1. SASTERA MODEN.
GOLONGAN PENULIS INTELEK AGAMA.
Penulis intelek agama ialah segolongan penulis yang telah
memberi sumbanga pada tahun 1920-an dan 1930-an. Dari sudut
pendidikan Sekolah Melayu dan Arab, penulis golongan agama
terpengaruh dengan fahaman modenisasi Islam yang dibawa oleh
Muhammad Abduh, sama ada secara langsung sewaktu belajar di Timur
Tengah atau melalui orang-orang yang telah belajar di Mesir.
Dari segi pekerjaan, golongan penulis intelek agama menjadi
guru di madrasah serta menjadi wartawan. Golongan intelek agama
yang penting dalam kesusasteraan Melayu moden ialah Syed Sheikh al-
Hadi, Ahmad bin Muhammad Rashid Talu, Ahmad bin Haji Ismail dan
Sheikh Tahir Jalaluddin.
Golongan penulis intelek agama memberikan sumbangan yang
amat besar dan penting dalam perkembangan ilmu dan kesusasteraan
Melayu moden terutama selepas Abdullah Munsyi. Antara sumbangan
dan peranan golongan penulis intelek agama ialah membentuk
pemikiran masyarakat Melayu dengan mengemukakan pelbagai
pandangan baru yang menyentuh aspek ekonomi, sosial dan politik
orang-orang Melayu dalam akhbar-akhbar yang menjadi lidah rasmi
mereka seperti al-Ikhwan, al-Imam dan akhbar Saudara.
Dalam bidang pendidikan, golongan penulis agama juga
memainkan peranan yang amat penting dengan mengembangkan
pendidikan Melayu serta Islam melalui madrasah-madrasah yang
ditubuhkan oleh mereka. Misalnya Syed Sheikh al-Hadi telah
menubuhkan beberapa buah madrasah di Singapura, Pulau Pinang serta
Melaka. Antara madrasah yang telah ditubuhkan oleh Syed Sheikh al-
Hadi ialah madrasah al-Masyhor di Pulau Pinang dan madrasah al-Iqbal
al-Islamiah di Singapura.
Sumbangan dan peranan golongan penulis intelek agama dalam
bidang kesusasteraan Melayu amat penting. Antaranya menterjemah
serta menerbitkan siri-siri cerita Rokambul (cerita mata-mata gelap
Arab). Usaha penterjemahan noel mata-mata gelap dalam siri cerita
Rokambul ini dilakukan oleh Syed Sheikh al-Hadi. Siri cerita Rokambul
mengandungi cerita-cerita berikut :
a) Cerita Rokambul dalam jail.
b) Cerita Rokambul dalam Siberia.
c) Cerita Rokambul dengan Korban Hindi.
d) Cerita Rokambul dengan Malim Kaum Nur.
e) Cerita Rokambul dengan Taman Penglipurlara.
Mereka juga menulis serta menerbitkan novel-novel Melayu saduran
dari Timur Tengah serta novel-novel Melayu asli. Karya-karya Syed
Sheikh al-Hadi ialah Hikayat Taman Cinta Berahi (1928), Hikayat Anak
Dara Ghassan (1929), Hikayat Cermin Kehidupan (1929), Hikayat Puteri
Nurul Ain (1929), Hikayat Pembelaan dalam Rahsia (1930) dan Hikayat
Setia Asyik kepada Makhsyoknya atau Hikayat Faridah Hanum (1925-
1926). Dengan terbitnya novel-novel saduran ini telah menjadikan Syed
Sheikh al-Hadi sebagai “Pelopor Novel Melayu”. Kesemua novel yang
disadur itu diterbitkan melalui siri “The Moral Trainer” atau
“Pendidikan Akhlak”. Golongan penulis intelek agama juga merupakan
golongan penulis yang pertama menghasilkan novel Melayu asli. Ini
dilakukan oleh Ahmad bin Muhammad Rashid Talu yang menulis dan
menerbitkan beberapa buah novel Melayu asli. Antaranya ialah novel
Kawan Benar (1927), Iakah Salmah (1928), Dua Belas Kali Sengsara
(1929), Siapa Jahat (1930) dan lain-lain lagi. Ahmad bin Muhammad
Rashid Talu juga diiktiraf sebagai “Bapa Novel Melayu Asli.” Novel-novel
yang ditulis oleh Ahmad bin Muhammad Rashid Talu dianggap asli
kerana berlatarbelakangkan Tanah Melayu. Novel Kawan Benar
mengisahkan kecurangan seorang suami yang berlaku di Pinang.
Penulis-penulis intelek agama juga merupakan golongan perintis
kepada kerancakan dan perkembangan penulisan novel-novel Melayu
dengan menjadikan akhbar-akhbar sebagai lidah rasmi mereka, seperti
al-Imam, al-Ikhwan serta Saudara.
Sebagai seorang ulama, Syed Sheikh al-Hadi juga menghasilkan
buku-buku agama. Buku-buku agama itu ialah Tafsir Juz Amma (1927),
Tafsir al-Fatihah (1928), Kitab Alam Perempuan (1930), Kitab Agama
Islam dan Akal (1931) serta Hadiah Kebangsaan (1933).