More than Just Lines on a Map: Best Practices for U.S Bike Routes
Pelancongan Lestari (Abstrak)
1. PEMBANGUNAN HUTAN LIPUR SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN LESTARI DI
NEGERI KEDAH : SATU TINJAUAN AWAL
Ahmad Tharmizzie Mat Jusoh, Jabil Mapjabil, Narimah Samat & Azizan Marzuki
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
ABSTRAK
Pelancongan merupakan sektor yang semakin berkembang di Malaysia kerana menyumbang kepada
pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara. Implikasinya, kerajaan membangunkan beberapa produk
pelancongan baru di seluruh negara dari semasa ke semasa. Antara produk pelancongan yang
dibangunkan adalah yang berteraskan kepada alam semula jadi. Pelancongan lestari mula mendapat
perhatian kerajaan dan penyelidik sejak munculnya peningkatan kesedaran masyarakat global terhadap
kepentingan penjagaan alam sekitar pada pertengahan tahun 1980an. Salah satu produk ekopelancongan
yang semakin dibangunkan adalah hutan lipur. Di Malaysia, hutan lipur merupakan sejenis hutan yang
dikelaskan oleh Jabatan Perhutanan dalam proses pengurusan silvikultur. Selain daripada hutan lipur,
terdapat lapan jenis hutan lain yang dikelaskan antaranya hutan asal, hutan simpan dara dan hutan
terpulih. Pada tahun 1967, Jabatan Perhutanan memperkenalkan konsep hutan lipur secara komersil.
Hutan lipur merupakan salah satu daripada pelancongan berasaskan ekologi yang dapat mewujudkan
kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan kawasan hutan. Hal ini kerana sejak
berkurun lamanya hutan asli memainkan peranan penting dari segi menyeimbangkan suhu, kawasan
tadahan air, mengawal hakisan dan mengurangkan kelajuan angin. Di samping itu, hutan lipur berpotensi
dan berperanan sebagai destinasi pelancongan lestari di negeri Kedah. Usaha untuk meningkatkan
kemudahan dan imej hutan lipur perlu diperkasakan untuk menjadikan hutan lipur ini sebagai produk
pelancongan yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri Kedah.
Kata kunci: Pembangunan hutan lipur, pelancongan lestari dan alam sekitar.