SlideShare a Scribd company logo
1 of 16
Download to read offline
DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
lwn.
KETUA PENDAKWA SYARIE JAWI & YANG LAIN
Mahkamah Rayuan Syariah, Kuala Lumpur
Md Yusup Che Teh, Yusof Musa, Amran Mat Zain HHMRyS
[Kes Rayuan No: 14000-099-0017-2010]
5 Disember 2016
Kes-kes yang dirujuk:
Gu Kien Lee v. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu [2012] 2 CLJ 317 (dirujuk)
Long Samat & Ors v. PP [1974] 1 MLRA 412; [1974] 2 MLJ 152 (dirujuk)
Metrobus Nationwide Bdn Bhd lwn. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan
Semenanjung Malaysia & Satu Lagi [2012] MLRHU 1725; [2012] 4 MLJ 813;
[2013] 3 CLJ 743 (dirujuk)
Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn. Pendakwa Syarie Pulau Pinang [1998] 13(2) JH
185 (dirujuk)
PP lwn. Zainuddin [2009] 6 MLRH 26 (dirujuk)
Perundangan yang dirujuk:
Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993, s 58(2)
Federal Constitution, s 145
Rules of Court 2012, s 53
Syariah Court Civil Procedure (Federal Territories) Act 1998, ss 2(3), 244, 245
Syariah Criminal Offences (Federal Territories) Act 1997, ss 2, 41
Syariah Criminal Procedure (Federal Territories) Act 1997, s 230
Specific Relief Act 1950, s 44(1)
Lain-lain yang dirujuk:
Al-Sultah al-Taqdiruyyah Li al-Qadhiyy Fi Al-Fiqh Al-Islamiyy, ms 223
Al-Muktamad Fi al-Fiqh al-Shaf'iyy
Dr Abdul Qadir Audah, Tasyri' al-Jinaie al-Islami, Muassasah Ar Risalah,
juzuk 2, hlm 463
I'aanah al-Taalibin
Majma' al-Anhur Fi Syarhi Multaqa al-Abhur
Kaunsel:
Bagi pihak perayu: Kamar Ainiah Kamaruzaman (Dorina Abdullah bersamanya);
Tetuan Kamar Ainiah, Razifff & Zahidi, Mohd Radie Mohd Rhafie (Mohd Reza
Mohd Rafie bersamanya); Tetuan Chambers of Rafie Mohd Shafie & Associates,
& Fadlina Dato' Sidek (Fadzli Arsad bersamanya); Tetuan Fadhlina Siddiq &
Associates
Bagi pihak responden: Roslizam Rahim; Tetuan Nailah Ramli & Partners, Abdul
Razak Muhidin; Tetuan Mohd Redzuan Ramli & Associates, Mohd Redzuan
Ramli; Tetuan Mohd Redzuan Ramli & Associates, & Faisalludin Mohamad
Yusuff; Tetuan Faisalludin Yusuff & Partners
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 1
[Rayuan ditolak dengan kos.]
PENGHAKIMAN
Yusof Musa HMRyS:
Fakta Kes
[1] Rayuan ini difailkan oleh Perayu kerana tidak berpuas hati dengan
sebahagian keputusan YA Hakim Bicara Mahkamah Tinggi Syariah Kuala
Lumpur dalam kes No 14100-0099-0012-2010 yang diberikan pada 14 April
2010.
[2] Perayu telah memfailkan Notis Rayuannya pada 23 April 2010 terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.
[3] Kes ini bermula apabila Perayu telah memfailkan permohonan pada 7
Januari 2010 di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala
Lumpur kes Mal No: 14100-099-0012-2010, di mana Perayu melalui Notis
Permohonan telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah
Persekutuan sebagaimana berikut:
i. Bahawa Mahkamah Yang Mulia ini melaksanakan kuasa-kuasanya
di bawah s 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) 1998 dan Hukum Syarak dan memerintahkan
Responden Pertama supaya menggunakan kuasanya yang diberi di
bawah s 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) 1993 dan hukum syarak bagi mendakwa Mohd
Saiful Bukhari Bin Azlan (No KP 850706-01-5687) di atas kesalahan
Qazaf di bawah s 41 Akta Jenayah Syariah 1997 dan/atau Hukum
Syarak dalam tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh Perintah
Mahkamah;
ii. Bahawa Mahkamah Yang Mulia ini melaksanakan kuasa-kuasanya
di bawah s 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) 1998 dan Hukum Syarak bagi memastikan
Responden Kedua dan Responden Ketiga tidak menghalang dan/atau
mempengaruhi Responden Pertama daripada menjalankan tugas dan
tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful Bukhari
Bin Azlan;
iii. Kos permohonan ini dijadikan kos dalam kausa;
iv. Relif-relif lain yang Mahkamah Yang Mulia ini fikirkan perlu; dan
v. Bahawa kegagalan mematuhi Perintah Mahkamah boleh dikenakan
tindakan penghinaan Mahkamah.
[4] Pada 9 Februari 2010, Responden-Responden telah memfailkan Bantahan
pg 2
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
Awal terhadap permohonan Perayu, bagi mendapatkan Perintah sebagaimana
berikut:
i. YB Zulkifli Bin Nordin digugurkan daripada menjadi Peguam
Syarie dalam permohonan ini; dan
ii. Mahkamah Yang Mulia ini membatalkan/mengenepikan
keseluruhan prosiding Kes Mal No: 14100-099-0012 2010.
[5] Pada 14 April 2010, Mahkamah Tinggi Syariah telah mendengar bantahan
awal tersebut dan memutuskan:
i. Mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan.
ii. Mahkamah menerima bantahan awal Responden-Responden dan
menolak permohonan Pemohon.
[6] Sebutan pertama rayuan Perayu dijadualkan pada 14 Mei 2010, tetapi
ditangguhkan apabila Responden-Responden pada tarikh tersebut telah
memfailkan satu Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan Perayu
didaftarkan dengan No Kes: 14000-099-0020-2010, kerana Notis Rayuan
Perayu menyebut merayu terhadap keseluruhan keputusan sedangkan rayuan
Perayu hanya sebahagian keputusan sahaja.
[7] Setelah Responden-Responden menfailkan Permohonan Mengenepikan
Notis Rayuan, Perayu telah bertindak memfailkan suatu Notis Rayuan
Terpinda berserta Afidavit Tambahan pada 9 November 2010. Afidavit
Tambahan tersebut telah dijawab oleh Responden 1 yang mewakili
Responden 2 dan Responden 3 bagi membantah afidavit tambahan Perayu.
Afidavit bantahan itu difailkan pada 18 Februari 2011. Setelah itu, Perayu
telah memfailkan satu lagi afidavit pada 21 Februari 2012 iaitu Afidavit
Tambahan berserta dengan draf Notis Rayuan Terpinda bagi tujuan meminda
Notis Rayuan asal yang bertarikh 23 April 2010 dengan memasukkan:
".... merayu kepada sebahagian keputusan ini yang memutuskan
bahawa...
1. Mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar
permohonan
2. Mahkamah menerima bantahan awal responden-responden
dan menolak permohonan pemohon."
[8] Ketika prosiding Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan sedang
berjalan, Perayu telah mengemukakan bantahan awal secara lisan berkenaan
status pemfailan kes tersebut dan Perayu berhujah bahawa Permohonan
Mengenepikan Notis Rayuan yang difailkan Responden-Responden
hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Mahkamah. Panel
Rayuan ketika itu yang bersidang pada 30 Januari 2012 telah membuat
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 3
"ruling"/ keputusan bahawa bantahan awal secara lisan Perayu ditolak dan
memutuskan pemfailan Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan oleh
Responden-Responden adalah betul serta tidak perlu mendapatkan kebenaran
Mahkamah.
[9] Oleh kerana Perayu tidak berpuashati dengan "ruling"/keputusan Panel
Rayuan pada ketika itu, maka Perayu telah memfailkan permohonan semakan
pada 21 Februari 2012 dan telah didaftarkan dengan No Kes: 14000-003-0006-
2012. Perayu menyatakan alasannya bahawa "ruling"/keputusan yang dibuat
oleh Panel Rayuan pada 30 Januari 2012 adalah bertentangan dengan aturcara
Mahkamah dan peruntukan undang-undang. Belum pun sempat Mahkamah
Rayuan Syariah mendengar kes semakan tersebut, pada 20 April 2012
Responden-Responden pula telah menfailkan Permohonan untuk
mengenepikan permohonan semakan tersebut dan didaftarkan dengan No
Kes: 14000-041-0022-2012.
[10] Kesimpulannya, daripada rentetan Notis Rayuan bertarikh 23 April 2010
telah mengakibatkan lahirnya:
i. Kes Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan yang difailkan
Responden-Responden;
ii.. Kes Semakan kepada suatu ruling/keputusan dalam kes 14000-
099-0020-2010 yang difailkan Perayu; dan
iii. Kes Permohonan untuk mengenepikan semakan yang difailkan
Responden-Responden.
[11] Prosiding pada 23 Jun 2016, pihak-pihak telah bersetuju dengan Notis
Rayuan Pindaan yang telah difailkan oleh Perayu pada 21 Februari 2012.
Oleh itu Mahkamah menerima Notis Rayuan Pindaan tersebut yang telah
dipersetujui oleh pihak-pihak dan mahkamah arahkan supaya ini diteruskan
dengan kes rayuan. Oleh yang demikian, kes-kes sebagaimana di atas iaitu Kes
No: 14000-099-0020-2010 (Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan), Kes
No: 14000-003-0006-2012 (Semakan kepada suatu ruling/keputusan dalam
Kes No: 14000-099-0020-2010) dan Kes No: 14000-041-0022-2012
(Permohonan untuk mengenepikan semakan) dibatalkan.
Penghakiman
[12] Permohonan Perayu di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan pada 7
Januari 2010 (ms 3 Rekod Rayuan) supaya Mahkamah melaksanakan
kuasanya mengikut s 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) 1998 dan Hukum Syarak.
Responden-Responden telah membuat bantahan awal dan memohon seperti
berikut:
i. YB Zulkifli Bin Nordin digugurkan daripada menjadi Peguam
Syarie dalam permohonan itu; dan
pg 4
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
ii. Mahkamah Yang Mulia ini membatalkan/mengenepikan
keseluruhan prosiding kes.
[13] Pada 14 April 2010, Mahkamah Tinggi Syariah telah membuat keputusan
menerima bantahan awal Responden-Responden dan mengenepikan
permohonan Perayu.
[14] Perayu telah menfailkan Notis Rayuan pada 23 April 2010, dan
memfailkan Notis Rayuan Terpinda pada 21 Februari 2012. Alasan kepada
rayuan ini telah difailkan oleh Perayu pada 3 November 2010 dengan
mengemukakan 15 alasan rayuan (ms 145-149 Rekod Rayuan) yang
menyatakan:
i. Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi
undang-undang dan prosedur apabila mengenepikan Perayu
Permohonan semata-mata 86 berdasarkan Bantahan Awal
Defendan/Responden-Responden.
ii. Sebagai tambahan dan alternatif kepada perenggan 1 di atas, YA
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dalam
mengenepikan Permohonan Perayu sedangkan ketiga-tiga perkara
dalam Bantahan Awal Responden tidak lagi relevan dan/atau ditolak
Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah iaitu:
(a) Bantahan pertama berkenaan perlantikan YB Zulkifli bin
Noordin sebagai Peguam Syarie tidak berbangkit kerana
beliau telah menarik diri secara sukarela daripada mewakili
Perayu sebelum Bantahan didengar;
(b) Bantahan kedua berkenaan ketidakpatuhan dalam
memulakan prosiding mal juga tidak berbangkit apabila
Perayu mencadangkan dan bersedia untuk meminda
Permohonan Perayu dan Mahkamah tidak mempunyai
halangan;
(c) Responden Bantahan ketiga ketiga Responden ditolak
apabila Yang Arif memutuskan Mahkamah mempunyai
bidangkuasa untuk mendengar permohonan Perayu iaitu
supaya Responden Pertama diperintahkan untuk
menggunakan kuasanya bagi mendakwa Mohd Saiful Bukhari
Bin Azlan dan Responden kedua dan ketiga tidak menghalang
dan/atau mempengaruhi Responden Pertama daripada
menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam
pendakwaan tersebut.
iii. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi
undang-undang dan prosedur apabila membuat keputusan tidak
berasaskan kepada bantahan awal Responden tetapi jauh terkeluar
dan lari dari skop bantahan awal.
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 5
iv. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-
undang dan fakta apabila membuat keputusan mengenai merit dan isu
substantif permohonan Perayu sedangkan isu merit belum dibicarakan
dan tiada keterangan dan/atau bukti-bukti pernah diambil di
Mahkamah bagi tujuan itu.
v. Selanjutnya sebagai tambahan dan alternatif kepada perenggan 4 di
atas, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari
segi undang-undang dan fakta apabila membuat keputusan berkenaan
isu kuasa Ketua Pendakwa Syarie walhal isu ketua Pendakwa Syarie
adalah intipati dan merit kes Perayu yang menjadi isu utama dan
persoalan pokok di dalam Permohonan Perayu.
vi. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi
undang-undang dan Hukum Syara' apabila mengenepikan
Permohonan Perayu tanpa membicarakan atau mendengar
Permohonan Perayu halmana ianya menafikan hak Perayu untuk
didengar (audi alteram partem) secara mutlak.
vii. Secara tambahan dan alternatif kepada perenggan 6 di atas, YA
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah terkhilaf dari segi undang-undang
dan Hukum Syara' apabila memutuskan bahawa kehakiman berkuasa
untuk menegakkan keadilan, namun YA Hakim Mahkamah Tinggi
Syariah telah menafikan hak Perayu untuk mendapatkan keadilan
tanpa memberi peluang kepada Perayu untuk didengar.
viii. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi
undang-undang dan fakta apabila mengatakan Ketua Pendakwa
Syarie mempunyai kuasa "Quasi-judicial" tanpa sebarang alasan dan
autoriti.
ix. Sebagai tambahan dan alternatif kepada perenggan 8 di atas, YA
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang-
undang dan fakta kerana memutuskan Ketua Pendakwa Syarie
mempunyai kuasa "quasi-judicial" padahal kuasa "quasi-judicial" yang
dinyatakan tidak pernah dibangkitkan oleh Responden-Responden di
dalam Bantahan Awal mereka dan tiada apa pun bukti, keterangan
dan hujah mengenai perkara tersebut dikemukakan oleh pihak-pihak.
x. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi
undang-undang dan fakta apabila menyamakan aspek pendakwaan
Ketua Pendakwa Syarie dengan Peguam Negara menerusi polisi-
polisi, standard dan/atau prinsip yang digunakan oleh Peguam
Negara termasuk kaedah "Ninety Percent Rules" walhal perkara-
perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan dan tiada apa-apa bukti,
keterangan atau hujah mengenainya dibawa oleh Perayu atau
Responden.
xi. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-
pg 6
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
undang dan fakta apabila memutuskan kuasa Ketua Pendakwa Syarie
adalah besar dan luas yang menyamai kuasa Peguam Negara.
xii. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-
undang dan fakta apabila tidak mengambil kira bahawa Ketua
Pendakwa Syarie hanyalah seorang pegawai yang kedudukannya
terletak dan tertakluk di bawah Pengarah Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan.
xiii. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-
undang dan fakta apabila tidak mengambil kira kuasa Peguam Negara
diperolehi secara khusus dan istimewa daripada Perkara 145 Fasal (3)
Perlembagaan Persekutuan di mana Peguam Negara merupakan suatu
institusi yang bebas dan berotonomi dan tidak tertakluk di bawah
mana-mana jabatan yang lain.
xiv. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi Undang-
undang dan Hukum Syara' apabila membandingkan aspek
pendakwaan yang diterima pakai oleh Peguam Negara dengan
merujuk kepada kes-kes jenayah sivil tanpa mengambil kira kesalahan
Qazaf adalah jenayah syariah yang meliputi hak Allah dan manusia
yang tidak wujud di dalam sistem pendakwaan sivil.
xv. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-
undang dan Hukum Syara' apabila menyatakan bahawa di dalam
aspek pendakwaan kepentingan umum dan/atau masyarakat adalah
kepentingan utama Syariah akan tetapi dengan keputusan
mengenepikan permohonan Perayu aspek kepentingan umum telah
tidak diberikan keutamaan.
[15] Walaupun Perayu mengemukakan 15 alasan rayuan namun dalam
penghujahan bertulisnya bertarikh 11 Ogos 2016 di ms 7 dan di dalam
hujahan lisannya pada 6 Oktober 2016, Perayu menyatakan penghujahannya
hanya tertumpu kepada Alasan Rayuan 14 dan 15 sahaja. Kami telah meneliti
semua penghujahan dan alasan Perayu namun Kami akan memberikan
penekanan kepada Alasan Rayuan 14 dan 15 yang dihujahkan Perayu.
[16] Peguam Perayu pada 6 Oktober 2016 telah memulakan penghujahan
lisannya dengan merujuk dan membaca s 2 dan s 41 Akta Kesalahan Jenayah
Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]. Perayu
kemudiannya merujuk penghujahan bertulisnya pada 11 Ogos 2016 kepada s
244 dan 245 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1998 dan s 230 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) 1997 supaya Mahkamah mengarahkan Ketua
Pendakwa Syarie menggunakan kuasanya di bawah s 58(2) Akta Pentadbiran
Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]
untuk mendakwa Mohd Saiful Bukhari bin Azlan.
Isu Tafsiran Zina
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 7
[17] Dalam kes ini, Perayu dalam penghujahan bertulisnya di para 2 ms 8,
menghujahkan tuduhan liwat juga termasuk dalam makna zina. Tafsiran
sebegini adalah bagi membolehkan s 41 digunapakai sebagai asas kesalahan
qazaf ke atas Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan. Perayu mengemukakan nas dari
kitab al-Muktamad Fi al-Fiqh al Shaf'iyy dan dari kitab I'aanah al-Taalibin.
Namun Perayu tidak pula merujuk kepada tafsiran yang diberikan undang-
undang itu sendiri.
[18] Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1997 perkataan "zina" telah ditafsirkan di dalam s 2 iaitu "zina" ertinya
persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah. Manakala makna
"liwat" pula ertinya perhubungan seks sesama lelaki. Persoalannya, adakah
makna "zina" yang terdapat di dalam s 41 yang mendasari kesalahan qazaf
boleh ditafsirkan mempunyai pengertian yang lain dari apa yang dinyatakan di
dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1997. Subseksyen 2(3) akta yang sama memperuntukkan:
[19] Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini dan yang
tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948
[Akta 388] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya
masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak
bercanggah dengan Hukum Syarak.
[20] Di dalam s 2(3) tersebut, pengertian sesuatu perkataan dan ungkapan
yang tidak ditakrifkan oleh akta tersebut hendaklah mempunyai erti
sepertimana yang ditakrifkan oleh Akta Tafsiran setakat yang tidak
bercanggah dengan Hukum Syara'. Dalam hal ini, perkataan " zina " telahpun
ditakrifkan oleh akta itu sendiri di bawah s 2. Oleh itu dapatlah difahami
bahawa pengertian zina yang lain dari yang ditakrifkan oleh Akta Kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 tidak dibenarkan oleh
undang-undang itu sendiri.
[21] Di dalam kes ini, tuduhan liwat tidak terpakai di dalam kes qazaf di
bawah s 41 kerana undang-undang memperuntukkan qazaf di bawah seksyen
tersebut hanya boleh digunakan dalam kes pertuduhan zina sahaja.
[22] Soalnya, apakah tafsiran zina yang diperuntukkan oleh Akta Kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bertentangan dengan
Hukum Syara'? Para ulama berbeza pendapat berkaitan isu ini, ada yang
menyatakan perbuatan liwat tersebut adalah termasuk zina dan ada yang
menyatakan ianya tidak termasuk kesalahan zina.
[23] Dr Abdul Qadir Audah, kitab Tasyri' al-Jinaie al-Islami, juzuk 2,
Muassasah Ar Risalah, hlm 463 telah menyatakan:
pg 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
Bermaksudnya: "Tuduhan liwat pada pandangan Mazhab Maliki,
Syafie dan Hambali adalah berhukum dengan tuduhan zina kerana
mereka menganggap liwat itu sama dengan zina. Peliwat dianggap
sebagai penzina sama ada peliwat atau kena liwat itu lelaki atau
perempuan. Apabila sabit si penuduh sengaja menuduh orang yang
kena tuduh melakukan liwat maka dia hendaklah dikenakan hukuman
had. Adapun Imam Abu Hanifah berpandangan tidak dikenakan
hukuman had bagi tuduhan liwat bahkan dikenakan hukuman takzir
kerana liwat tidak dikira sebagai zina. Dengan yang demikian, tidak
dikira tuduhan liwat sebagai tuduhan zina."
[24] Kami bersetuju dengan Perayu yang membawakan pelbagai pandangan
ulama' berkaitan zina, namun sayangnya Kami selaku badan kehakiman telah
diikat oleh undang-undang yang telah ditakninkan atau diperundangkan. Oleh
yang demikian, Kami tidak mempunyai pilihan lain selain daripada perlu
bersetuju dengan maksud zina di dalam s 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang hanya terhad kepada makna
persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan sahaja dan tidak termasuk
kesalahan liwat.
Isu Memulakan Pendakwaan
[25] Dalam soal memulakan pendakwaan, hak untuk memulakan sesuatu
pendakwaan dalam kes jenayah syariah adalah terletak kepada Ketua
Pendakwa Syarie. Subseksyen 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan; Ketua Pendakwa
Syarie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi
bicaranya bagi memulakan, menjalankan dan memberhentikan apa-apa
prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah.
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 9
[26] Persoalannya sama ada boleh atau tidak Mahkamah memerintahkan
Ketua Pendakwa Syarie supaya membuat suatu pendakwaan jenayah? Perayu
telah menghujahkan dengan merujuk kepada peruntukan s 244, s 245 Akta
Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 dan s
230 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
mendapat perintah yang dipohon.
[27] Seksyen 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1998 berbunyi:
Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh disifatkan sebagai
mengehadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah
untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan
ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah.
[28] Manakala s 245 pula berbunyi:
(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta
ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal
setakat ketidakselarasan itu.
(2) Jika terdapat apa-apa lakuna atau jika apa-apa perkara tidak
diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah
menggunakan Hukum Syarak.
[29] Seksyen 245 ini tidak pernah di'plid'kan dalam tuntutan asal Perayu di
Mahkamah Tinggi dan juga ada tidak dalam alasan rayuan Perayu yang boleh
menjadi asas kepada rayuan Perayu. Seksyen 245 ini hanya wujud dalam
penghujahan Perayu.
[30] Selain daripada itu, Perayu merujuk kepada s 230 Akta Tatacara Jenayah
Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen tersebut berbunyi:
(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta
ini yang tak konsisten dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal
setakat yang tak konsisten itu.
(2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan
dengan nyata oleh Akta ini, Mahkamah hendaklah menggunakan
Hukum Syarak.
[31] Jika diteliti, s 244 di atas memperuntukkan bahawa mana-mana
peruntukan di dalam Akta Tatacara Mal tidak boleh menghalang Mahkamah
daripada menggunakan kuasanya sedia adanya untuk mengeluarkan apa-apa
perintah bagi mengelakkan ketidakadilan. Kami telah meneliti hujahan Perayu
dan tidak mendapati sebarang hujah atau otoriti daripada undang-undang
yang menunjukkan kuasa sedia ada Mahkamah boleh mengeluarkan perintah
yang dimohon.
pg 10
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
[32] Seksyen 245 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1998 dan s 230 Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 mempunyai peruntukan yang sama.
Kedua-duanya merujuk kepada perkara tidak konsisten dengan Hukum
Syara'dan/atau lakuna dalam undang-undang. Namun malangnya, seksyen
yang dirujuk iaitu s 244, s 245 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 dan s 230 Akta Tatacara Jenayah
Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 semuanya
berkaitan dengan tatacara semata-mata sedangkan isu yang berbangkit adalah
dalam perkara undang-undang substantif. Peruntukan dalam undang-undang
tatacara tidak boleh digunakan dalam undang-undang substantif. Peruntukan
tersebut khusus kepada Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Tatacara
Jenayah Syariah sahaja, tidak kepada akta yang lain. Rujukan kepada s 244,
245 dan s 230 untuk digunakan dalam perkara substantif adalah tidak tepat.
Isu Pendakwaan Mengikut Hukum Syara
[33] Dari sudut Hukum Syarak, apakah seseorang pendakwa boleh dipaksa
atau tidak, untuk membuat sesuatu pendakwaan ? Di dalam isu ini, Perayu
sebagai orang memohon, menanggung beban mengemukakan kepada Kami
nas atau otoriti dari segi Hukum Syarak yang menunjukkan Mahkamah boleh
mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie untuk memulakan apa-apa tindakan
pendakwaan Jenayah Syariah. Hujahan Perayu hanya bergantung kepada s
244, 245 dan s 230 semata-mata. Kami mendapati Perayu tidak menunjukkan
hujahnya berdasarkan hukum syarak samada secara lisan atau bertulis
berkenaan isu ini.
[34] Merujuk kepada kitab Majma' al-Anhur Fi Syarhi Multaqa al Abhur
sebagaimana berikut:
Maksudnya: "Daripada istilah Syarak, Pendakwa adalah seseorang
yang tidak boleh dipaksa untuk mendakwa dalam apa-apa
pertelingkahan atau menuntut hak."
[35] Kami turut merujuk kitab Al-Sultah al-Taqdiriyyah Li al-Qadhiyy Fi Al-
Fiqh Al-Islamiyy di ms 223 menyatakan:
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 11
Maksudnya: "Pertama: Penarikan balik pendakwaan dan tarik balik
kes.
Hak mendakwa itu terletak kepada pendakwa, jika pendakwa tidak
mendakwa, tiada yang boleh memaksa mereka, Jika pendakwaan itu
ditarik balik, ianya akan memberi kesan kepada kes: jika pendakwa
menarik balik kes sebelum hukuman diputuskan, maka prosiding
pendakwaan tersebut adalah dianggap telah selesai sebelum sampai
peringkat mengeluarkan hukuman."
[36] Daripada nas-nas di atas, menunjukkan bahawa seseorang pendakwa
tidak boleh dipaksa untuk membuat apa-apa dakwaan. Ianya adalah suatu hak
yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak sama ada dari segi
undang-undang atau hukum Syara'.
Isu Kuasa Ketua Pendakwa Syarie
[37] Berkaitan dengan hujah yang dibangkitkan oleh Perayu berhubungan
dengan isu Ketua Pendakwa Syarie sebagai kakitangan awam tetapi
mempunyai kuasa yang luas dan perlu dikawal serta tidak boleh dibandingkan
dengan Peguam Negara yang dilantik di bawah Perkara 145 Perlembagaan
Persekutuan, Kami mendapati isu ini berkaitan dengan alasan rayuan Perayu
ke-11, 12 dan 13. Ketiga-ketiga alasan rayuan ini tidak dihujahkan secara
bertulis oleh Perayu namun hanya dibangkitkan Perayu dalam hujahan
lisannya.
[38] Menjawab persoalan ini, Kami merujuk kepada s 58(2) Akta Pentadbiran
Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. Ketua
Pendakwa Syarie dilantik di bawah seksyen tersebut. Peruntukan itu adalah
sama dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan bagi
pelantikan Peguam Negara.
[39] Subseksyen 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-
pg 12
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan:
Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh
dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan
dan memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di
hadapan Mahkamah Syariah.
[40] Manakala Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berbunyi:
Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan
menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau
memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain
prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri
atau mahkamah tentera.
[41] Suka Kami tegaskan di sini, Ketua Pendakwa Syarie dan Peguam Negara
kedua-duanya mempunyai kuasa yang sama dalam skop masing-masing.
Peguam Negara mempunyai kuasa dan kawalan dalam pendakwaan jenayah
di Mahkamah Sivil manakala Ketua Pendakwa Syarie pula di Mahkamah
Syariah. Kuasa Ketua Pendakwa Syarie dan Peguam Negara adalah kuasa
eksklusif dan boleh dijalankan menurut budibicara mereka. Dalam kes Long
Samat & Ors v. PP [1974] 1 MLRA 412; [1974] 2 MLJ 152, YA Tun Suffian
telah memutuskan kuasa sepenuhnya untuk meneruskan pembicaraan atau
tidak adalah pada Peguam Negara (Perkara 145(3) Perlembagaan). Begitu juga
Mahkamah Rayuan dalam kes dalam kes PP lwn. Zainuddin [2009] 6 MLRH
26, telah memutuskan undang-undang dan Perlembagaan memberikan kuasa
mutlak kepada Peguam Negara dan di atas budibicaranyalah sama ada untuk
memfailkan rayuan atau tidak walaupun masyarakat mengharapkannya
melaksanakan kuasa tersebut dengan adil, jujur dan profesional.
[42] Dalam kes Gu Kien Lee v. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu [2012] 2 CLJ
317 yang dirujuk oleh Perayu, Perayu telah merujuk para 19 berkaitan dengan
penyiasatan Polis dan laporan kepada Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Mahkamah telah mengarahkan Polis menjalankan penyiasatan terhadap
laporan yang dibuat pemohon. Namun Kami telah meneliti kes tersebut dan
mendapati di para 13 ms 323, mahkamah ada menyatakan berkaitan dengan
kuasa Peguam Negara dan kuasa Polis. Mahkamah menyatakan dengan jelas
kuasa untuk memutuskan sama ada telah berlaku kesalahan dan pendakwaan
berkaitan adalah kuasa Peguam Negara. Manakala kuasa polis adalah untuk
menyiasat dan bukannya menentukan pendakwaan atau tidak. Para 13
tersebut berbunyi:
13] It is important to remember that it is the public prosecutor who
decides whether an offence has been committed and if so whether any
person is to be prosecuted in connection therewith. The power of the
police is to investigate, not to decide whether any person is or is not to
be prosecuted for any crime or, for that matter, to decide whether a
police report discloses a civil or a criminal matter. That power lies
with the Attorney General acting in his capacity as public prosecutor
as provided in art 145(3) of the Federal Constitution read together
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 13
with s 376(1) of the CPC.
Bermaksud: Adalah penting untuk diperingatkan bahawa pendakwa
raya adalah orang yang memutuskan sama ada suatu kesalahan telah
dilakukan dan jika telah dilakukan, sama ada untuk mendakwa mana-
mana orang atau tidak berhubung dengan kesalahan tersebut. Kuasa
polis pula adalah untuk menyiasat, bukan untuk membuat keputusan
sama ada seseorang boleh didakwa atau tidak atas apa apa jenayah
atau, dalam hal ini, untuk memutuskan sama ada laporan polis
merupakan perkara sivil atau perkara jenayah. Kuasa itu terletak pada
Peguam Negara yang bertindak atas kapasitinya sebagai pendakwa
raya sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 145(3)
Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama-sama dengan s
376(1) Kanun Tatacara Jenayah.
[43] Ketua Pendakwa Syarie sebagai kakitangan awam mempunyai kuasa-
kuasa tertentu untuk memulakan pendakwaan dalam kes jenayah Syariah.
Perayu merujuk kes Gu Kien Lee di atas untuk menunjukkan kepada Kami
bahawa wujudnya kuasa yang boleh mengarahkan seseorang pegawai awam
menjalankan tugasnya.
[44] Dengan hormat Kami katakan bahawa kes Gu Kien Lee adalah tidak tepat
untuk digunakan dalam kes ini. Gu Kien Lee memohon mahkamah
mengarahkan Polis menjalankan tanggungjawab dan kuasanya dalam perkara
jenayah. Dalam kes jenayah syariah pula tanggungjawab dan kuasa yang sama
dipunyai oleh Pegawai Penguatkuatkuasa Agama.
[45] Merujuk kes Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn. Pendakwa Syarie Pulau
Pinang, YAA Tun Abdul Hamid Mohammad (Panel Rayuan Syariah) telah
menyatakan:
"Nampaknya Pegawai Penguatkuasa Agama pun masih silap faham
kedudukan mereka. Sebenarnya mereka sendiri adalah polis bagi
tujuan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Mereka dilantik oleh
Yang di-Pertuan Agong mengikut s 62 Enakmen Pentadbiran."
[46] Oleh itu Pegawai Penguatkuasa Agama dan Polis dari segi bidang tugas
adalah sama sebagai pegawai penyiasat. Jadi, berdasarkan kes Gu Kien Lee,
Mahkamah boleh mengarahkan penyiasatan (para 19 ms 325) jika badan yang
bertanggungjawab menjalankan penyiasatan tidak melakukannya. (para 15 ms
324)
[47] Perayu juga merujuk kes Metrobus Nationwide Bdn Bhd lwn. Lembaga
Pelesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung Malaysia & Anor [2012]
MLRHU 1725; [2012] 4 MLJ 813; [2013] 3 CLJ 743. Kes tersebut adalah
semakan kehakiman. Dalam kes tersebut pemohon telah memohon suatu
perintah mandamus di bawah s 44(1) Akta Relief Spesifik 1950 mengarah
Responden mengarahkan RapidKL mengenakan tambang bas mengikut kadar
tambang yang ditetapkan di bawah Peraturan Lembaga Pelesenan
Perdagangan (Kadar Tambang) 2000. Dalam kes tersebut Mahkamah
pg 14
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
memutuskan keputusan Lembaga membenarkan RapidKL mengenakan
tambang yang lebih rendah adalah ultra vires. Walau bagaimanapun
permohonan pemohon ditolak oleh mahkamah atas alasan pemohon gagal
memenuhi syarat yang diperlukan s 44(1) tersebut.
[48] Dalam kes Gu Kien Lee dan Metrobus Nationwide Sdn Bhd di atas,
Responden iaitu Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu dan Lembaga Pelesenan
Kenderaan Perdagangan Semenanjung Malaysia bukan badan yang
mempunyai kuasa budibicara memulakan, menjalankan atau memberhentikan
apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan seperti yang dipunyai oleh Ketua
Pendakwa Syarie dan Peguam Negara. Oleh yang demikian, tindakan atau
keputusan mereka boleh disemak melalui prosiding semakan kehakiman. Hal
ini tidak sama dengan Ketua Pendakwa Syarie mahupun Peguam Negara
yang mempunyai kuasa eksklusif dalam skop masing-masing yang tidak
tertakluk kepada semakan kehakiman.
[49] Untuk pengetahuan semua, peruntukan semakan kehakiman seumpama
A 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak terdapat di dalam Akta
Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993
ataupun di dalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1998. Oleh itu, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tidak
mempunyai kuasa semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh
agensi-agensi berkaitan dengan hal ehwal agama Islam. Setakat ini hanya
Negeri Selangor sahaja yang mewujudkan peruntukan berkaitan dengan
semakan kehakiman.
Isu Laporan Klinikal
[50] Perayu menghujahkan wujudnya laporan klinikal perubatan Saiful
Bukhari seperti di ms 164-173 Rekod Rayuan. Sukacita Kami menyatakan
laporan-laporan tersebut adalah relevan dan sesuai di kemukakan jika kes
Qazaf dibicarakan. Namun dalam kes ini, isu berbangkit ialah kuasa untuk
mengarah Ketua Pendakwa Syarie mendakwa Saiful Bukhari.
Isu Pemakaian Kes Sivil Di Mahkamah Syariah
[51] Perayu menghujahkan rujukan yang dibuat oleh Hakim Bicara terhadap
kes-kes sivil. Merujuk kes Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn. Pendakwa Syarie
Pulau Pinang [1998] 13(2) JH 185, YAA Tun Abdul Hamid Mohammad
(Panel Rayuan Syariah) telah menyatakan:
"Saya berpendapat, memandangkan bahawa peruntukan undang-
undang yang berkenaan yang terpakai di kedua-dua Mahkamah itu
adalah serupa, malah peruntukan-peruntukan yang terpakai di
Mahkamah Syariah itu diambil daripada peruntukan undang-undang
yang dipakai di Mahkamah Sivil, memandangkan bahawa prinsip itu
baik dan untuk kepentingan keadilan dan tidak pula bercanggah
dengan Hukum Syarak, maka prinsip yang dipakai di Mahkamah Sivil
itu eloklah dipakai oleh Mahkamah Syariah, dan saya menerima
pakainya."
[2016] SLRAU 8
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 15
[52] Kami bersetuju dengan penghakiman Tun Abdul Hamid menggunakan
rujukan kes-kes Mahkamah Sivil sebagai panduan dan boleh dipakai di
Mahkamah Syariah selama mana ianya tidak bercanggah dengan Hukum
Syarak.
[53] Kesimpulan, permohonan asal Perayu ialah memohon Mahkamah
mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie mendakwa Mohd Saiful Bukhari bin
Azlan di atas kesalahan Qazaf. Penggunaan s 244, 245, 230 oleh Perayu hanya
boleh digunakan dalam undang-undang tatacara sahaja jika sekiranya berlaku
tidak konsisten dan lakuna kepada undang-undang tatacara sedangkan
permohonan Perayu adalah mengenai kuasa pendakwa di bawah s 58(2) Akta
Pentadbiran dan peruntukan kesalahan Qazaf di bawah s 41 Akta Kesalahan
Jenayah Syariah. Kedua-duanya terletak di dalam undang-undang substantif.
Oleh itu, Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa eksklusif seperti mana
dalam undang-undang yang ditakninkan dan nas Syara' yang Kami nyatakan
sebelum ini. Seksyen 244, 245 Akta Tatacara Mal dan 230 Akta Tatacara
Jenayah tidak boleh digunakan jika berlaku tidak selaras/konsisten dengan
Hukum Syara' dan lakuna dalam undang-undang substantif.
[54] Oleh yang demikian, Kami tidak mempunyai alasan untuk campur
tangan terhadap keputusan melainkan mengesahkan keputusan Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.
Keputusan
[55] Setelah Kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan, Nota Prosiding,
Penghujahan kedua-dua pihak, maka Kami dengan sebulat suara memutuskan
seperti berikut:
i. Rayuan Perayu ditolak dengan kos;
ii. Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dalam Kes No: 14100-0099
0012-2010 yang diberikan pada 14 April 2010 dikekalkan.
iii. Kes-kes berkaitan iaitu Kes No: 14000-099-0020-2010, Kes No:
14000 003-0006-2012 dan Kes No: 14000-041-0022-2012 dibatalkan;
dan
iv. Permohonan kos oleh Responden-Responden dibenarkan sebanyak
RM5,000.00 sahaja.
pg 16
Dato' Seri Anwar Ibrahim
lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8

More Related Content

Featured

Social Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie Insights
Social Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie InsightsSocial Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie Insights
Social Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie Insights
Kurio // The Social Media Age(ncy)
 
Good Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them well
Good Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them wellGood Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them well
Good Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them well
Saba Software
 

Featured (20)

Content Methodology: A Best Practices Report (Webinar)
Content Methodology: A Best Practices Report (Webinar)Content Methodology: A Best Practices Report (Webinar)
Content Methodology: A Best Practices Report (Webinar)
 
How to Prepare For a Successful Job Search for 2024
How to Prepare For a Successful Job Search for 2024How to Prepare For a Successful Job Search for 2024
How to Prepare For a Successful Job Search for 2024
 
Social Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie Insights
Social Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie InsightsSocial Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie Insights
Social Media Marketing Trends 2024 // The Global Indie Insights
 
Trends In Paid Search: Navigating The Digital Landscape In 2024
Trends In Paid Search: Navigating The Digital Landscape In 2024Trends In Paid Search: Navigating The Digital Landscape In 2024
Trends In Paid Search: Navigating The Digital Landscape In 2024
 
5 Public speaking tips from TED - Visualized summary
5 Public speaking tips from TED - Visualized summary5 Public speaking tips from TED - Visualized summary
5 Public speaking tips from TED - Visualized summary
 
ChatGPT and the Future of Work - Clark Boyd
ChatGPT and the Future of Work - Clark Boyd ChatGPT and the Future of Work - Clark Boyd
ChatGPT and the Future of Work - Clark Boyd
 
Getting into the tech field. what next
Getting into the tech field. what next Getting into the tech field. what next
Getting into the tech field. what next
 
Google's Just Not That Into You: Understanding Core Updates & Search Intent
Google's Just Not That Into You: Understanding Core Updates & Search IntentGoogle's Just Not That Into You: Understanding Core Updates & Search Intent
Google's Just Not That Into You: Understanding Core Updates & Search Intent
 
How to have difficult conversations
How to have difficult conversations How to have difficult conversations
How to have difficult conversations
 
Introduction to Data Science
Introduction to Data ScienceIntroduction to Data Science
Introduction to Data Science
 
Time Management & Productivity - Best Practices
Time Management & Productivity -  Best PracticesTime Management & Productivity -  Best Practices
Time Management & Productivity - Best Practices
 
The six step guide to practical project management
The six step guide to practical project managementThe six step guide to practical project management
The six step guide to practical project management
 
Beginners Guide to TikTok for Search - Rachel Pearson - We are Tilt __ Bright...
Beginners Guide to TikTok for Search - Rachel Pearson - We are Tilt __ Bright...Beginners Guide to TikTok for Search - Rachel Pearson - We are Tilt __ Bright...
Beginners Guide to TikTok for Search - Rachel Pearson - We are Tilt __ Bright...
 
Unlocking the Power of ChatGPT and AI in Testing - A Real-World Look, present...
Unlocking the Power of ChatGPT and AI in Testing - A Real-World Look, present...Unlocking the Power of ChatGPT and AI in Testing - A Real-World Look, present...
Unlocking the Power of ChatGPT and AI in Testing - A Real-World Look, present...
 
12 Ways to Increase Your Influence at Work
12 Ways to Increase Your Influence at Work12 Ways to Increase Your Influence at Work
12 Ways to Increase Your Influence at Work
 
ChatGPT webinar slides
ChatGPT webinar slidesChatGPT webinar slides
ChatGPT webinar slides
 
More than Just Lines on a Map: Best Practices for U.S Bike Routes
More than Just Lines on a Map: Best Practices for U.S Bike RoutesMore than Just Lines on a Map: Best Practices for U.S Bike Routes
More than Just Lines on a Map: Best Practices for U.S Bike Routes
 
Ride the Storm: Navigating Through Unstable Periods / Katerina Rudko (Belka G...
Ride the Storm: Navigating Through Unstable Periods / Katerina Rudko (Belka G...Ride the Storm: Navigating Through Unstable Periods / Katerina Rudko (Belka G...
Ride the Storm: Navigating Through Unstable Periods / Katerina Rudko (Belka G...
 
Barbie - Brand Strategy Presentation
Barbie - Brand Strategy PresentationBarbie - Brand Strategy Presentation
Barbie - Brand Strategy Presentation
 
Good Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them well
Good Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them wellGood Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them well
Good Stuff Happens in 1:1 Meetings: Why you need them and how to do them well
 

QAZAF - DATO' SERI ANWAR IBRAHIM (MrSY).pdf

  • 1. DATO' SERI ANWAR IBRAHIM lwn. KETUA PENDAKWA SYARIE JAWI & YANG LAIN Mahkamah Rayuan Syariah, Kuala Lumpur Md Yusup Che Teh, Yusof Musa, Amran Mat Zain HHMRyS [Kes Rayuan No: 14000-099-0017-2010] 5 Disember 2016 Kes-kes yang dirujuk: Gu Kien Lee v. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu [2012] 2 CLJ 317 (dirujuk) Long Samat & Ors v. PP [1974] 1 MLRA 412; [1974] 2 MLJ 152 (dirujuk) Metrobus Nationwide Bdn Bhd lwn. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung Malaysia & Satu Lagi [2012] MLRHU 1725; [2012] 4 MLJ 813; [2013] 3 CLJ 743 (dirujuk) Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn. Pendakwa Syarie Pulau Pinang [1998] 13(2) JH 185 (dirujuk) PP lwn. Zainuddin [2009] 6 MLRH 26 (dirujuk) Perundangan yang dirujuk: Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993, s 58(2) Federal Constitution, s 145 Rules of Court 2012, s 53 Syariah Court Civil Procedure (Federal Territories) Act 1998, ss 2(3), 244, 245 Syariah Criminal Offences (Federal Territories) Act 1997, ss 2, 41 Syariah Criminal Procedure (Federal Territories) Act 1997, s 230 Specific Relief Act 1950, s 44(1) Lain-lain yang dirujuk: Al-Sultah al-Taqdiruyyah Li al-Qadhiyy Fi Al-Fiqh Al-Islamiyy, ms 223 Al-Muktamad Fi al-Fiqh al-Shaf'iyy Dr Abdul Qadir Audah, Tasyri' al-Jinaie al-Islami, Muassasah Ar Risalah, juzuk 2, hlm 463 I'aanah al-Taalibin Majma' al-Anhur Fi Syarhi Multaqa al-Abhur Kaunsel: Bagi pihak perayu: Kamar Ainiah Kamaruzaman (Dorina Abdullah bersamanya); Tetuan Kamar Ainiah, Razifff & Zahidi, Mohd Radie Mohd Rhafie (Mohd Reza Mohd Rafie bersamanya); Tetuan Chambers of Rafie Mohd Shafie & Associates, & Fadlina Dato' Sidek (Fadzli Arsad bersamanya); Tetuan Fadhlina Siddiq & Associates Bagi pihak responden: Roslizam Rahim; Tetuan Nailah Ramli & Partners, Abdul Razak Muhidin; Tetuan Mohd Redzuan Ramli & Associates, Mohd Redzuan Ramli; Tetuan Mohd Redzuan Ramli & Associates, & Faisalludin Mohamad Yusuff; Tetuan Faisalludin Yusuff & Partners [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 1
  • 2. [Rayuan ditolak dengan kos.] PENGHAKIMAN Yusof Musa HMRyS: Fakta Kes [1] Rayuan ini difailkan oleh Perayu kerana tidak berpuas hati dengan sebahagian keputusan YA Hakim Bicara Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur dalam kes No 14100-0099-0012-2010 yang diberikan pada 14 April 2010. [2] Perayu telah memfailkan Notis Rayuannya pada 23 April 2010 terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tersebut. [3] Kes ini bermula apabila Perayu telah memfailkan permohonan pada 7 Januari 2010 di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur kes Mal No: 14100-099-0012-2010, di mana Perayu melalui Notis Permohonan telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan sebagaimana berikut: i. Bahawa Mahkamah Yang Mulia ini melaksanakan kuasa-kuasanya di bawah s 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1998 dan Hukum Syarak dan memerintahkan Responden Pertama supaya menggunakan kuasanya yang diberi di bawah s 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1993 dan hukum syarak bagi mendakwa Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan (No KP 850706-01-5687) di atas kesalahan Qazaf di bawah s 41 Akta Jenayah Syariah 1997 dan/atau Hukum Syarak dalam tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh Perintah Mahkamah; ii. Bahawa Mahkamah Yang Mulia ini melaksanakan kuasa-kuasanya di bawah s 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1998 dan Hukum Syarak bagi memastikan Responden Kedua dan Responden Ketiga tidak menghalang dan/atau mempengaruhi Responden Pertama daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan; iii. Kos permohonan ini dijadikan kos dalam kausa; iv. Relif-relif lain yang Mahkamah Yang Mulia ini fikirkan perlu; dan v. Bahawa kegagalan mematuhi Perintah Mahkamah boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah. [4] Pada 9 Februari 2010, Responden-Responden telah memfailkan Bantahan pg 2 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
  • 3. Awal terhadap permohonan Perayu, bagi mendapatkan Perintah sebagaimana berikut: i. YB Zulkifli Bin Nordin digugurkan daripada menjadi Peguam Syarie dalam permohonan ini; dan ii. Mahkamah Yang Mulia ini membatalkan/mengenepikan keseluruhan prosiding Kes Mal No: 14100-099-0012 2010. [5] Pada 14 April 2010, Mahkamah Tinggi Syariah telah mendengar bantahan awal tersebut dan memutuskan: i. Mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan. ii. Mahkamah menerima bantahan awal Responden-Responden dan menolak permohonan Pemohon. [6] Sebutan pertama rayuan Perayu dijadualkan pada 14 Mei 2010, tetapi ditangguhkan apabila Responden-Responden pada tarikh tersebut telah memfailkan satu Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan Perayu didaftarkan dengan No Kes: 14000-099-0020-2010, kerana Notis Rayuan Perayu menyebut merayu terhadap keseluruhan keputusan sedangkan rayuan Perayu hanya sebahagian keputusan sahaja. [7] Setelah Responden-Responden menfailkan Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan, Perayu telah bertindak memfailkan suatu Notis Rayuan Terpinda berserta Afidavit Tambahan pada 9 November 2010. Afidavit Tambahan tersebut telah dijawab oleh Responden 1 yang mewakili Responden 2 dan Responden 3 bagi membantah afidavit tambahan Perayu. Afidavit bantahan itu difailkan pada 18 Februari 2011. Setelah itu, Perayu telah memfailkan satu lagi afidavit pada 21 Februari 2012 iaitu Afidavit Tambahan berserta dengan draf Notis Rayuan Terpinda bagi tujuan meminda Notis Rayuan asal yang bertarikh 23 April 2010 dengan memasukkan: ".... merayu kepada sebahagian keputusan ini yang memutuskan bahawa... 1. Mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan 2. Mahkamah menerima bantahan awal responden-responden dan menolak permohonan pemohon." [8] Ketika prosiding Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan sedang berjalan, Perayu telah mengemukakan bantahan awal secara lisan berkenaan status pemfailan kes tersebut dan Perayu berhujah bahawa Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan yang difailkan Responden-Responden hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Mahkamah. Panel Rayuan ketika itu yang bersidang pada 30 Januari 2012 telah membuat [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 3
  • 4. "ruling"/ keputusan bahawa bantahan awal secara lisan Perayu ditolak dan memutuskan pemfailan Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan oleh Responden-Responden adalah betul serta tidak perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah. [9] Oleh kerana Perayu tidak berpuashati dengan "ruling"/keputusan Panel Rayuan pada ketika itu, maka Perayu telah memfailkan permohonan semakan pada 21 Februari 2012 dan telah didaftarkan dengan No Kes: 14000-003-0006- 2012. Perayu menyatakan alasannya bahawa "ruling"/keputusan yang dibuat oleh Panel Rayuan pada 30 Januari 2012 adalah bertentangan dengan aturcara Mahkamah dan peruntukan undang-undang. Belum pun sempat Mahkamah Rayuan Syariah mendengar kes semakan tersebut, pada 20 April 2012 Responden-Responden pula telah menfailkan Permohonan untuk mengenepikan permohonan semakan tersebut dan didaftarkan dengan No Kes: 14000-041-0022-2012. [10] Kesimpulannya, daripada rentetan Notis Rayuan bertarikh 23 April 2010 telah mengakibatkan lahirnya: i. Kes Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan yang difailkan Responden-Responden; ii.. Kes Semakan kepada suatu ruling/keputusan dalam kes 14000- 099-0020-2010 yang difailkan Perayu; dan iii. Kes Permohonan untuk mengenepikan semakan yang difailkan Responden-Responden. [11] Prosiding pada 23 Jun 2016, pihak-pihak telah bersetuju dengan Notis Rayuan Pindaan yang telah difailkan oleh Perayu pada 21 Februari 2012. Oleh itu Mahkamah menerima Notis Rayuan Pindaan tersebut yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak dan mahkamah arahkan supaya ini diteruskan dengan kes rayuan. Oleh yang demikian, kes-kes sebagaimana di atas iaitu Kes No: 14000-099-0020-2010 (Permohonan Mengenepikan Notis Rayuan), Kes No: 14000-003-0006-2012 (Semakan kepada suatu ruling/keputusan dalam Kes No: 14000-099-0020-2010) dan Kes No: 14000-041-0022-2012 (Permohonan untuk mengenepikan semakan) dibatalkan. Penghakiman [12] Permohonan Perayu di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan pada 7 Januari 2010 (ms 3 Rekod Rayuan) supaya Mahkamah melaksanakan kuasanya mengikut s 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1998 dan Hukum Syarak. Responden-Responden telah membuat bantahan awal dan memohon seperti berikut: i. YB Zulkifli Bin Nordin digugurkan daripada menjadi Peguam Syarie dalam permohonan itu; dan pg 4 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
  • 5. ii. Mahkamah Yang Mulia ini membatalkan/mengenepikan keseluruhan prosiding kes. [13] Pada 14 April 2010, Mahkamah Tinggi Syariah telah membuat keputusan menerima bantahan awal Responden-Responden dan mengenepikan permohonan Perayu. [14] Perayu telah menfailkan Notis Rayuan pada 23 April 2010, dan memfailkan Notis Rayuan Terpinda pada 21 Februari 2012. Alasan kepada rayuan ini telah difailkan oleh Perayu pada 3 November 2010 dengan mengemukakan 15 alasan rayuan (ms 145-149 Rekod Rayuan) yang menyatakan: i. Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang-undang dan prosedur apabila mengenepikan Perayu Permohonan semata-mata 86 berdasarkan Bantahan Awal Defendan/Responden-Responden. ii. Sebagai tambahan dan alternatif kepada perenggan 1 di atas, YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dalam mengenepikan Permohonan Perayu sedangkan ketiga-tiga perkara dalam Bantahan Awal Responden tidak lagi relevan dan/atau ditolak Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah iaitu: (a) Bantahan pertama berkenaan perlantikan YB Zulkifli bin Noordin sebagai Peguam Syarie tidak berbangkit kerana beliau telah menarik diri secara sukarela daripada mewakili Perayu sebelum Bantahan didengar; (b) Bantahan kedua berkenaan ketidakpatuhan dalam memulakan prosiding mal juga tidak berbangkit apabila Perayu mencadangkan dan bersedia untuk meminda Permohonan Perayu dan Mahkamah tidak mempunyai halangan; (c) Responden Bantahan ketiga ketiga Responden ditolak apabila Yang Arif memutuskan Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan Perayu iaitu supaya Responden Pertama diperintahkan untuk menggunakan kuasanya bagi mendakwa Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan dan Responden kedua dan ketiga tidak menghalang dan/atau mempengaruhi Responden Pertama daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan tersebut. iii. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang-undang dan prosedur apabila membuat keputusan tidak berasaskan kepada bantahan awal Responden tetapi jauh terkeluar dan lari dari skop bantahan awal. [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 5
  • 6. iv. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang- undang dan fakta apabila membuat keputusan mengenai merit dan isu substantif permohonan Perayu sedangkan isu merit belum dibicarakan dan tiada keterangan dan/atau bukti-bukti pernah diambil di Mahkamah bagi tujuan itu. v. Selanjutnya sebagai tambahan dan alternatif kepada perenggan 4 di atas, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membuat keputusan berkenaan isu kuasa Ketua Pendakwa Syarie walhal isu ketua Pendakwa Syarie adalah intipati dan merit kes Perayu yang menjadi isu utama dan persoalan pokok di dalam Permohonan Perayu. vi. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang-undang dan Hukum Syara' apabila mengenepikan Permohonan Perayu tanpa membicarakan atau mendengar Permohonan Perayu halmana ianya menafikan hak Perayu untuk didengar (audi alteram partem) secara mutlak. vii. Secara tambahan dan alternatif kepada perenggan 6 di atas, YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah terkhilaf dari segi undang-undang dan Hukum Syara' apabila memutuskan bahawa kehakiman berkuasa untuk menegakkan keadilan, namun YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah menafikan hak Perayu untuk mendapatkan keadilan tanpa memberi peluang kepada Perayu untuk didengar. viii. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mengatakan Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa "Quasi-judicial" tanpa sebarang alasan dan autoriti. ix. Sebagai tambahan dan alternatif kepada perenggan 8 di atas, YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang- undang dan fakta kerana memutuskan Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa "quasi-judicial" padahal kuasa "quasi-judicial" yang dinyatakan tidak pernah dibangkitkan oleh Responden-Responden di dalam Bantahan Awal mereka dan tiada apa pun bukti, keterangan dan hujah mengenai perkara tersebut dikemukakan oleh pihak-pihak. x. YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menyamakan aspek pendakwaan Ketua Pendakwa Syarie dengan Peguam Negara menerusi polisi- polisi, standard dan/atau prinsip yang digunakan oleh Peguam Negara termasuk kaedah "Ninety Percent Rules" walhal perkara- perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan dan tiada apa-apa bukti, keterangan atau hujah mengenainya dibawa oleh Perayu atau Responden. xi. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang- pg 6 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
  • 7. undang dan fakta apabila memutuskan kuasa Ketua Pendakwa Syarie adalah besar dan luas yang menyamai kuasa Peguam Negara. xii. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang- undang dan fakta apabila tidak mengambil kira bahawa Ketua Pendakwa Syarie hanyalah seorang pegawai yang kedudukannya terletak dan tertakluk di bawah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. xiii. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang- undang dan fakta apabila tidak mengambil kira kuasa Peguam Negara diperolehi secara khusus dan istimewa daripada Perkara 145 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan di mana Peguam Negara merupakan suatu institusi yang bebas dan berotonomi dan tidak tertakluk di bawah mana-mana jabatan yang lain. xiv. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi Undang- undang dan Hukum Syara' apabila membandingkan aspek pendakwaan yang diterima pakai oleh Peguam Negara dengan merujuk kepada kes-kes jenayah sivil tanpa mengambil kira kesalahan Qazaf adalah jenayah syariah yang meliputi hak Allah dan manusia yang tidak wujud di dalam sistem pendakwaan sivil. xv. YA Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang- undang dan Hukum Syara' apabila menyatakan bahawa di dalam aspek pendakwaan kepentingan umum dan/atau masyarakat adalah kepentingan utama Syariah akan tetapi dengan keputusan mengenepikan permohonan Perayu aspek kepentingan umum telah tidak diberikan keutamaan. [15] Walaupun Perayu mengemukakan 15 alasan rayuan namun dalam penghujahan bertulisnya bertarikh 11 Ogos 2016 di ms 7 dan di dalam hujahan lisannya pada 6 Oktober 2016, Perayu menyatakan penghujahannya hanya tertumpu kepada Alasan Rayuan 14 dan 15 sahaja. Kami telah meneliti semua penghujahan dan alasan Perayu namun Kami akan memberikan penekanan kepada Alasan Rayuan 14 dan 15 yang dihujahkan Perayu. [16] Peguam Perayu pada 6 Oktober 2016 telah memulakan penghujahan lisannya dengan merujuk dan membaca s 2 dan s 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]. Perayu kemudiannya merujuk penghujahan bertulisnya pada 11 Ogos 2016 kepada s 244 dan 245 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 dan s 230 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1997 supaya Mahkamah mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie menggunakan kuasanya di bawah s 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] untuk mendakwa Mohd Saiful Bukhari bin Azlan. Isu Tafsiran Zina [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 7
  • 8. [17] Dalam kes ini, Perayu dalam penghujahan bertulisnya di para 2 ms 8, menghujahkan tuduhan liwat juga termasuk dalam makna zina. Tafsiran sebegini adalah bagi membolehkan s 41 digunapakai sebagai asas kesalahan qazaf ke atas Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan. Perayu mengemukakan nas dari kitab al-Muktamad Fi al-Fiqh al Shaf'iyy dan dari kitab I'aanah al-Taalibin. Namun Perayu tidak pula merujuk kepada tafsiran yang diberikan undang- undang itu sendiri. [18] Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 perkataan "zina" telah ditafsirkan di dalam s 2 iaitu "zina" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah. Manakala makna "liwat" pula ertinya perhubungan seks sesama lelaki. Persoalannya, adakah makna "zina" yang terdapat di dalam s 41 yang mendasari kesalahan qazaf boleh ditafsirkan mempunyai pengertian yang lain dari apa yang dinyatakan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Subseksyen 2(3) akta yang sama memperuntukkan: [19] Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 [Akta 388] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak. [20] Di dalam s 2(3) tersebut, pengertian sesuatu perkataan dan ungkapan yang tidak ditakrifkan oleh akta tersebut hendaklah mempunyai erti sepertimana yang ditakrifkan oleh Akta Tafsiran setakat yang tidak bercanggah dengan Hukum Syara'. Dalam hal ini, perkataan " zina " telahpun ditakrifkan oleh akta itu sendiri di bawah s 2. Oleh itu dapatlah difahami bahawa pengertian zina yang lain dari yang ditakrifkan oleh Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 tidak dibenarkan oleh undang-undang itu sendiri. [21] Di dalam kes ini, tuduhan liwat tidak terpakai di dalam kes qazaf di bawah s 41 kerana undang-undang memperuntukkan qazaf di bawah seksyen tersebut hanya boleh digunakan dalam kes pertuduhan zina sahaja. [22] Soalnya, apakah tafsiran zina yang diperuntukkan oleh Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bertentangan dengan Hukum Syara'? Para ulama berbeza pendapat berkaitan isu ini, ada yang menyatakan perbuatan liwat tersebut adalah termasuk zina dan ada yang menyatakan ianya tidak termasuk kesalahan zina. [23] Dr Abdul Qadir Audah, kitab Tasyri' al-Jinaie al-Islami, juzuk 2, Muassasah Ar Risalah, hlm 463 telah menyatakan: pg 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
  • 9. Bermaksudnya: "Tuduhan liwat pada pandangan Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali adalah berhukum dengan tuduhan zina kerana mereka menganggap liwat itu sama dengan zina. Peliwat dianggap sebagai penzina sama ada peliwat atau kena liwat itu lelaki atau perempuan. Apabila sabit si penuduh sengaja menuduh orang yang kena tuduh melakukan liwat maka dia hendaklah dikenakan hukuman had. Adapun Imam Abu Hanifah berpandangan tidak dikenakan hukuman had bagi tuduhan liwat bahkan dikenakan hukuman takzir kerana liwat tidak dikira sebagai zina. Dengan yang demikian, tidak dikira tuduhan liwat sebagai tuduhan zina." [24] Kami bersetuju dengan Perayu yang membawakan pelbagai pandangan ulama' berkaitan zina, namun sayangnya Kami selaku badan kehakiman telah diikat oleh undang-undang yang telah ditakninkan atau diperundangkan. Oleh yang demikian, Kami tidak mempunyai pilihan lain selain daripada perlu bersetuju dengan maksud zina di dalam s 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang hanya terhad kepada makna persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan sahaja dan tidak termasuk kesalahan liwat. Isu Memulakan Pendakwaan [25] Dalam soal memulakan pendakwaan, hak untuk memulakan sesuatu pendakwaan dalam kes jenayah syariah adalah terletak kepada Ketua Pendakwa Syarie. Subseksyen 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan; Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan dan memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah. [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 9
  • 10. [26] Persoalannya sama ada boleh atau tidak Mahkamah memerintahkan Ketua Pendakwa Syarie supaya membuat suatu pendakwaan jenayah? Perayu telah menghujahkan dengan merujuk kepada peruntukan s 244, s 245 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 dan s 230 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) mendapat perintah yang dipohon. [27] Seksyen 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 berbunyi: Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh disifatkan sebagai mengehadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah. [28] Manakala s 245 pula berbunyi: (1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat ketidakselarasan itu. (2) Jika terdapat apa-apa lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah menggunakan Hukum Syarak. [29] Seksyen 245 ini tidak pernah di'plid'kan dalam tuntutan asal Perayu di Mahkamah Tinggi dan juga ada tidak dalam alasan rayuan Perayu yang boleh menjadi asas kepada rayuan Perayu. Seksyen 245 ini hanya wujud dalam penghujahan Perayu. [30] Selain daripada itu, Perayu merujuk kepada s 230 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen tersebut berbunyi: (1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tak konsisten dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat yang tak konsisten itu. (2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Akta ini, Mahkamah hendaklah menggunakan Hukum Syarak. [31] Jika diteliti, s 244 di atas memperuntukkan bahawa mana-mana peruntukan di dalam Akta Tatacara Mal tidak boleh menghalang Mahkamah daripada menggunakan kuasanya sedia adanya untuk mengeluarkan apa-apa perintah bagi mengelakkan ketidakadilan. Kami telah meneliti hujahan Perayu dan tidak mendapati sebarang hujah atau otoriti daripada undang-undang yang menunjukkan kuasa sedia ada Mahkamah boleh mengeluarkan perintah yang dimohon. pg 10 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
  • 11. [32] Seksyen 245 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 dan s 230 Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 mempunyai peruntukan yang sama. Kedua-duanya merujuk kepada perkara tidak konsisten dengan Hukum Syara'dan/atau lakuna dalam undang-undang. Namun malangnya, seksyen yang dirujuk iaitu s 244, s 245 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 dan s 230 Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 semuanya berkaitan dengan tatacara semata-mata sedangkan isu yang berbangkit adalah dalam perkara undang-undang substantif. Peruntukan dalam undang-undang tatacara tidak boleh digunakan dalam undang-undang substantif. Peruntukan tersebut khusus kepada Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Tatacara Jenayah Syariah sahaja, tidak kepada akta yang lain. Rujukan kepada s 244, 245 dan s 230 untuk digunakan dalam perkara substantif adalah tidak tepat. Isu Pendakwaan Mengikut Hukum Syara [33] Dari sudut Hukum Syarak, apakah seseorang pendakwa boleh dipaksa atau tidak, untuk membuat sesuatu pendakwaan ? Di dalam isu ini, Perayu sebagai orang memohon, menanggung beban mengemukakan kepada Kami nas atau otoriti dari segi Hukum Syarak yang menunjukkan Mahkamah boleh mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie untuk memulakan apa-apa tindakan pendakwaan Jenayah Syariah. Hujahan Perayu hanya bergantung kepada s 244, 245 dan s 230 semata-mata. Kami mendapati Perayu tidak menunjukkan hujahnya berdasarkan hukum syarak samada secara lisan atau bertulis berkenaan isu ini. [34] Merujuk kepada kitab Majma' al-Anhur Fi Syarhi Multaqa al Abhur sebagaimana berikut: Maksudnya: "Daripada istilah Syarak, Pendakwa adalah seseorang yang tidak boleh dipaksa untuk mendakwa dalam apa-apa pertelingkahan atau menuntut hak." [35] Kami turut merujuk kitab Al-Sultah al-Taqdiriyyah Li al-Qadhiyy Fi Al- Fiqh Al-Islamiyy di ms 223 menyatakan: [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 11
  • 12. Maksudnya: "Pertama: Penarikan balik pendakwaan dan tarik balik kes. Hak mendakwa itu terletak kepada pendakwa, jika pendakwa tidak mendakwa, tiada yang boleh memaksa mereka, Jika pendakwaan itu ditarik balik, ianya akan memberi kesan kepada kes: jika pendakwa menarik balik kes sebelum hukuman diputuskan, maka prosiding pendakwaan tersebut adalah dianggap telah selesai sebelum sampai peringkat mengeluarkan hukuman." [36] Daripada nas-nas di atas, menunjukkan bahawa seseorang pendakwa tidak boleh dipaksa untuk membuat apa-apa dakwaan. Ianya adalah suatu hak yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak sama ada dari segi undang-undang atau hukum Syara'. Isu Kuasa Ketua Pendakwa Syarie [37] Berkaitan dengan hujah yang dibangkitkan oleh Perayu berhubungan dengan isu Ketua Pendakwa Syarie sebagai kakitangan awam tetapi mempunyai kuasa yang luas dan perlu dikawal serta tidak boleh dibandingkan dengan Peguam Negara yang dilantik di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Kami mendapati isu ini berkaitan dengan alasan rayuan Perayu ke-11, 12 dan 13. Ketiga-ketiga alasan rayuan ini tidak dihujahkan secara bertulis oleh Perayu namun hanya dibangkitkan Perayu dalam hujahan lisannya. [38] Menjawab persoalan ini, Kami merujuk kepada s 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. Ketua Pendakwa Syarie dilantik di bawah seksyen tersebut. Peruntukan itu adalah sama dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan bagi pelantikan Peguam Negara. [39] Subseksyen 58(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah- pg 12 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
  • 13. Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan: Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan dan memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah. [40] Manakala Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera. [41] Suka Kami tegaskan di sini, Ketua Pendakwa Syarie dan Peguam Negara kedua-duanya mempunyai kuasa yang sama dalam skop masing-masing. Peguam Negara mempunyai kuasa dan kawalan dalam pendakwaan jenayah di Mahkamah Sivil manakala Ketua Pendakwa Syarie pula di Mahkamah Syariah. Kuasa Ketua Pendakwa Syarie dan Peguam Negara adalah kuasa eksklusif dan boleh dijalankan menurut budibicara mereka. Dalam kes Long Samat & Ors v. PP [1974] 1 MLRA 412; [1974] 2 MLJ 152, YA Tun Suffian telah memutuskan kuasa sepenuhnya untuk meneruskan pembicaraan atau tidak adalah pada Peguam Negara (Perkara 145(3) Perlembagaan). Begitu juga Mahkamah Rayuan dalam kes dalam kes PP lwn. Zainuddin [2009] 6 MLRH 26, telah memutuskan undang-undang dan Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada Peguam Negara dan di atas budibicaranyalah sama ada untuk memfailkan rayuan atau tidak walaupun masyarakat mengharapkannya melaksanakan kuasa tersebut dengan adil, jujur dan profesional. [42] Dalam kes Gu Kien Lee v. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu [2012] 2 CLJ 317 yang dirujuk oleh Perayu, Perayu telah merujuk para 19 berkaitan dengan penyiasatan Polis dan laporan kepada Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Mahkamah telah mengarahkan Polis menjalankan penyiasatan terhadap laporan yang dibuat pemohon. Namun Kami telah meneliti kes tersebut dan mendapati di para 13 ms 323, mahkamah ada menyatakan berkaitan dengan kuasa Peguam Negara dan kuasa Polis. Mahkamah menyatakan dengan jelas kuasa untuk memutuskan sama ada telah berlaku kesalahan dan pendakwaan berkaitan adalah kuasa Peguam Negara. Manakala kuasa polis adalah untuk menyiasat dan bukannya menentukan pendakwaan atau tidak. Para 13 tersebut berbunyi: 13] It is important to remember that it is the public prosecutor who decides whether an offence has been committed and if so whether any person is to be prosecuted in connection therewith. The power of the police is to investigate, not to decide whether any person is or is not to be prosecuted for any crime or, for that matter, to decide whether a police report discloses a civil or a criminal matter. That power lies with the Attorney General acting in his capacity as public prosecutor as provided in art 145(3) of the Federal Constitution read together [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 13
  • 14. with s 376(1) of the CPC. Bermaksud: Adalah penting untuk diperingatkan bahawa pendakwa raya adalah orang yang memutuskan sama ada suatu kesalahan telah dilakukan dan jika telah dilakukan, sama ada untuk mendakwa mana- mana orang atau tidak berhubung dengan kesalahan tersebut. Kuasa polis pula adalah untuk menyiasat, bukan untuk membuat keputusan sama ada seseorang boleh didakwa atau tidak atas apa apa jenayah atau, dalam hal ini, untuk memutuskan sama ada laporan polis merupakan perkara sivil atau perkara jenayah. Kuasa itu terletak pada Peguam Negara yang bertindak atas kapasitinya sebagai pendakwa raya sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama-sama dengan s 376(1) Kanun Tatacara Jenayah. [43] Ketua Pendakwa Syarie sebagai kakitangan awam mempunyai kuasa- kuasa tertentu untuk memulakan pendakwaan dalam kes jenayah Syariah. Perayu merujuk kes Gu Kien Lee di atas untuk menunjukkan kepada Kami bahawa wujudnya kuasa yang boleh mengarahkan seseorang pegawai awam menjalankan tugasnya. [44] Dengan hormat Kami katakan bahawa kes Gu Kien Lee adalah tidak tepat untuk digunakan dalam kes ini. Gu Kien Lee memohon mahkamah mengarahkan Polis menjalankan tanggungjawab dan kuasanya dalam perkara jenayah. Dalam kes jenayah syariah pula tanggungjawab dan kuasa yang sama dipunyai oleh Pegawai Penguatkuatkuasa Agama. [45] Merujuk kes Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn. Pendakwa Syarie Pulau Pinang, YAA Tun Abdul Hamid Mohammad (Panel Rayuan Syariah) telah menyatakan: "Nampaknya Pegawai Penguatkuasa Agama pun masih silap faham kedudukan mereka. Sebenarnya mereka sendiri adalah polis bagi tujuan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut s 62 Enakmen Pentadbiran." [46] Oleh itu Pegawai Penguatkuasa Agama dan Polis dari segi bidang tugas adalah sama sebagai pegawai penyiasat. Jadi, berdasarkan kes Gu Kien Lee, Mahkamah boleh mengarahkan penyiasatan (para 19 ms 325) jika badan yang bertanggungjawab menjalankan penyiasatan tidak melakukannya. (para 15 ms 324) [47] Perayu juga merujuk kes Metrobus Nationwide Bdn Bhd lwn. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung Malaysia & Anor [2012] MLRHU 1725; [2012] 4 MLJ 813; [2013] 3 CLJ 743. Kes tersebut adalah semakan kehakiman. Dalam kes tersebut pemohon telah memohon suatu perintah mandamus di bawah s 44(1) Akta Relief Spesifik 1950 mengarah Responden mengarahkan RapidKL mengenakan tambang bas mengikut kadar tambang yang ditetapkan di bawah Peraturan Lembaga Pelesenan Perdagangan (Kadar Tambang) 2000. Dalam kes tersebut Mahkamah pg 14 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8
  • 15. memutuskan keputusan Lembaga membenarkan RapidKL mengenakan tambang yang lebih rendah adalah ultra vires. Walau bagaimanapun permohonan pemohon ditolak oleh mahkamah atas alasan pemohon gagal memenuhi syarat yang diperlukan s 44(1) tersebut. [48] Dalam kes Gu Kien Lee dan Metrobus Nationwide Sdn Bhd di atas, Responden iaitu Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung Malaysia bukan badan yang mempunyai kuasa budibicara memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan seperti yang dipunyai oleh Ketua Pendakwa Syarie dan Peguam Negara. Oleh yang demikian, tindakan atau keputusan mereka boleh disemak melalui prosiding semakan kehakiman. Hal ini tidak sama dengan Ketua Pendakwa Syarie mahupun Peguam Negara yang mempunyai kuasa eksklusif dalam skop masing-masing yang tidak tertakluk kepada semakan kehakiman. [49] Untuk pengetahuan semua, peruntukan semakan kehakiman seumpama A 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak terdapat di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 ataupun di dalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998. Oleh itu, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tidak mempunyai kuasa semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh agensi-agensi berkaitan dengan hal ehwal agama Islam. Setakat ini hanya Negeri Selangor sahaja yang mewujudkan peruntukan berkaitan dengan semakan kehakiman. Isu Laporan Klinikal [50] Perayu menghujahkan wujudnya laporan klinikal perubatan Saiful Bukhari seperti di ms 164-173 Rekod Rayuan. Sukacita Kami menyatakan laporan-laporan tersebut adalah relevan dan sesuai di kemukakan jika kes Qazaf dibicarakan. Namun dalam kes ini, isu berbangkit ialah kuasa untuk mengarah Ketua Pendakwa Syarie mendakwa Saiful Bukhari. Isu Pemakaian Kes Sivil Di Mahkamah Syariah [51] Perayu menghujahkan rujukan yang dibuat oleh Hakim Bicara terhadap kes-kes sivil. Merujuk kes Mohd Ibrahim Mohd Sharif lwn. Pendakwa Syarie Pulau Pinang [1998] 13(2) JH 185, YAA Tun Abdul Hamid Mohammad (Panel Rayuan Syariah) telah menyatakan: "Saya berpendapat, memandangkan bahawa peruntukan undang- undang yang berkenaan yang terpakai di kedua-dua Mahkamah itu adalah serupa, malah peruntukan-peruntukan yang terpakai di Mahkamah Syariah itu diambil daripada peruntukan undang-undang yang dipakai di Mahkamah Sivil, memandangkan bahawa prinsip itu baik dan untuk kepentingan keadilan dan tidak pula bercanggah dengan Hukum Syarak, maka prinsip yang dipakai di Mahkamah Sivil itu eloklah dipakai oleh Mahkamah Syariah, dan saya menerima pakainya." [2016] SLRAU 8 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain pg 15
  • 16. [52] Kami bersetuju dengan penghakiman Tun Abdul Hamid menggunakan rujukan kes-kes Mahkamah Sivil sebagai panduan dan boleh dipakai di Mahkamah Syariah selama mana ianya tidak bercanggah dengan Hukum Syarak. [53] Kesimpulan, permohonan asal Perayu ialah memohon Mahkamah mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie mendakwa Mohd Saiful Bukhari bin Azlan di atas kesalahan Qazaf. Penggunaan s 244, 245, 230 oleh Perayu hanya boleh digunakan dalam undang-undang tatacara sahaja jika sekiranya berlaku tidak konsisten dan lakuna kepada undang-undang tatacara sedangkan permohonan Perayu adalah mengenai kuasa pendakwa di bawah s 58(2) Akta Pentadbiran dan peruntukan kesalahan Qazaf di bawah s 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Kedua-duanya terletak di dalam undang-undang substantif. Oleh itu, Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa eksklusif seperti mana dalam undang-undang yang ditakninkan dan nas Syara' yang Kami nyatakan sebelum ini. Seksyen 244, 245 Akta Tatacara Mal dan 230 Akta Tatacara Jenayah tidak boleh digunakan jika berlaku tidak selaras/konsisten dengan Hukum Syara' dan lakuna dalam undang-undang substantif. [54] Oleh yang demikian, Kami tidak mempunyai alasan untuk campur tangan terhadap keputusan melainkan mengesahkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut. Keputusan [55] Setelah Kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan, Nota Prosiding, Penghujahan kedua-dua pihak, maka Kami dengan sebulat suara memutuskan seperti berikut: i. Rayuan Perayu ditolak dengan kos; ii. Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dalam Kes No: 14100-0099 0012-2010 yang diberikan pada 14 April 2010 dikekalkan. iii. Kes-kes berkaitan iaitu Kes No: 14000-099-0020-2010, Kes No: 14000 003-0006-2012 dan Kes No: 14000-041-0022-2012 dibatalkan; dan iv. Permohonan kos oleh Responden-Responden dibenarkan sebanyak RM5,000.00 sahaja. pg 16 Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn. Ketua Pendakwa Syarie Jawi & Yang Lain [2016] SLRAU 8