Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti hubungan motivasi, gaya pembelajaran dengan pencapaian Matematik Kejuruteraan pelajar-pelajar semester akhir Diploma Kejuruteraan di Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Seramai 226 orang pelajar semester 6 yang mengambil modul Matematik Kejuruteraan 5 telah dipilih sebagai sampel. Instrumen yang digunakan ialah Inventori Pembelajaran di Sekolah dalam Norlia et al (2006) yang telah mengemukakan empat gaya pembelajaran iaitu Gaya Pembelajaran Permukaan, Gaya Pembelajaran Mendalam, Gaya Pembelajaran Terancang dan Gaya Pembelajaran Gigih Usaha. Gaya kelima pembelajaran iaitu gaya dorongan telah diubahsuai untuk mengukur dorongan Motivasi Dalaman dan Motivasi Luaran. Data dianalisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan perisian SPSS (Statistical Packages for Social Sciences v18.0). Hasil analisis deskriptif mendapati skor min bagi gaya pembelajaran yang diamalkan pelajar berada pada tahap yang sederhana dan nilai min untuk gaya permukaan lebih tinggi berbanding dengan gaya mendalam, terancang dan gigih usaha. Bagi faktor motivasi, didapati nilai min bagi motivasi dalaman lebih tinggi berbanding dengan motivasi luaran. Hasil analisis inferesi menunjukkan hubungan yang lemah antara gaya pembelajaran dengan pencapaian pelajar. Namun ujian signifikan menunjukkan terdapat hubungan yang bermakna antara gaya pembelajaran mendalam, terancang dan gigih usaha dengan pencapaian pelajar. Bagi faktor motivasi pula, hasil analisis menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan motivasi dalaman dan luaran. Hasil analisis ujian – t mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan keempat-empat gaya pembelajaran dengan pencapaian Matematik Kejuruteraan pelajar.