Successfully reported this slideshow.

Model pengajaran dan pembelajaran Imam-Imam Mazhab

14,770 views

Published on

Published in: Education

Model pengajaran dan pembelajaran Imam-Imam Mazhab

  1. 1. MODEL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN IMAM AS-SYAFEI Al- Imam as- Syafei dilahirkan pada bulan Rejab tahun 150 H bersamaan tahun 767 M, di satu tempat bernama Ghuzzah, di wilayah Palestin tidak jauh dari Baitul Maqdis. Keturunan daripada pihak ayahnya ialah Muhammad bin Idris bin al- Abbas bin Uthman bin Syafi’ bin Assib bin Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abdul Muttalib bin Abd Manaf. Beliau ialah seketurunan dengan Nabi Muhammad kerana Abd Manaf , datuk ketiga kepada Nabi Muhammad menjadi datuk kesembilan kepada Imam Syafei. Imam as-Syafei dikenali dengan panggilan Abu Abdullah sejak kecil lagi,setelah menjadi ulama yang terkenal, maka beliau dikenali dengan panggilan Imam as- Syafei. Beliau adalah antara imam mazhab yang keempat, iaitu pengasas Mazhab Syafei. Imam as- Syafei meninggal dunia pada tahun 204 Hijrah bersamaan tahun 820 Masihi ketika berusia 54 tahun dan dikebumikan di Arafah, Mesir. Kewibawaannya sebagai seorang guru yang berpengaruh terserlah ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini terbukti apabila beliau membacakan ayat- ayat suci al-Quran yang telah memberikan kesan mendalam kepada pendengarnya sehingga semuanya dapat menghayati maksud al- Quran dan disusuli dengan titisan air mata kesedaran. Antara kaedah pengajaran yang telah dilakukan oleh Imam As-Syafie dalam pengajarannya adalah seperti berikut: 1) Secara kuliah Semasa menetap di Makkah, pemusatan pengajarannya ialah di Masjidil Haram (Muhammad Abu Zuhrah, 1367). Beliau mengajar dengan duduk di atas kerusi dan dikelilingi oleh murid- muridnya. Masa ini merupakan saat- saat yang paling subur dalam keilmuannya, di mana Imam as- Syafei menumpukan pemikiran dalam kuliahnya dan bersama murid- muridnya mencari jalan pengeluaran hukum yang ganjil dan membandingkan antara sumber perundangan yang pelbagai. Selama Sembilan tahun, Imam as- Syafei menghabiskan masanya di Makkah bersama- sama para ilmuan yang lain, membahas , mengajar, mengkaji di samping berusaha melahirkan satu intisari dari beberapa aliran dan juga persoalan yang sering bertentangan yang ditemui pada masa itu. Di Mesir , beliau juga mengajar di sebuah masjid bernama Masjid Amru bin Ash. Kuliahnya bermula pada setiap hari dari pagi hingga tengah hari ( setelah selesai solat subuh hingga waktu zohor). Setelah selesai solat zohor, baru lah beliau pulang ke 1
  2. 2. rumah bersama- sama dengan murid yang berdekatan dengan beliau, antaranya ialah al –Muzani, al- Rabi’ dan Muhammad bin Abdullah. 2) Secara halaqah Pengajaran beliau semasa di Baghdad berbentuk halaqah. Di sini, beliau mengajar di sebuah masjid di sebelah barat kota Baghdad. Pada mulanya terdapat 20 halaqah pengajian di masjid itu. Setelah kedatangan Imam as- Syafei, halaqah itu digabungkan menjadi tiga sahaja dan halaqah yang lain bergabung ke dalam halaqah Imam as- Syafei. Pengajaran beliau dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada para ulama’, cerdik pandai dan para pegawai kerajaan. 3) Secara imlak Cara ini diamalkan sewaktu beliau menyusun kitab Al- Umm. Pernah as- Syafei mengimlakkan kepada murid- muridnya, dan sebahagian lagi ditulis oleh beliau sendiri. Kadangkala dirombak pula oleh murid- muridnya apa yang ditulis oleh beliau, kemudian dibacakan kepada beliau apa yang telah dirombak itu. 4) Secara bertukar- tukar fikiran Kaedah ini dilakukan oleh Imam as- Syafei ketika berhadapan dengan para ulama Baghdad, di mana beliau sering bertukar- tukar fikiran tentang masalah agama, terutama dengan ahli fikah dari Mazhab Hanafi. Masalah- masalah agama yang ditimbulkan oleh pembesar- pembesar Harun al- Rasyid (khalifah) pada masa itu, dapat dijawab oleh Imam as- Syafei dengan penjelasan yang memuaskan. 5) Kaedah usuli Cara ini digunakan beliau di Baghdad (Iraq) semasa kebanyakan para ilmuan terpengaruh dengan Mazhab Hanafi. Tegasnya kaedah usuli adalah berlandaskan sumber asal rujukan pengajarannya. Ini terbukti sebagaimana kata- kata al- Karabisi, 2
  3. 3. “Kami sebelum ini tidak mengenal istilah al- kitab, al- sunnah dan ijmak, sehinggalah datangnya as- Syafei , beliaulah yang menerangkan maksud al- kitab, al- sunnah dan ijmak”. 6) Secara membaca Cara ini dilakukan oleh beliau dengan membaca kitab karangannya dalam khalayak ramai. Menurut Ahmad Muhammad Shakir; as- Syafei telah mengarang beberapa buah kitab, sebahagiannya pula beliau merencanakannya sahaja ( kepada para sahabatnya). Melihat daripada model pengajaran Imam as- Syafei , secara keseluruhannya memberikan kesan yang baik kepada para pelajarnya yang kemudiannya menjadi ulama dan pemuda Islam pada masa itu. Antara yang terkenal ialah Imam Abu Tsaur, Al- Muzani, Imam al- Rabi’, Imam al- Hassan bin Muhammad al-Za’farani dan sebagainya. 7) Cara perbincangan Murid- murid Imam as- Syafei digalakkan supaya mengadakan perbincangan kerana dalam sesuatu permasalahan yang ditimbulkan, mereka tidak dirantai atau dikekang pendapat. Sifat taklid amat tidak digemari oleh Imam as- Syafei , justeru terdapat dalam kalangan murid Imam Syafei yang tidak bertaklid buta kepada gurunya, bahkan ada antara mereka yang tidak menyetujui sebahagian pendapat Imam as- Syafei. Contohnya al-Muzani seorang alim bekas murid Imam Syafei yang terkenal sebagai orang yang menghimpun dan menyusun kitab- kitab Imam as- Syafei akhirnya dikenali juga sebagai “pembela Mazhab Syafei”. Kesimpulannya, Imam as- Syafei merupakan model pengajaran yang perlu dicontohi oleh semua golongan masyarakat, sama ada yang bergelar pendidik atau murid. Daripada apa yang telah dibincangakn, jelas menunjukkan bahawa beliau sentiasa bersungguh- sungguh semasa mencari ilmu pengetahuan atau memberikan pengajaran. Kemiskinan tidak menghalang beliau untuk muncul sebagai penghafaz al- Quran dan dapat menimba banyak ilmu pengetahuan, sama ada daripada setiap siri 3
  4. 4. pengembaraan dan pertemuan dengan ulama sehinggalah dikurniakan Allah menjadi ahli dalam mengeluarkan hukum atau fatwa. Kaedah beliau menyampaikan pengajaran melalui kuliah berbentuk halaqah yang menganjurkan pertukaran pendapat dan perbincangan telah berjaya melahirkan murid- muridnya sebagai ulama dan cendikiawan yang meneruskan jejak langkah beliau. Imam as-Syafei juga Berjaya menghasilkan karya- karya yang bermutu tinggi untuk diwarisi oleh umat Islam. Kaedah pendidikan Imam as- Syafei telah meninggalkan pengaruh yang besar dalam pendidikan tradisional di Malaysia, misalnya sistem pendidikan pondok, pengajian- pengajian di masjid, surau- surau, sekolah- sekolah agama. Begitu juga mata pelajaran yang diajarkan di institusi- institusi tersebut yang mengamalkan kitab Mazhab Syafei. MODEL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN IMAM MALIK Imam Malik dilahirkan di Madinah pada tahun 93 Hijrah. Nama sebenarnya ialah Malik bin Anas bin AmAR AL- Asbahi’ bin Amru bin al- Haris bin Saad bin Auf bin ‘Adi bin Malik bin Yazid. Daripada pihak ibunya ialah Al- Aliah binti Syarik bin Abdul Rahman. Beliau berasal daripada keturunan Arab yang terhormat dan dimuliakan oleh masyarakat. Datuknya Abu Amir ialah seorang sahabat Rasulullah yang telah banyak menyumbangkan tenaganya menjadi tentera Islam dalam peperangan melawan kaum kafir, kecuali peperangan Badar. Beliau meninggal dunia pada tahun 179 Hijrah ketika berusia 86 tahun dengan meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri. Antara kaedah pengajaran yang telah dilakukan oleh Imam Malik dalam pengajarannya adalah seperti berikut: 1) Kaedah syarahan Kaedah syarahan atau kuliah merupakan kaedah yang paling banyak digunakan oleh Imam Malik dalam menyampaikan pengajaran. Majlis kuliah beliau di adakan di Masjid Madinah dan di rumah beliau sendiri. Dalam majlis tersebut, Imam Malik seorang sahaja yang menyampaikan ucapan dan syarahan sementara orang lain mendengar dengan penuh perhatian. Tidak ada sedikit pun suara yang mengganggu orang ramai dalam mendengar kuliah beliau. Begitu juga tidak ada suara yang membantah atau 4
  5. 5. seumpamanya. Para pendengar tunduk dan tenang mendengar pengajaran yang disampaikan beliau. Imam Malik mula menyampaikan kuliah atau syarahan sejak berusia 17 tahun lagi. Beliau tidak mengajar melainkan setelah mendapat pengakuan daripada 70 orang gurunya. 2) Kaedah menyelesaikan masalah Kaedah menyelesaikan masalah juga digunakan oleh Imam Malik khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan hukum. Setiap masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh murid- muridnya akan dirujuk kepada Imam Malik. Sepanjang hidup Imam Malik, beliau banyak dihujani dengan bermacam- macam masalah yang berkaitan dengan hukum. Masalah yang dikemukakan oleh beliau bukan sahaja datang daripada penduduk sekitar Madinah, malahan dari wilayah- wilayah yang jauh. Dalam menyelesaikan sesuatu masalah, Imam Malik tidak suka kepada masalah andaian atau khayalan yakni masalah yang direka- reka dan tidak pernah berlaku. Beliau hanya akan menyelesaikan masalah yang benar- benar berlaku dalam masyarakat atau masalah yang waq’I sahaja. Imam Malik amat berhati – hati dalam menyampaikan jawapan kepada masalah yang dikemukakan. Beliau tidak akan menjawab sebelum memikir dan mengkaji dengan mendalam. 3) Kaedah perbincangan Dalam menyampaikan pengajaran, Imam Malik juga menggunakan kaedah perbincangan. Seperti yang diketahui, murid- murid Imam Malik bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan. Ulama yang sudah terkenal pun datang menghadiri majlis Imam Malik. Kesempatan ini digunakan oleh Imam Malik untuk berbincang dengan mereka tentang masalah yang dikemukakan oleh murid yang lain. Kaedah perbincangan ini juga digunakan oleh Imam Malik dalam menyampaikan pengajaran beliau kepada pemerintah. Beliau selalu mengadakan perbincangan dengan khalifah Abbasiyah, antaranya ialah al- Mansur tentang talak orang yang dipaksa. 5
  6. 6. 4) Kaedah cerita Pengajaran secara cerita kadangkala digunakan oleh Imam Malik. Kebanyakan cerita yang disampaikan adalah bertujuan mendidik manusia. Ia juga banyak mengandungi nilai dan teladan untuk diikuti. Imam Malik membawa contoh pekerjaan yang baik yang dikerjakan oleh orang terdahulu seperti Sayidina Umar al- Khattab. Beliau berharap supaya khalifah mengikut jejak langkah Umar. Beliau menambah kata: “ Sesungguhnya khalifah tidak berpeluang atau mampu mengikuti sepenuhnya, tetapi hendaklah sekurang- kurangnya menuju ke satu hala agar rakyat berpuas hati dengan cara itu sekalipun ini tidak sama dengan taraf Khalifah Umar al- Khattab” (Dr. Ahmad Shurbasyi,1978). 5) Kaedah penulisan Bidang penulisan merupakan satu lagi kaedah yang digunakan oleh Imam Malik dalam pengajaran beliau. Ada dua bidang penulisan yang digunakan oleh Imam Malik iaitu penulisan kitab dan surat. Kitab karangan Imam Malik yang masyhur ialah kitab al- Muwatta, kitab ini dianggap sebagai kitab yang pertama menghimpunkan hadis Nabi dan fikah sekali. Kitab ini disusun dalam bab- bab yang berdasarkan tajuk dan masalah yang dibincangkan. Selain kitab al- Muwatta, ada lagi kitab lain yang dinisbahkan kepada Imam Malik seperti kitab Al-Mudawwanah. Di samping penulisan kitab, beliau juga menulis surat khusus kepada pihak berkuasa. Dalam surat tersebut banyak pengajaran yang telah diterapkan oleh beliau. 6) Kaedah ulangan Pengajaran secara ulangan atau tikrar juga digunakan oleh Imam Malik untuk mengukuhkan kefahaman kepada murid- muridnya. Imam Malik meminta penulisnya yang bernama Habib untuk menulis segala kandungan pelajaran yang disampaikan beliau, kemudian membacakan semula pengajaran- pengajaran tersebut kepada orann ramai. ( Munawwar Khalil, 1985). 6
  7. 7. 7) Kaedah pergaulan Pergaulan merupakan satu lagi kaedah yang diambil oleh Imam Malik. Beliau menggunakan kaedah ini khususnya untuk mendekati para pemimpin bagi menyampaikan pengajaran. Beliau juga sering bergaul dengan murid- muridnya. Imam Malik pernah menjemput murid- muridnya datang ke rumah. Dengan pergaulan seumpama ini, secara tidak langsung Imam Malik dapat menerapkan banyak perkara yang baik sebagai panduan untuk mereka. ( Dr. Ahmad Shurbasyi, 1978). 8) Kaedah nasihat Sepanjang hidup Imam Malik, beliau banyak memberikan nasihat kepada orang ramai, sama ada golongan atasan yang terdiri daripada pemerintah, golongan ulama mahupun orang kebanyakan. Antara nasihat beliau yang masyhur ialah urusan bidaah, taklid, memilih guru dan yang seumpamanya (Munawwar Khalil, 1985). Demikianlah antara kaedah- kaedah yang telah digunakan oleh Imam Malik dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Beliau tidak hanya menggunakan kaedah yang tertentu sahaja, malahan mempelbagaikannya sesuai dengan keadaan. Langkah ini adalah untuk menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Kesimpulannya, jelas kepada kita bahawa kepelbagaian kaedah dalam pengajaran adalah amat penting. MODEL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN IMAM AHMAD BIN HANBAL Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan di Bandar Baghdad, pada bulan Rabiulawal tahun 164 Hijrah, iaitu setelah ibunya berpindah darai Bandar Murva tempat tinggal ayahnya. Nama penuh beliau ialah Abu Abdullah bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Hayyain bin Abdullah bin Anas, digelar al- Mururi, kemudian al- Baghdadi. Keturunan Ibnu Hanbal bertemu dengan keturunan Rasulullah pada Mazin bin Mu’ad bin Adnan (Dr. Ahmad Syurbasyi, 1995). 7
  8. 8. Setelah beliau menjadi ulama yang terkenal dengan penyelidikan dalam masalah hukum- hukum Islam, beliau terkenal dengan panggilan Imam Hanbal. Beliau ialah pengasas Mazhab Hanbali. Semasa hidupnya beliau merupakan seorang ahli sunnah yang terbesar, soleh dan zuhud. Sesetengah ulama menganggap beliau ialah Mujaddid bagi abad ke-3 Hijrah. Al- Imam Ahmad meninggal dunia pada tahun 241 Hijrah bersamaan dengan tahun 855 Masihi ketika berusia 77 tahun. Imam Hanbal telah menggunakan teknik- teknik berikut dalam proses pengajaran dan pembelajarannya: 1) Pengajaran Pengajaran Imam Ahmad dalam pendekatan perseorangan dapat dibuktikan daripada suasana majlis ilmu yang dikendalikan olehnya seperti yang dinyatakan dalam buku “ Pokok Pengajaran Imam- Imam Mazhab hal.269. Antaranya berbunyi; “ Imam Ahmad di dalam pengajarannya, adakalanya meriwayatkan hadis dan adakalanya memberikan fatwa”. Hal ini jelas membuktikan bahawa tradisi pengambilan hadis akan melalui proses penghafalan antara pengambil dengan periwayat, ini sudah semestinya mengambil pendekatan perseorangan. 2) Pengajaran berkumpulan Manakala dalam pendekatan pengajaran berkumpulan, Imam Ahmad telah menggunakannya dalam pengajaran di masjid. Pengajaran ini amat sesuai dengan suasana masjid yang terbuka. Jika masjid boleh menampung jumlah murid yang ramai, maka pendekatan pengajaran berkumpulan amat sesuai. Ini dikenali sebagai kelas umum atau terbuka. 3) Teknik bercerita Teknik bercerita untuk mengajar merupakan satu teknik yang telah lama digunakan. Teknik yang sama juga digunakan oleh Imam Ahmad. Teknik bercerita mudah menarik minat seseorang, dapat menumpukan perhatian mereka dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik. Dengan itu, pembelajaran dalam keadaan yang ideal penerimaannya akan menjadi lebih kekal. Hal ini dapat dijelaskan semasa Imam Ahmad menyampaikan hadis, beliau akan menceritakan tentang rawi- rawinya satu persatu 8
  9. 9. sehingga sampai kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini amat penting dalam pengajaran hadis kerana sifat- sifat perawinya dari segi amalan mereka, thiqah, kuat ingatan dan lain- lain lagi akan menentukan kesahihan sesuatu hadis. 4) Bersyarah Bersyarah bukan sahaja sekadar membaca, tetapi memberikan interpretasi dan menghuraikan idea- idea supaya murid dapat memahaminya. Teknik ini juga digunakan oleh guru- guru yang masyhur, termasuk nabi- nabi dan golongan bijak pandai. Teknik yang sama juga digunakan oleh Imam Ahmad dalam pengajarannya. Hal ini dapat dibuktikan dalam buku ‘Pokok Pegangan Imam- Imam Mazhab dalam Membina Hukum’ halaman 268 yang membentangkan kaedah pengajaran Imam Ahmad yang dilakukan di masjid. Pengajaran oleh Imam Ahmad di masjid sudah pasti dalam bentuk kelas terbuka. Imam Ahmad menggunakan teknik bersyarah atau proses satu hala. 5) Perbincangan Perbincangan merupakan satu teknik pengajaran yang berlaku antara murid dengan penyeliaan guru. Teknik ini digunakan oleh Imam Ahmad dalam pengajarannya. Dalam merumuskan sesuatu pendapat dalam bidang fekah, Imam Ahmad lebih gemar mengadakan perbincangan kerana beliau menyedari bahawa dalam memahami ilmu fikah antara satu tempat dengan tempat yang lain amat berbeza, mengikut kesesuaian masa, tempat dan keadaan. Oleh itu terdapat pada masa itu Fiqh Pasri, Fiqh Kufi, Syami dan lain- lain lagi. 6) Hafalan dan latih tubi Dalam buku ‘Pokok Pegangan Imam- Imam Mazhab dalam Membina Hukum’, halaman 269 menyatakan; “ Imam Ahmad ini di majlisnya adakala meriwayatkan hadis”. Petikan ini membuktikan bahawa teknik hafalan dan latih tubi merupakan satu keperluan dalam pengajaran Imam Ahmad dalam meriwayatkan hadis. Hafalan bermaksud hafalan secara rasional melibatkan fahaman bermakna tentang prinsip- prinsip yang diperlukan termasuk sepatah demi sepatah. Antara ciri hafalan adalah: - Memikirkan - Mengulang - Menyebut 9
  10. 10. - Mengingat semua ciri ini amat penting dalam proses penyampaian hadis di mana latih tubi dilakukan sebagai pengulangan fakta- fakta atau kecekapan daripada bentuk hadis yang dirawikan. Inilah antara pendekatan Imam Ahmad dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Hal ini juga membuktikan bahawa Imam Ahmad merupakan seorang model dalam pendidikan yang begitu peka semasa pengajaran. Imam Ahmad menggunakan pengajaran dan pembelajaran yang menepati pendekatan, kaedah dan teknik mengikut kesesuaian masa. Oleh sebab tokoh- tokoh Islam tidak ditonjolkan secara berkesan, maka penglibatan mereka dalam bidang pendidikan dirasakan amat sedikit. Sedangkan dalam keadaan sebenarnya, tokoh- tokoh Islam seperti Imam Ahmad merupakan model dalam pendidikan, di mana keadaan dan teknik pengajaran mereka adalah tepat untuk dijadikan panduan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada zaman moden ini. MODEL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN IMAM ABU HANIFAH Abu Hanifah dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bersamaan tahun 660 Masihi. Nama asal Abu Hanifah ialah Annu’man. Beliau berketurunan Farsi ( Kabul- Afghanistan) yang kemudiannya berpindah ke Kota Kufah. Beliau digelar Abu Hanifah kerana beliau sentiasa bersama tinta untuk mencatat ilmu pengetahuan yang dipelajarinya. Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah bersamaan tahun 767 Masihi dalam penjara ketika berusia 70 tahun dan dikebumikan di Baghdad. Beliau adalah pengasas Mazhab Hanafi. Dalam menyampaikan pengajaran, banyak kaedah yang digunakan beliau bergantung kepada keadaan atau situasi pembelajaran serta keadaan persekitaran. Antara kaedah pengajaran yang telah dilakukan oleh Imam Abu Hanifah dalam pengajarannya adalah seperti berikut: 1) Kaedah mujadalah Cara dan kaedah ini banyak digunakan ketika beliau berdepan dengan anak- anak muridnya yang dewasa. Beliau sama sekali tidak membenarkan mereka bertaklid sahaja sebaliknya dididik berfahaman merdeka. Mereka bebas berfikir untuk turut memecahkan persoalan- persoalan dan dibenarkan membantah pengajaran atau pendapat Imam Abu Hanifah yang dianggap bertentangan dengan wahyu Allah dan hadis nabi yang disertai dengan akal yang bersih dari segala bentuk pengaruh. 2) Kaedah menyelesaikan masalah 10
  11. 11. Kaedah ini banyak digunakan oleh beliau ketika berhadapan dengan golongan pembesar, ketua- ketua jabatan dan orang yang datang menemui beliau dengan membawa beberapa masalah atau persoalan untuk diselesaikan. Seringkali timbul masalah- masalah baru yang tidak menemui hukum atau keputusan berdasarkan al- Quran dan hadis Berjaya diselesaikan oleh beliau berdasarkan ijtihadnya. Imam Abu Hanifah merupakan seorang yang bijak menyelesaikan masalah yang rumit bagi orang lain untuk menyelesaikannya. 3) Kaedah nasihat Kaedah lain yang sering digunakan oleh beliau ialah kaedah memberikan ajaran dalam bentuk nasihat secara langsung kepada anak- anak muridnya, sama ada yang berkaitan dengan keagamaan, adat kekeluargaan, adab bergaul dan sebagainya. Contohnya nasihat yang telah diberikan beliau kepada beberapa orang anak muridnya seperti Abu Yusof Yaacob bin Ibrahim, Al- Qadhi dan rakan- rakannya. Nasihat tersebut dianggap nasihat yang luar biasa. Beliau telah membawa satu perlembagaan yang aneh tentang cara berbudi bahasa terhadap raja- raja dan juga orang ramai. Beliau menunjukkan kepada anak- anak muridnya jalan bagi mendapat taufik dan kejayaan dalam bidang ilmu pengetahuan dan pengajaran. 4) Kaedah contoh teladan yang baik Kaedah ini merupakan satu cara tidak langsung semasa beliau menyampaikan ajaran kepada anak muridnya. Beliau banyak menunjukkan contoh, sikap, tindakan serta tutur kata yang baik, yang daapt dilihat dan dicontohi oleh murid- muridnya. Secara tidak langsung, beliau mendidik murid- muridnya melalui contoh teladan yang baik yang ditunjukkan beliau kepada umum. Contohnya beliau telah menunjukkan satu ajaran melalui sikapnya yang tidak menyukai atau tidak bekerjasama dalam hal rasuah, ganjaran kebendaan dan sebagainya yang terlalu berbentuk keduniaan. 5) Kaedah syarahan atau ceramah Kaedah ini merupakan satu kaedaah umum yang dilakukan oleh ramai tenaga pengajar. Imam Abu Hanifah juga tidak terlepas dari menggunakan kaedah ini. Setiap hari pada waktu yang telah ditentukan, orang ramai akan datang berduyun- duyun dari sekitar Kota Kufah menuju ke masjid untuk mendengar pengajaran atau pengajian beliau tentang soal- soal keagamaan dan sebagainya. Disebabkan bilangan pelajarnya yang 11
  12. 12. kian bertambah, Imam Abu Hanifah telah menjadikan masjid Kufah sebagai pusat pengajiannya. Ramai anak muridnya yang datang dari dalam dan luar kota Kufah untuk mendengar syarahan atau ceramah pengajiannya. 6) Kaedah tanrin atau latihan Kaedah ini pernah digunakan oleh seorang guru beliau, kemudian beliau pula telah menjadikannya sebagai satu cara pengajiannya. Cara yang dilakukan dalam kaedah ini ialah guur menyediakan beberapa masalah atau persoalan untuk diselesaikan oleh anak muridnya. Pada kebiasaannya, tiga soalan akan diberikan dalam sehari dan ia perlu diselesaikan oleh murid, diingatkan serta dipelajari. Setelah pasti pelajarnya mendapat pengajaran atau kefahaman daripada masalah tersebut, barulah beliau beralih pula kepada masalah atau persoalan yang lain. Bagitulah yang dilakukan oleh Imam Abu Hanifah dalam menyampaikan ilmu kepada sebahagian para pelajarnya. Sebagai kesimpulan, kaedah pengajaran Imam Abu Hanifah pada keseluruhannya menggunakan kaedah secara langsung. Iaitu berdepan dengan muridnya secara lisan atau dalam suasana pembelajaran. Para pelajarnya berhimpun di masjid Kufah dan beliau menyampaikan pengajarannya secara interaksi (lisan) seperti ceramah dan bermuzakarah di samping nasihat kepada para pelajarnya. Beliau tidak menggunakan kaedah penulisan. Lantaran itu tidak ditemui walau sebuah pun buku yang ditulis sendiri oleh beliau pada zamannya. Sebaliknya, pandangan serta ajaran beliau telah dikumpulkan dan dibukukan oleh murid- muridnya untuk dijadikan panduan dan rujukan umat Islam sejagat. MODEL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN IMAM AL- GHAZALI Imam al- Ghazali dilahirkan di At- Tibran, Tus pada tahun 1058 Masihi. Bapanya bernama Muhammad al- Ghazali yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing. Nama sebenarnya ialah Abu Hamad Muhammad bin Ahmad al- Ghazali. Beliau digelar al- Ghazali bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing. Beliau berasal daripada keluarga yang miskin. Bapanya mempunyai cita- cita yang tinggi, iaitu ingin melihat anaknya menjadi seorang yang alim dan soleh. Al- Ghazali ialah seorang pemikir Islam yang ulung. Al- Ghazali mempunyai banyak keistimewaan hinggakan dalam usia 34 tahun beliau telah dilantik sebagai reactor Universiti Baghdad. Selepas itu, al- Ghazali mengembara mencari kebenaran dan kedamaian selama 12 tahun sehingga berjaya mendapat kepuasan dalam ilmu sufi. Al- 12
  13. 13. Imam al- Ghazali meninggal dunia pada tahun 505 Hijrah di Tus dan jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya. Dalam menyampaikan pengajarannya, banyak kaedah yang digunakan oleh Imam al- Ghazali. Antaranya ialah: 1) Kaedah perbandingan Kaedah perbandingan digunakan dalam pengajaran, perbincangan dan untuk membuktikan kebenaran fikiran dan kepercayaan mereka terhadap karya- karyanya. Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam al- Ghazali menerangkan perbezaan pendapat dalam kalangan cerdik pandai tentang kebaikan dan keburukan akhlak. 2) Kaedah halaqah Kaedah ini terus menerus digunakan oleh yayasan- yayasan pendidikan dalam dunia Islam. Semenjak bermulanya dakwah Islamiah, pelajar- pelajar mengelilingi gurunya dalam separa bulatan untuk mendengar syarahannya. Al- Ghazali telah mendirikan sebuah sekolah berhampiran dengan rumahnya untuk penuntut- penuntut ilmu dan sebagai tempat persinggahan bagi golongan sufi. Maka, tidak dapat dielakkan, Imam al- Ghazali juga melaksanakan kaedah halaqah di sekolah tersebut ketika menyampaikan ilmu kepada penuntut- penuntutnya. 3) Kaedah petunjuk dan bimbingan Imam al- Ghazali ialah seorang peneliti dan selalu mengadakan percubaan sebelum memberikan pendapatnya. Pendapat- pendapat beliau diperah daripada kemurnian hidup yang dihayatinya, dimensi- dimensi ilmu pengetahuan yang dicapainya melalui percubaan- percubaan yang telah dilakukan dan daripada beberapa kesulitan yang dialami di dalam kehidupannya. Misalnya dalam menanamkan dasar- dasar agama kepada anak- anak, Imam al- Ghazali memulakan dengan meniru, iaitu menunjuk cara, diikuti dengan meyakini dan menguatkan dengan dalil- dalil, membaca ayat- ayat al- Quran dan menerangkan kandungan serta maknanya (Fathiyyah Hassan Sulaiman, 1986). 4) Kaedah dialog dan perbincangan Kaedah dialog ialah kaedah yang berdasarkan dialog, perbincangan melalui soal jawab untuk sampai kepada fakta yang tidak dapat diragukan, dikritik dan dibantah lagi. Imam 13
  14. 14. al- Ghazali pernah menggunakan kaedah perbincangan dan dialog bagi mendalamkan lagi kefahaman seseorang terhadap ilmu pengetahuan (Abdullah Ishak, 1989). Kaedah ini dapat mengasah otak dan memperkuatkan pendapat di samping kepercayaan kepada diri sendiri dan berkemampuan untuk berbicara tanpa teks. Kesimpulannya, Imam al- Ghazali meletakkan asas- asas sewajarnya digunakan dalam kaedah pengajaran. Beliau melukiskan kaedah pendidikan agama dan budi pekerja secara jelas yang berdasarkan langkah yang tegas lagi sesuai dengan falsafah dan tujuan yang hendak dijangkau. Oleh itu, beliau berdiri sama tegak dengan filosofi- filosofi pendidikan yang terpenting dalam menyusun suatu system pendidikan terencana, sesuai dengan fikiran yang matang lagi konsisten dengan aliran falsafah khusus seperti Plato, Rousseau dan lain- lain ( Fathiyyah Hassan Sulaiman, 1986). Pendapat- pendapat Imam al- Ghazali diperah daripada keadaan kehidupannya yang penuh dengan kemurnian, ilmu pengetahuan yang dicapainya melalui percubaan- percubaan yang dilakukan dari kesulitan- kesulitan yang menimpa hidupnya. Justeru, tidak dapat disangkal bahawa semua kaedah pengajaran dan pembelajaran yang di amalkan di seluruh dunia pada hakikatnya adalah berpunca daripada al- Quran dan as- sunnah. Pelbagai kaedah tersebut bukan sahaja sesuai bagi menyampaikan ilmu- ilmu keduniaan (fardhu kifayah). 14

×