1. Perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation.
Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada
tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman
tanpa menggunakan tanah. Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman
sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya tomato, cili,
timun, terung, melon dan strawberi.
Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan
tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar seperti Pythium, Fusarium,
Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya dibawa oleh tanah.
Selain daripada itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup
cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak polibeg.
2. Kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi mampu membekalkan air dan
larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran. Air dan larutan
baja diberikan secara berkala setiap hari. Larutan baja yang mengandungi segala
nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar tanaman.
Teknologi sistem fertigasi ini paling praktikal dibuat di bawah Struktur
Pelindung Hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam tidak mudah
dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang
disebabkan oleh percikan hujan. Selain daripada melindungi tanaman daripada
jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan
kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan mengakibatkan pertumbuhan
pokok terjejas dan hasil merosot.
SISTEM FERTIGASI
3. Alatan Fertigasi
Untuk membentuk sistem fertigasi, beberapa peralatan diperlukan.
1. Penitis
2. Pam
3. Tangki
4. Penapis
5. Alat pengatur masa
6. Polipaip
Selain daripada itu, EC meter juga diperlukan untuk mengukur kandungan baja agar
bersesuaian dengan tahap tumbesaran pokok.
4. Media Fertigasi
Fertigasi adalah daripada keluarga hidroponik. Mengikut takrifan hidroponik, pokok
diberi nutrien dan air tanpa menggunakan tanah. Oleh itu, dalam sistem fertigasi,
medium yang mudah dicari dan murah akan digunakan di dalam sistem. Paling
banyak digunakan oleh pengusaha tanaman sistem fertigasi adalah habuk sabut
kelapa atau sekam bakar. Selain daripada itu, medium lain yang boleh digunakan
adalah pasir, batu kerikil granit, perlite, vermiculite dan maidenwell diatomite.
Sebaik-baiknya, campuran medium seperti habuk sabut kelapa dan juga sekam
bakar (1:1) digunakan untuk memberi pengudaraan dan juga sebagai sokongan
kepada akar untuk berpaut di dalam polibeg. Tetapi penggunaan habuk sabut kelapa
sahaja atau sekam bakar sahaja juga diamalkan oleh sesetengah pengusaha
bergantung kepada kawasan, memandangkan ada sesetengah kawasan yang tidak
mempunyai habuk sabut kelapa dan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai
sekam bakar.
5. Baja Fertigasi
Dalam sistem fertigasi, larutan baja perlu diberikan kepada pokok sekerap mungkin
kerana medium yang digunakan tidak mempunyai nutrien.
Pemberian baja perlu diberikan mengikut keperluan pokok untuk mengelakkan
pembaziran. Larutan baja yang diberi hanyalah untuk kegunaan pokok dari sesi
pertama pemberian baja ke sesi ke dua pemberian baja dalam hari yang sama.
Kandungan Baja Fertigasi
1. Nitrogen
2. Fosforus
3. Kalium
4. Sulfat
5. Magnesium
6. Mangan
7. Ferum
8. Kuprum
9. Zink
10. Boron
11. Ammonium
12. Molibdenum
13. Natrium
14. Kalsium
6. Struktur Pelindung Tanaman
Penggunaan struktur pelindung tanaman (SPT) atau dikenali juga sebagai
struktur lindungan hujan dapat memberikan hasil yang optimum kepada tanaman
fertigasi yang diusahakan.
Struktur pelindung tanaman dapat melindungi tanaman daripada terkena
hujan dan mengakibatkan pokok dijangkiti kulat. Ini dapat mengurangkan
penggunaan racun kulat pada tanaman. SPT ini dapat menjamin pengeluaran hasil
yang optimum kerana setiap pokok mendapat air dan baja yang mencukupi
walaupon hari hujan.
Jika system fertigasi yang tidak menggunakan SPT, semasa musim hujan, air
hujan akan bercampur dengan air baja di dalam polibeg dan mengakibatkan
kandungan baja di dalam media tanaman menjadi cair. Kecairan air baja ini akan
mengakibatkan tanaman tidak dapat nutrient yang mencukupi dan pengusaha juga
akan mengalami kerugian kerana pembaziran baja serta mendapat hasil yang
kurang pada musim hujan.
Asasnya struktur pelindung tanaman diperbuat daripada besi dan atap
polietina lut sinar. Tujuan menggunakan atap polietine lutsinar kerana ianya tahan
lama dan membenarkan cahaya melaluinya secara terus. Dengan ini pokok dapat
melakukan proses fotosintesis kerana mendapat cahaya yang cukup.
7. Terdapat pelbagai bentuk SPT. Antara bentuk SPT yang terkenal adalah
bentuk terowong. Bentuk ini membolehkan atap plastic yang dipasang lebih kukuh
dan menggalakkan cahaya matahari masuk secara optimum.
Ada juga SPT yang dipasang jaring kalis serangga. Penggunaan jaring kalis
serangga dapat mengelakkan tanaman daripada serangan serangga dan tempias air
hujan. Tetapi penggunaan jaring ini akan mengakibatkan suhu di dalam SPT panas
dan pengusaha terpaksa melakukan pendebungaan berbantu pada tanaman kerana
ketiadaan serangga.
Jika dilihat pada projek-projek fertigasi yang dijalankan oleh pengusaha di
Malaysia, kebanyakan mereka tidak membina SPT kerana kos pembinaan SPT yang
mahal. Dengan itu pengusaha terpaksa menggunakan racun kulat dan serangga
untuk melindungi tanaman mereka daripada serangan penyakit.