KELAS 10 PERUBAHAN LINGKUNGAN SMA KURIKULUM MERDEKA
saasatul ibaad - faisal tehrani mengaku syiah
1. “Saasatul Ibaad” : Faisal Tehrani Mengaku Syiah
(Dipetik dari: http://zukriaksah.com/utama/?p=221)
Ini buku terbaru yang saya baca, kali ini bukan dari kategori non-fiksi, ia sebuah novel,
berlatarkan sejarah tahun 1699, dalam Kerajaan Johor Lama, yang kesudahannya saya rasa
semua tahu dan maklum, kerana ia pernah difilemkan, Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.
Novel ini adalah tulisan Faisal Tehrani, penulis muda yang sedang membina nama sebagai
penulis tersohor. Saya mula menggemari gaya bahasa Faisal sejak mula berkenalan dengan
karyanya lewat 1515. Sebelum itu saya hanya membaca novel Melayu karya Abd. Talib
Hassan ataupun Abdul Rahim Awang. Penulis-penulis hebat biasanya membawa personaliti
mereka dalam penulisan, begitulah Abd. Talib Hassan, begitulah Abdul Rahim Awang, maka
begitulah juga si Faisal Tehrani ini.
“Saasatul Ibaad” maksudnya pemain politik, ringkasnya ia bercerita tentang pemain-pemain
utama dalam senario politik Johor Lama di sekitar tahun 1699 itu, cerita ini berkisar di
sekitar watak-watak benar yang difiksyenkan secara sangat baik oleh Faisal.
Di sebalik langgam bahasanya yang mengasyikkan, Faisal ternyata telah sangat
menggusarkan saya. Menggunakan kehalusan ayat-ayatnya, Faisal melemparkan dan
mengajar doktrin Syiah, lebih dari itu meletak watak-watak utama dalam Kerajaan Johor
Lama seperti Bendahara Tun Habib Abdul Majid, anakandanya Bendahara Tun Abdul Jalil
(kemudiannya Sultan) dan guru mereka Orang Kaya Dato Utama Mahdi Hasan dari Naning
sebagai pengamal Syiah. Ya, saya faham atas nama fiksyen dan kreativiti, sejarah boleh
dilakar dengan apa sahaja rupa dan wajah, tetapi seperti saya katakan tadi, penulis hebat
biasanya membawa personaliti mereka di dalam penulisan, dan itulah personaliti Faisal
Tehrani. Kehebatan seni Faisal Tehrani nampaknya semakin hari semakin dicemari
propaganda ideologinya sendiri.
2. Sebagai sebuah novel yang berkait dengan cara pemerintahan baik, tidak kisahlah jika
Faisal hanya mahu menurunkan pesan-pesan yang pernah disampaikan oleh Saidina Ali Abi
Talib sahaja, padahal banyak lagi pesan pasal pemerintahan negara yang boleh dikutip hasil
titipan tiga lagi Khulafa’ ur-Rasyidin, Saidina Abu Bakar, Omar dan Osman. Saya juga tidak
ralat bila Faisal memasukkan berderet hadis-hadis yang bersanadkan Muhammad ibn
Ya’kub al-Kulaini (yang didakwa sebagai ahli hadis paling baik dan paling awal), yang
dikenal sebagai mujadid Syiah ketiga. Faisal mungkin sahaja boleh berkata itu kata orang,
bukan kata-katanya sendiri.
Tetapi sebuah pantun yang digarap Faisal dan dimasukkan ke dalam novel ini betul-betul
menderau darah saya, perhatikan baris-barisnya;
Ada berempat sahabat Nabi,
Ada seorang jadi khalifah,
Abu Bakar, Omar, Osman, dan Ali,
Saidina Ali suami Fatimah.
Faisal nampaknya menganut faham bahawa tidak wujud khulafa’ ur-rasyidin, kerana bagi
Faisal, Abu Bakar, Omar dan Osman itu bukan khalifah, hanya Saidina Ali seorang sahaja.
Fasal mensyiahkan Kerajaan Johor Lama pula, Faisal jelas melarik propaganda ini dalam
satu dialog Dato Utama Mahdi Hasan, “Sudah. Cakap tuan itu laut yang bahaya. Seperti
teluk disangka elok, pulaunya kecil berbahaya, ada batu berendam juga gelombang dan
karang yang mengancam. Moleklah disimpan perkara sampai tiba masanya. Mungkin bukan
kerja kita. Mungkin zaman Abdul Jalil bila sudah ada peluang dan tersedia ruang, akan kita
lakukan perubahan yang pernah kita rencanakan. Johor akan mendapat manusia seperti
Alaudin, seperti Aceh pernah mendapat ia, bila tiba masanya. Dan kalau diizinkan Allah dan
para sayyid, akan kita dapat negeri walaupun jauh dari Madinah, jauh dari Kufah. Dengan
negeri itu kita menantinya nanti kembali mendiri pemerintahan di Kufah.”
Yang lain-lain dari novel ini, yang saya rasa penting juga untuk saya perturunkan di sini
sebagai persoalan yang boleh dibincangkan adalah kecenderungan Faisal untuk
menggambarkan kebejatan pemimpin dalam novelnya dengan aktiviti seks songsang. Kalau
dulu dalam 1515, Puteri Kembang Piah digambarkan sebagai lesbian, dalam Saasatul Ibaad
ini pula Sultan Mahmud digambarkan sebagai seorang pelaku homoseks.
Entahlah, kalau ikut di kulit belakang novel ini, Saasatul Ibaad dikatakan sebagai karya
Faisal yang paling bercita-cita besar dan provokatif, tetapi bagi saya novel ini tidak lebih
sebagai sebuah naskah dakwah seorang mubaligh Syiah yang dikarang indah.
Sumber: http://al-
ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=135514