Literasi maklumat dan teknologi pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan p
1. Literasi maklumat dan teknologi pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan
P&P oleh guru. Murid-murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri pembelajaran abad ke-
19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang meyimpan beribu-ribu maklumat dan murid
ibarat cakera keras (hard disk) tanpa memori yang menunggu untuk diisi. Gaya pembelajaran terkini,
seperti yang ditegaskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan
pelbagai pendekatan seperti pembelajaran secara hands-on, kontekstual, konstruktivisme dan masteri;
melalui permainan dan inkuiri penemuan; dan berasaskan projek. Pendekatan yang digunakan haruslah
memberi peluang yang tidak terhad kepada murid dan mengambil kira tahap kecerdasan murid. Ini
adalah selaras dengan gaya pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan literasi era digital, murid
berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang
tinggi.
Alvin Toffler, seorang penulis yang terkenal dalam bidang revolusi digital pernah mengatakan, “The
illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn,
unlearn and relearn.” (Buta huruf pada abad ke-21 bukanlah individu yang tidak boleh membaca dan
menulis tetapi terdiri daripada individu yang tidak boleh belajar, belajar meninggalkan apa yang telah
dipelajari dan belajar semula). Tuntutan kehidupan abad ke-21 memerlukan reaksi pantas manusia
untuk berubah mengikut keadaan dan situasi agar tidak ditenggelami oleh tsunami teknologi.
Gaya pengajaran guru perlu seiring dengan gaya pembelajaran murid agar tidak P&P dapat
dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, guru-guru perlu mengambil sikap yang terbuka dalam
mengetahui dan mengenal pasti teknologi pendidikan berkesan yang menggabungjalinkan teori
instruksional dan teori pembelajaran. Seperti seorang tukang rumah yang mempunyai peralatan
seperti tukul, paku, tangga dan sebagainya, murid-murid perlu dibekalkan dengan pelbagai peralatan
(teknologi) yang dapat membantu mereka belajar dengan cepat dan berkesan. Dengan wujudnya
gabungan literasi maklumat dan teknologi pendidikan yang baik, pembelajaran akan menjadi lebih
bermakna dan memberi impak yang besar dalam proses Membangun Potensi Individu Melalui
Pendidikan Berkualiti yang menjadi misi Kementerian Pelajaran Malaysia.