2. TAKRIF TERJEMAHAN
• Sudut bahasa ialah: penerangan dan penjelasan.
• Sudut istilah ialah: penjelasan sesuatu kata-kata dalam bahasa lain.
• Terjemahan al-Quran ialah: penjelasan erti al-Quran dalam
selain bahasa Arab.
3. Terjemahan al-Quran terbahagi dua:
Terjemahan harfiyah: iaitu menukar perkataan dengan perkataan.
Terjemahan ma’nawiyah atau tafsiriyah: iaitu penjelasan
erti percakapan dengan bahasa lain tanpa menghiraukan
susunan tertib perkataan.
4. Hukum Terjemahan Al-Quran
Di sisi kebanyakan ulama, terjemahan harfiyah adalah
mustahil kerana ianya mempunyai syarat-syarat yang
tidak boleh dipenuhi iaitu:
1. Mempunyai perbendaharaan kata yang serupa dalam dua bahasa.
2. Mempunyai alat-alat yang membawa erti-erti tertentu yang
serupa antara dua bahasa.
3. Mempunyai persamaan antara dua bahasa dalam
susunan perkataan daripada konteks ayat, sifat dan sandaran.
5. Sesetengah ulama pula mengatakan bahawa terjemahan harfiyah
boleh dilaksanakan pada sesetengah ayat. Akan tetapi, walaupun
ianya boleh dilaksanakan, hukumnya tetap haram kerana ianya
tidak mungkin dapat menyampaikan maksud dengan sempurna,
tidak memberi kesan pada jiwa-jiwa seperti kesan al-Quran yang
berbahasa Arab yang jelas dan tiada keperluan (darurat) kepadanya
kerana terjemahan ma‘nawiyah sudah mencukupi.
Dengan itu, walaupun terjemahan harfiyah dapat dilaksanakan pada
sesetengah perkataan, ianya tetap dilarang oleh Syarak kecuali
sekiranya diterjemahkan sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa untuk
difahami orang yang mendengar dan bukannya diterjemahkan
keseluruhan konteks ayat.
6. Terjemahan ma‘nawiyah dibenarkan kerana tidak terdapat
perkara yang melarangnya. Bahkan ianya wajib apabila
merupakan perantaraan untuk menyampaikan al-Quran
dan Islam kepada orang yang tidak bertutur dalam bahasa Arab.
Ini kerana menyampaikan al-Quran dan Islam adalah wajib,
dan apa yang tidak sempurna satu kewajipan kecuali dengannya,
ianya juga menjadi wajib.
7. Akan tetapi, terjemahan ma‘nawiyah mestilah dengan
syarat-syarat berikut:
1. Ianya tidak boleh dijadikan pengganti kepada al-Quran dengan
menggunakannya sahaja sehingga meninggalkan al-Quran.
Oleh itu, hendaklah ditulis terjemahan di sebelah teks Arab al-Quran
supaya menjadi sebagai tafsiran kepadanya.
2. Orang yang menterjemah mestilah mengetahui erti lafaz-lafaz dan
tuntutannya dalam dua bahasa yang digunakan dalam perterjemahan.
3. Orang yang menterjemah mestilah mengetahui
erti lafaz Syarak dalam al-Quran.
4. Di samping itu, terjemahan al-Quran tidak boleh diterima kecuali
daripada orang yang dipercayai iaitu muslim yang teguh agamanya.