ Ulum al-Din. Jld.1. (1973) terj. Maisir Thaib, A. Thaher Hamidy, H.A. Hanifah Z. Medan:
Pustaka Indonesia.
Al-Abrasyi, Muhammad ‘Atiyyah. 1970. Al-Tarbiyyat al-Islamiyyah. (Dasar-dasar pokok pendidikan Islam).
Terj. H. Bustani A. Gani dan Djohar Bahry. Jakarta: Bulan Bintang.
Drucker, Peter F. 1989. World Executive Digest, July 1989.
Harold Koonts & Heinz Weihrich, 1991. Management, terj. Mohd Salmi Mohd. Sohod dan Siti Nadzrah
Sheikh Omar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Titus, Harold H. 1953. Living Issues in Philosophy. New York: ________
Ulwan, Abdullah Nasih. 1981. Tarbiyat al-aulad fi al-Islam. Jil. 1. (Ulang cetak sejak 1976). Beirut: Dar al-
Salam.
8