Amalan menabung penting untuk menyediakan dana pendidikan anak dan mengelakkan masalah hutang. Kebanjiran pekerja asing memberi kesan negatif seperti menjejaskan perniagaan tempatan dan menyebabkan persaingan sengit dalam pasaran buruh. Langkah proaktif perlu diambil untuk mengurangkan ketergantungan kepada pekerja asing.
Salinan dari JUrnal Refleksi Mingguan modul 1.3.pdf
BAHASA MELAYU (SPM) LATIHAN MENGHURAIKAN ISI PERENGGAN PERTAMA
1. LATIHAN MENGHURAIKAN ISI (BAHASA MELAYU SPM)
PERENGGAN PERTAMA SAHAJA
SOALAN 1
“Amalan menabung perlu digalakkan dalam kalangan rakyat di negara kita terutama
dalam iklim ekonomi dunia yang tidak menentu. Berikan penjelasan anda tentang
pendapat tersebut.”
JAWAPAN:
Antara faedah amalan menabung ialah wang tabungan dapat digunakan pada masa
hadapan untuk membiayai pembelajaran anak-anak. Kita selaku ibu bapa hendaklah memainkan
peranan dengan menggalakkan amalan menabung dalam diri anak-anak sejak kecil lagi, seperti
maksud peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan begitu penting kepada
setiap khalifah di muka bumi agar ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan
harian. Dalam era globalisasi yang kian pesat membangun ini, kos pendidikan sudah semestinya
semakin meningkat. Pelbagai impak negatif akan berlaku jika kita terus-terusan mengambil
enteng akan hal ini kerana malang tidak berbau. Apabila amalan menabung dipraktikkan di
rumah atau di institusi kewangan, bebanan yang ditanggung oleh sesebuah keluarga dapat
dielakkan. Wang tabungan yang disimpan itu dapat digunakan untuk pendidikan anak-anak
seperti membayar yuran pengajian, membeli pelbagai bahan bacaan ilmiah dan membeli
komputer. Hal ini demikian dapat mengelakkan sikap boros berbelanja sehingga kehabisan wang
untuk digunakan pada masa hadapan. Rentetan itu mereka terpaksa berhutang dengan “Along”
mahupun pihak bank bagi memperoleh pinjaman dalam masa terdekat lalu menyebabkan mereka
kesempitan hidup kerana diburu oleh pemiutang. Hal ini membuktikan bahawa amalan menabung
amat penting untuk mengelakkan pembaziran wang yang berterusan agar kita dapat
menggunakannya untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Amalan menabung ini membolehkan
seseorang itu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi sekali gus memupuk sikap berdiri
dalam diri sebagai jaminan untuk memperoleh sesuatu perkara. Oleh itu, kita hendaklah beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis dengan menyediakan payung sebelum hujan agar nasi
tidak menjadi bubur. Justeru itu, kita haruslah berpegang pada amalan “cermat masa banyak,
jimat masa sedikit” kerana amalan tersebut membantu kita menjalani kehidupan yang lebih baik
terutama pada masa akan datang.
2. SOALAN 2
“Malaysia telah menjadi tumpuan para pekerja asing untuk mencari nafkah di negara kita
ekoran pembangunan pesat dalam pelbagai bidang yang memerlukan bilangan tenaga
buruh yang ramai. Bincangkan kesan-kesan kebanjiran pekerja asing di negara kita.”
JAWAPAN:
Antara kesan kebanjiran pekerja asing di negara kita ialah menyebabkan perniagaan
rakyat tempatan terjejas kerana dasawarsa ini ramai pekerja asing yang terlibat dalam dunia
perniagaan. Para pekerja asing ini berjualan di kaki-kaki lima bangunan, di pasar malam, malahan
ada yang sudah berani menyewa rumah-rumah kedai dan gedung perniagaan. Kebanyakan
pekerja asing terutama dari negara jiran, iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina telah menjadi
pekerja sementara di negara ini. Mereka begitu bijak menggunakan pelbagai taktik mahupun
strategi bagi memastikan perniagaan mereka lebih berdaya saing berbanding dengan peniaga
tempatan. Kebanyakan daripada mereka menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah malahan
sanggup menawarkan harga yang lebih murah dan rendah berbanding harga pasaran semasa.
Bukan itu sahaja, mereka turut menawarkan khidmat selepas jualan yang lebih baik sekali gus
menyebabkan penduduk tempatan berlumba-lumba untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.
Kebanjiran pendatang asing di Malaysia yang semakin meningkat dari hari ke hari seperti maksud
peribahasa cendawan tumbuh selepas hujan ini telah menyumbang kepada pembukaan
cawangan perniagaan di merata-rata tempat. Walaupun sesetengah daripada mereka memasuki
negara ini secara sah, terdapat juga mereka yang tidak mengikuti saluran yang dibenarkan
sehingga lebih rela menipu demi kepentingan mereka sendiri bagi mengaburi mata pihak
berkuasa. Fenomena sebegini telah menyebabkan berlakunya persaingan yang sengit antara
pekerja tempatan dengan pekerja asing. Fenomena yang kian parah ini telah menyebabkan ramai
peniaga tempatan yang terpaksa gulung tikar kerana gagal bersaing dengan pekerja asing ini. Hal
ini umumnya, berpunca daripada keinginan mereka untuk mendapatkan wang yang lebih bagi
menyara keluarga di desa. Rentetan daripada keinginan tersebut, mereka berhijrah ke Malaysia
sekali gus memonopoli perniagaan di dalam negara kita. Sikap para majikan yang lebih
cenderung menggunakan khidmat pekerja asing kerana mereka sanggup menerima upah yang
lebih rendah berbanding dengan pekerja tempatan inilah yang menjadi penyumbang kepada
kemerosotan periuk nasi peniaga tempatan. Konklusinya, pendekatan proaktif perlulah diambil
oleh semua pihak untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing agar nasib penduduk
tempatan lebih terbela. Pembangunan negara yang begitu pesat menyebabkan kemasukan buruh
asing dari negara luar semakin berleluasa, seperti maksud peribahasa ada gula adalah semut.
3. Oleh itu, pihak berkuasa tempatan hendaklah menggembleng tenaga demi membanteras isu
kebanjiran pekerja asing yang rata-ratanya datang dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh,
Vietnam, Nepal dan Filipina ini dengan jayanya sebelum terus menjadi duri dalam daging yang
akan memakan diri kita sendiri.