Bab 2
Upcoming SlideShare
Loading in...5
×

Like this? Share it with your network

Share
  • Full Name Full Name Comment goes here.
    Are you sure you want to
    Your message goes here
    Be the first to comment
    Be the first to like this
No Downloads

Views

Total Views
13,540
On Slideshare
13,539
From Embeds
1
Number of Embeds
1

Actions

Shares
Downloads
444
Comments
0
Likes
0

Embeds 1

http://www.slideshare.net 1

Report content

Flagged as inappropriate Flag as inappropriate
Flag as inappropriate

Select your reason for flagging this presentation as inappropriate.

Cancel
    No notes for slide

Transcript

  • 1. BAB 2 TEORI PERHUBUNGAN ETNIK Mansor Mohd. Noor 2.1 Pendahuluan Masyarakat pelbagai etnik, budaya, dan agama merupakan ciri utama negara-negara di dunia pada hari ini. Hanya segelintir daripada lebih l80 negara yang bernaung di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bercirikan masyarakat monoetnik. Persaingan dan konflik antara etnik sering berlaku di negara-negara yang berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai etnik. Namun demikian, sejarah juga telah membuktikan negara ekaetnik pun tidak dapat membebaskan diri daripada kejadian sedemikian itu. 2.2 Fokus Kajian Perhubungan Etnik Bidang kajian perhubungan etnik memberikan tumpuan kepada usaha untuk memahami dan menjelaskan bentuk-bentuk yang digunakan oleh pelbagai ahli dan kumpulan etnik dalam masyarakat itu untuk berhubung dalam satu jangka waktu yang berterusan. 2.3 Persoalan Bidang Kajian Soalan asas dalam kajian perhubungan etnik ialah apakah bentuk perhubungan antara kumpulan yang wujud dalam masyarakat itu? Perhubungan etnik boleh melahirkan masyarakat yang harmoni atau berkonflik. Untuk memahami perhubungan etnik, bentuk perhubungan yang wujud antara etnik dalam masyarakat itu perlu dikenal pasti. Sarjana perhubungan etnik menggariskan empat bentuk perhubungan antara etnik yang dapat dikenal pasti: bekerjasama, penyesuaian, persaingan, dan konflik. Bagaimanakah kumpulan-kumpulan etnik ini disusun dalam stratifikasi sosial masyarakat itu dan apakah kesan bentuk susunan stratifikasi sosial kumpulan etnik yang sedemikian ke atas perhubungan antara kumpulan etnik tersebut dan masyarakat itu sendiri? Dalam setiap masyarakat wujud ketidaksamarataan sosial dalam pengagihan harta, martabat, dan kuasa hingga menyebabkan individu dan kumpulan itu menerima layanan yang berbeza. Ketidaksamarataan sosial ini tidak berlaku begitu saja tetapi terbina dan berkekalan hingga bergenerasi-generasi. Dalam kebanyakan negara yang memiliki masyarakat pelbagai etnik, struktur ketidaksamarataan sosial yang wujud melahirkan satu atau sebilangan kumpulan etnik yang berkuasa dan kumpulan etnik berkenaan akan mendapat keistimewaan daripada institusi pemerintahan dan ekonomi. Manakala kumpulan etnik minoriti pula akan berada di kedudukan sosial yang rendah dan terpinggir. 7
  • 2. Bagaimanakah cara kumpulan etnik yang dominan dalam masyarakat pelbagai etnik itu mengekalkan kedudukannya di tangga teratas dalam masyarakat itu dan apakah percubaan yang dilakukan oleh kumpulan minoriti untuk mengubah kedudukan mereka? Kumpulan etnik yang dominan akan menggunakan cara langsung dan tidak langsung untuk mempertahankan kedudukan harta, martabat, dan kuasa mereka. Ini bukan bermakna kumpulan minoriti akan berdiam diri tanpa mengatur tindakan untuk memajukan lagi kedudukan sosial mereka. Apakah kesan jangka panjang bentuk masyarakat pelbagai etnik di atas terhadap perhubungan etnik? Apabila kumpulan-kumpulan etnik boleh hidup bersama dalam satu jangka masa yang panjang, mereka mungkin bergerak ke arah penyatuan kumpulan, terus mengekalkan perbezaan atau membesar-besarkan perbezaan di atas. Masyarakat pelbagai etnik yang sedemikian mungkin sedang menuju ke arah integrasi atau pemisahan melalui proses asimilasi atau pemajmukan. 2.4 Kerangka Konseptual Konsep yang paling utama ialah kumpulan etnik dan ras. Ciri-Ciri Kumpulan Etnik Kumpulan atau kategori etnik digunakan untuk merujuk secara asasnya kepada warisan sosiobudaya seseorang itu. Antara ciri konsep etnik ialah budaya, adat, bahasa, agama, negara asal, dan lain-lain. Kumpulan etnik ialah kumpulan yang ahlinya memiliki satu set ciri sosiobudaya yang tersendiri ini. Melvin Tumin (1964: 243) mentakrifkan kumpulan etnik sebagai “satu kumpulan sosial yang wujud dalam satu sistem sosial dan kebudayaan yang besar dengan menuntut atau diperakui dengan status istimewa dari segi satu ciri etnik yang kompleks yang ditonjolkan atau dipercayai ada memilikinya”. Mengikut J. Milton Yinger (1994) pula satu kumpulan wujud dalam erti kata sebenar apabila “satu segmen dari masyarakat besar dilihat oleh orang lain sebagai berbeza dengan beberapa kombinasi dalam ciri-ciri berikut - bahasa, agama, ras dan negara nenek moyang bersama adat dan kebudayaan yang berkaitan; ahli-ahli kumpulan ini pun melihat diri mereka sedemikian, dan mereka melibatkan diri dalam kegiatan yang dikongsi bersama berdasarkan asal usul keturunan atau kebudayaan yang sama (sebenar atau buatan)”. Pandangan Yinger ini ada kaitan dengan pemerhatian umum semenjak dulu kala yang memperlihatkan ahli-ahli keluarga sering kali serupa satu sama lain dari segi rupa paras dan tingkah laku jika dibandingkan dengan mereka yang tiada ikatan keluarga. Ciri-Ciri Kumpulan Ras Pada hari ini, kumpulan atau kategori ras dirujukkan kepada warisan fizikal diri seseorang itu seperti warna kulit, bentuk rambut, bentuk muka, dan lain-lain. 8
  • 3. Konsep ‘ras’ dari perspektif biologi tidak begitu diutamakan oleh sarjana sains sosial. Perspektif sedemikian dipentingkan oleh sarjana biologi dan antropologi fizikal. Dari perspektif sosiologi, kumpulan ras secara sosial didefinisikan sebagai satu kumpulan yang dilihat oleh ahli-ahli kumpulan itu dan orang lain sebagai kumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri biologi yang tersendiri, tanpa mengira sama ada mereka itu sebenarnya merupakan satu kumpulan biologi yang tersendiri atau tidak. 2.5 Meneliti Konsep Ras dan Etnik Amalan mengaitkan konsep ras dengan warisan fizikal dan etnik dengan warisan kebudayaan seseorang individu itu sudah diterima pakai secara meluas. Namun demikian perlu diperingatkan, batas dalam sesuatu kumpulan etnik dan ras tidaklah begitu jelas dan tetap seperti yang diandaikan oleh orang ramai. Kedua-dua konsep ini sering bertindih dan dalam banyak perkara maknanya kabur. Individu daripada kumpulan ras dan etnik yang berlainan juga boleh berkahwin dan menghasilkan percampuran ras. Percampuran ras ini menyebabkan ciri-ciri warisan fizikal sesuatu kaum, seperti warna kulit dan sebagainya, berubah. Di Malaysia, orang Melayu ditakrifkan berdasarkan konsep etnik, bukan ras. Ciri-ciri kumpulan etnik yang digunakan untuk mentakrifkan Melayu ialah bahasa, adat, dan agama. Penggunaan konsep ras akan menyulitkan pengkategorian kumpulan Melayu disebabkan berlakunya percampuran ras dengan kategori fenotaip Kaukasian seperti orang Inggeris, Belanda, Turki, Arab, Portugis, India, dan lain-lain; fenotaip Mongoloid seperti orang Cina, orang rumpun Melayu, orang Asli, dan lain-lain; dan fenotaip Afrika. Percampuran ras tiga kategori fenotaip ini telah menyebabkan ciri-ciri fizikal orang Melayu menjadi kabur. Malahan perkahwinan campur antara Cina dengan India di Malaysia pun melahirkan anak yang menyerupai ‘orang Melayu’ dan hal ini juga memberikan kesan kekaburan kepada batas ras orang Melayu. Dari segi budaya juga, orang Melayu, India, Cina, Kadazan-Dusun, Iban, Bidayuh, dan sebagainya banyak meminjam unsur budaya, seperti bahasa, pakaian, makanan, dan agama antara satu sama lain. Perbahasan di atas, tentang aplikasi konsep etnik dan ras di Malaysia, menjelaskan bahawa manusia mempunyai ciri kepelbagaian yang tidak terbatas dan ciri-ciri sesuatu kumpulan itu sering bertindih dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Ini menunjukkan, walaupun masyarakat awam mengaitkan konsep ras dan etnik dengan persamaan ciri-ciri warisan fizikal dan kebudayaan, namun batas-batas kumpulan ini sebenarnya ditentukan oleh satu set persetujuan sosial dalam masyarakat itu sendiri. Tanpa mengira ketulenan batas fizikal dan etnik yang dapat diperhatikan, manusia akan bertindak berlainan berbanding dengan ahli-ahli daripada kumpulan sosial itu atas sebab kepentingan dan perkiraan sosial dalam masyarakat itu sendiri. Kelogikan analisis ini telah menyebabkan pelajar perhubungan ras dan etnik berpegang kepada pendapat yang menyatakan bahawa konsep ras dan etnik lebih bersifat sosiopolitik, bukan saintifik ala biologi itu. Malah, sarjana bidang pengajian ini diminta melupakan sahaja definisi saintifik tersebut, terutama bagi konsep ras. 9
  • 4. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa walaupun konsep etnik dikaitkan dengan warisan sosiobudaya, bukan biologi tetapi bagi orang di luar kumpulan itu, ciri-ciri kumpulan etnik masih lagi dianggap mempunyai kaitan dengan asas biologi, bukan budaya semata- mata. Jadi kita perlu mengakui yang realiti sosial tentang perhubungan etnik dan ras dan pengkategorian kumpulan wujud dalam masyarakat kita. Kita juga harus menyedari yang kategori ini bukan dipaksakan ke atas kita oleh faktor semula jadi semata-mata. 2.6 Kerangka Teoretis Perubahan teras kajian perhubungan ras dan etnik daripada memberi penekanan kepada konsep ras sebagai konsep biologi ke perhubungan sosial, membuka ruang agar masalah perhubungan ras dan etnik dikaji berdasarkan kerangka teoretis disiplin ilmu sosiologi dan sains kemasyarakatan. 2.7 Teori Ekologi Robert E. Park (1950) merupakan sarjana sosiologi yang pertama yang membicarakan persoalan perhubungan ras. Beliau dipengaruhi oleh pendekatan Charles Darwin (1859) tentang ‘kemenangan bagi yang tergagah’. Tetapi bagi Park, manusia mempunyai dua bentuk warisan: 1) Sebagai ahli sebuah kumpulan ras dia mewarisi pusaka biologikal yang dipindahkan melalui perkahwinan sesama kumpulan, dan 2) sebagai ahli kumpulan sosial, dia memindahkan melalui komunikasi warisan sosial kumpulannya. Penulis masa ini menggunakan proses evolusi organik atau biologikal bagi peringkat individu dan proses superorganik atau evolusi sosial dan kebudayaan di peringkat kumpulan. Teori ekologi Park boleh dirumuskan ke dalam empat usul: Penghijrahan membawa bersama, dalam perhubungan yang tidak sama rata, manusia yang memiliki fenotaip yang berbeza. Dalam perhubungan persaingan, individu-individu sedar akan ciri-ciri status yang membezakan mereka. Manusia yang berstatus tinggi tidak mahu bersaing atas dasar sama rata dengan mereka yang memiliki status rendah; kumpulan yang kemudian ini dianggap memiliki kategori semula jadi tersendiri dan dengan itu layak berada di tempat yang lain dalam pembahagian buruh. Prejudis ialah luahan kesedaran kumpulan oleh kelompok manusia yang istimewa. Prejudis juga mempertahankan kepentingan mereka dan memperkukuh struktur kategori itu. 2.8 Teori Freudian John Dollard (1937) mengaplikasikan teori Freudian dengan merujuk kepada konsep prejudis sebagai satu sikap untuk mempertahankan hak orang kulit putih. Usulan yang dibuat oleh Dollard ialah; Kehidupan sosial mengakibatkan lahir pelbagai kekecewaan psikologi dalam diri individu. Kekecewaan itu dapat dikurangkan dengan melepaskan kekerasan. 1) Kekerasan lebih senang diluahkan ke atas sasaran tertentu. 10
  • 5. 2) Bagi orang kulit putih, kehitaman dikaitkan dengan ketakutan dan keinginan yang terpendam. 3) Lagi lemah kuasa kelompok minoriti, lagi sesuai kelompok ini dijadikan sebagai sasaran. Di mana-mana sahaja sekiranya kekerasan diluahkan secara berterusan, luahan tersebut akan diikuti oleh kekerasan yang melimpah sehingga menambahkan lagi elemen irasional kepada tindakan rasional di peringkat awal tadi. 2.9 Struktur Fungsionalisme Talcott Parsons (1975: 58-83) menjadi pelopor dalam pembentukan teori ini. Kajiannya dikukuhkan oleh sarjana lain seperti W. Lloyd Warner (1945), Kingsley Davis (1948) dan Gunnar Myrdal (1944). Teori ini membayangkan individu bertindak kepada insentif dan dikawal oleh hukuman dan denda. Individu mengejar kepentingannya tetapi masyarakat mengikat kepentingan ini dalam satu pola yang sama sebab wujudnya pembahagian buruh dan individu juga berkongsi nilai bersama yang memakmurkan dan mensejahterakan masyarakat. 2.10 Teori Kelas Oliver Cox (1948) mendapati masalah perhubungan ras dan etnik di Amerika Syarikat ada hubung kait dengan persoalan kelas dan sistem kasta. Cox berpendapat semua pertelingkahan ras boleh dikaitkan dengan dasar dan sikap golongan kapitalis dan orang kulit putih terhadap orang bukan kulit putih dan kelas buruh. Prejudis dan ideologi ras seperti sikap rendah diri dipupuk dan digunakan sebagai instrumen yang bermatlamatkan politik dan ekonomi kapitalis. Cox melihat perhubungan ras sebagai perhubungan proletariat-borjuis dan dengan itu memaparkan masalah perhubungan kelas politik. Usulan Cox ialah: Apabila kapitalisme Eropah berkembang ke kawasan yang kaya dengan sumber asli, wujud keuntungan untuk memperoleh sumber buruh yang berbeza dan ini membolehkan mereka meletakkan buruh ini dalam kedudukan tertindas. Dalam perhubungan yang tidak sama rata ini, terbentuk keyakinan yang mendokong ketidaksamarataan itu. Perkara ini terbina dalam struktur masyarakat kapitalis yang memisahkan buruh kulit putih daripada kulit hitam. Kategori ras wujud dalam kehidupan sosial masyarakat kapitalis kerana, 1) menguntungkan kelas pemerintah, dan 2) pertembungan dalam masyarakat ini belum sampai ke tahap yang menunjukkan kedudukan sebenar sistem sosial itu dapat dilihat dengan jelas oleh kelas buruh. 2.11 Teori Masyarakat Majmuk J. S. Furnivall (1948) dan M. G. Smith (1965) mengutarakan konsep masyarakat majmuk untuk mengenal pasti masyarakat yang terdapat di Asia Tenggara di mana wujud satu rantai manusia - orang Eropah, Cina, India, dan berbagai-bagai kumpulan anak tempatan: ‘Mereka bergaul tetapi tidak bergabung. Setiap kumpulan berpegang dengan agama masing- masing, kebudayaan dan bahasanya sendiri, ide dan cara hidupnya sendiri. Sebagai individu mereka bertemu, tetapi hanya di pasar, semasa membeli dan menjual. Wujud satu masyarakat 11
  • 6. plural di mana pelbagai bahagian komuniti hidup sebelah menyebelah, tetapi berasingan, dalam unit politik yang sama. Berlaku juga dalam bidang ekonomi, di mana pembahagian buruh berlaku mengikut garisan ras’ (Furnivall 1948: 304). Leo Kuper (1974 dan 1977) merasakan teori struktural fungsionalisme dan Marxisme tidak menjelaskan ciri-ciri utama masyarakat yang dipisahkan oleh batas etnik dan ras. Kuper berpendapat kita boleh membuat deduksi tentang teori masyarakat majmuk dengan mengandaikan teori kelas boleh menjelaskan bentuk pengkategorian ras dalam masyarakat. Dalam hal ini, bentuk ikatan utama dan konflik yang akan timbul terbentuk hasil hubungan kumpulan dengan cara pengeluaran dalam ekonomi. Teori Kuper tentang hubungan ras dalam masyarakat majmuk didasarkan kepada usul: Masyarakat yang terdiri daripada kumpulan status atau tuan tanah yang boleh dibezakan mengikut fenotaip, berada di tempat berbeza dalam susunan ekonomi, dan terikat dalam sektor politik di tahap yang berbeza, akan dipanggil masyarakat majmuk dan berbeza daripada masyarakat berkelas. Dalam masyarakat majmuk, hubungan politik mempengaruhi hubungan cara pengeluaran dan lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan hubungan sebaliknya. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Kategori ras dalam masyarakat majmuk ditentukan oleh sejarah; dan kategori berkenaan dibentuk oleh persaingan dan konflik antara kumpulan. 2.12 Teori Pasaran Buruh Terpisah Teori Edna Bonacich (1972: 549-59 dan 1973: 583-94) bermula daripada kesedaran terhadap perbezaan kuasa dalam pasaran buruh yang boleh melahirkan pertelingkahan antara golongan buruh kulit putih dan kulit hitam. Teori Bonacich boleh dibentangkan seperti berikut: Sesetengah pasaran buruh terpisah mengikut garis etnik, yakni kumpulan ras yang mendapat gaji tinggi dibezakan daripada buruh murah mengikut ciri-ciri etnik (ciri- ciri ras juga diambil kira). Terdapat tiga kelas utama yang mempunyai kepentingan yang berbeza: 1) Ahli kelas peniaga berkehendakkan buruh murah dan lemah untuk bersaing dengan peniaga-peniaga lain. 2) Buruh yang dibayar gaji tinggi diancam oleh kewujudan buruh murah. 3) Kelemahan kuasa kelas buruh murah menakutkan buruh bergaji tinggi kerana mereka ini mudah dikuasai oleh kelas peniaga. 4) Kelas buruh bergaji tinggi akan mencari jalan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dengan cara mendesak agar buruh murah dikeluarkan dari kawasan/negara mereka, atau berpegang kepada susunan kasta yang meletakkan kelas buruh murah kepada pekerjaan tertentu dan bergaji kecil. • Pertelingkahan etnik terjadi kerana wujud persaingan berdasarkan harga buruh yang berbeza. Pertelingkahan etnik ialah satu manifestasi konflik kelas antara yang bergaji tinggi dengan yang bergaji rendah dalam kelas buruh. 2.13 Teori Pilihan Rasional Tentang Perhubungan Etnik Pendekatan teoretis yang cuba meneliti realiti sosial dengan cara melihat pilihan tingkah laku manusia di peringkat individu dan kumpulan dipopularkan, antara lain oleh Thomas Sowell (1975), Thomas Schelling (1978), Michael Banton (1997), dan Mansor Mohd. Noor (2000). 12
  • 7. Teori pilihan rasional tentang perhubungan etnik mengandaikan bahawa: Individu mempunyai matlamat dan kecenderungan yang berbeza. Individu bertindak untuk memaksimumkan ganjaran material dan kedudukan sosial. Tingkah laku individu merupakan fungsi sentimen peribadi dan kepercayaan terhadap kelompok sebayanya. Apabila individu membuat satu pilihan untuk bertindak, tindakan pilihan yang lain akan tertutup. Semasa individu bertindak ke atas pilihan tingkah laku yang dibuat, individu berkenaan akan mewujudkan ikatan sosial yang lebih erat dengan individu lain yang terlibat. Apabila individu gagal memaksimumkan ganjaran yang dihajati, dia akan mengambil tindakan menggembleng kekuatan kolektif, dan dalam hal ini dimensi yang dipilih akan menggambarkan konteks sejarah-budaya masyarakat tersebut. Apabila individu gagal memaksimumkan kepuasan melalui pelbagai dimensi kumpulan sosial yang wujud dalam masyarakat, dia akan berpaling kepada soal-soal keagamaan dan ketuhanan. Apabila individu memilih untuk menggembleng kolektif berdasarkan warisan kebudayaan, batas kumpulan bersifat terbuka. Apabila individu memilih untuk menggembleng kolektif berdasarkan warisan fizikal, batas kumpulan bersifat terbuka. 2.14 Kerangka Konseptual Ideologi dan Etnik di Malaysia Di Malaysia konsep ras berdasarkan ikatan darah tidak digunakan dalam memahami hubungan antara rakyat yang pelbagai budayanya. Jika konsep ras digunakan pun, penggunaan ini lebih bersifat peninggalan ilmu kolonial yang sudah tidak mampu menjelaskan realiti sosial di negara ini. Konsep yang digunakan untuk mentakrifkan kaum Melayu ialah konsep etnik; bercirikan budaya, bahasa, dan agama. Konsep etnik telah diguna pakai di Alam Melayu sebelum kedatangan penjajah Barat lagi. Terdapat dua peringkat konsep etnik di Alam Melayu ini. Konsep etnik payung diguna pakai sebagai pengikat rumpun Melayu walaupun mereka terdiri daripada ratusan subetnik. Subetnik akan terikat dengan ciri budaya, bahasa, dan agama yang sama. Namun begitu, setiap subetnik ini pula membina batas etnik masing-masing untuk membina identiti kumpulan mereka. Oleh sebab setiap subetnik memiliki ciri budaya rumpun Melayu, batas etnik setiap kumpulan didapati berubah-ubah dan ini memberi kedinamikan yang tersendiri kepada perhubungan kaum di Alam Melayu, amnya dan di Malaysia, khususnya. Ini bermakna pendekatan integrasi lebih menjadi amalan budaya setempat dalam pembentukan masyarakat yang terdiri daripada kumpulan etnik yang masih mengamalkan perantauan sebagai kaedah membina mobiliti sosial mereka. Manakala, asimilasi sebagai asas pembentukan negara bangsa lebih bersifat amalan yang dipengaruhi oleh penjajah dan cenderung memaksa kumpulan etnik lain lenyap dalam kumpulan mereka atau diletakkan di status sosial yang rendah kerana perbezaan darah. Jika integrasi etnik merupakan amalan di rantau ini, maka fenomena mengutamakan perhubungan sesama etnik, terutama semasa berada dalam lokasi sosial yang tidak menentu dan berisiko, menjadi satu kebiasaan dan tidak bersifat negatif atau emotif. Pemilihan perhubungan bersifat etnik ini lebih berfungsi sebagai satu mekanisme untuk berhadapan 13
  • 8. dengan suasana yang mencabar. Pengelompokan etnik yang menjadi amalan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi, semasa belajar di luar negara atau di peringkat awal penghijrahan ke bandar dari desa, ialah satu fenomena perhubungan yang biasa yang dapat diperhatikan di kalangan ahli mana-mana kumpulan. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, yakni rakyatnya hidup dalam satu unit politik yang sama tetapi berasingan. Setiap segmen dalam masyarakat ini mempunyai nilai, kepercayaan, bahasa, dan cara hidup yang tersendiri. Dalam pengukuran batas etnik, sekiranya didapati wujud batas etnik yang nipis atau tiada batas etnik langsung, maka individu akan mengutamakan perkiraan yang bersifat bukan etnik yang menggalakkannya berhubung dengan individu-individu lain secara silang kumpulan. Dalam suasana sosial yang berbentuk sebegini, masyarakat lebih bersifat bersatu padu dan harmoni. Justeru wacana negara idaman perlulah merangkumi Ketuanan Melayu Raya, Ketuanan Melayu Islam, Malaysian Malaysia, dan Ketuanan Melayu dalam masyarakat pelbagai budaya. Namun demikian, wujud juga penggemblengan etnik dan agama dalam persaingan mengejar ganjaran material dan kedudukan sosial. Masalah ini wujud kerana kumpulan etnik yang terlibat mempunyai tujuan yang bercanggah dan mereka bersaing untuk mendapatkan sumber-sumber yang terhad. Jika persaingan berlaku, kelompok-kelompok yang terlibat akan menganggapnya sebagai satu cabaran yang boleh menggugat dan menghasilkan perasaan benci. Soal kedudukan sosial pula timbul kerana seseorang individu dibesarkan dalam kelompoknya sahaja, dan dengan demikian dia hanya akan menerima pendapat, sikap, dan kepercayaan yang terdapat dalam kelompok itu. Sesebuah kelompok biasanya mempunyai satu ideologi ataupun pandangan tertentu tentang dunia dan persekitarannya. Selain itu, wujud juga pihak pelampau dan cauvinis etnik dan agama yang merupakan seseorang yang mempunyai cara pemikiran dan tingkah laku yang bukan sahaja egosentrik tetapi menafikan dan menghalang hak-hak orang lain dan selanjutnya turut menghalang integrasi etnik dalam sesebuah masyarakat. 2.15 Ideologi Perhubungan Etnik Ideologi perhubungan etnik boleh dikategorikan kepada empat. Kategori pertama ialah ideologi ketuanan etnik wacana pramerdeka yang terdiri daripada ketuanan Melayu Raya, Ketuanan Melayu Islam, dan Ketuanan Melayu. Ideologi perhubungan etnik kedua ditakrifkan sebagai ideologi kecairan etnik (melting pot) dan lebih merupakan satu utopia. Ideologi perhubungan etnik yang ketiga ialah masyarakat pelbagai budaya yang merupakan hegemoni satu kumpulan etnik dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama. Manakala yang keempat ialah masyarakat multietnik di mana setiap kelompok masyarakat sentiasa diberi ruang, sama ada peluang atau kedudukan, yang sama rata antara kumpulan etnik. 2.16 Tahap Perhubungan Etnik Kerangka Teoretis Dari segi kerangka teoretis, teori masyarakat majmuk yang diketengahkan oleh Furnivall masih dijadikan bahan rujukan untuk membicarakan perhubungan etnik di Malaysia. Namun, kajian oleh Coppel dan Hefner telah membuktikan kumpulan etnik memang wujud tetapi 14
  • 9. gambaran yang mereka hidup terpisah, dan hanya bertembung semasa membeli barang di pasar perlu diteliti kembali. Di samping memiliki parameter kumpulan etnik masing-masing, etnik Melayu, Kadazan-Dusun, Bidayuh, Iban, Cina, India, dan lain-lain didapati telah menerima budaya setempat dan tidak hidup terpisah seperti yang digambarkan dalam model masyarakat majmuk Furnivall. Amalan oleh setiap ahli kumpulan untuk terikat dengan etnik payung berdasarkan budaya, bahasa, dan agama setempat telah mengikat dan mengurangkan jarak perhubungan antara kumpulan etnik di negara ini, hingga di sebalik kemajmukan masyarakatnya, hubungan yang harmoni dan bersatu padu dapat diperhatikan berlaku. Namun begitu, kewujudan amalan hubungan berteraskan etnik di peringkat kumpulan juga kadang kala boleh merenggangkan dan menimbulkan konflik antara mereka. Dalam suasana ini, tidak dapat dinafikan perhubungan etnik di Malaysia lebih mudah dicorakkan oleh hubungan politik berbanding dengan ketidakseimbangan ekonomi (Leo Kuper 1974 dan Horowitz 1989). Di Malaysia, selain perkiraan pasaran, struktur masyarakat dan politik negara juga meletakkan mekanisme politik sebagai alat untuk mengagihkan sumber material dan kedudukan sosial. Masyarakat Malaysia selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah mengalami beberapa perubahan hingga jurang pendapatan antara etnik telah dikurangkan, kemiskinan telah hampir dibasmikan, dan budaya hidup kelas menengah telah menjadi kenyataan (Chamhuri Siwar 2005). Transformasi sosial ini telah menipiskan batas etnik di kalangan rakyat pelbagai etnik dan tingkah laku mereka lebih dicorakkan oleh perkiraan ganjaran material, status sosial, dan ikatan sosial berbanding dengan kepentingan etnik (Abdul Rahman Embong 2001 dan Johan Saravanamuttu 1992). Ini bermakna batas etnik wujud tetapi bersifat sekunder. Dalam kehidupan harian, perkiraan etnik tidak menjadi perkiraan utama. Malahan perkiraan peribadi lebih diutamakan. Senario perhubungan etnik ini lebih dapat diperhatikan di barat Semenanjung. Di utara dan timur Semenanjung, perkiraan agama lebih diutamakan, manakala di Sabah dan Sarawak, isu kewilayahan lebih berpengaruh sebagai perkiraan asas kepada tindakan berbentuk kumpulan (Mansor Mohd. Noor 2004). Ini bermakna, tiada satu kerangka teori pun yang boleh menjelaskan peri laku perhubungan etnik di Malaysia. Masyarakat pelbagai budaya di Malaysia sudah bersifat kompleks dan berbeza. Ini bermakna konsep etnisiti telah mempunyai kedinamikannya yang tersendiri. Konsep etnisiti boleh menjadi penyebab dan boleh juga menjadi akibat. Jika etnisiti itu akibat, batas etniknya nipis, dan perkiraan etnik boleh terbentuk oleh perkiraan risiko dalam perjalanan masyarakat. Ini menunjukkan beberapa masalah yang wujud dalam perjalanan masyarakat, seperti kesan pembangunan, tadbir urus negara, dan lain-lain yang tidak diingini yang telah berlaku perlu diberikan tumpuan dalam kajian, bukan sekadar parameter etniknya. Manakala jika etnisiti itu penyebabnya, ini bermakna pengaruh ilmu kolonial tentang konsep ras masih diguna pakai dalam penganalisisan masyarakat, walhal kemampuan konsep ini untuk menjelaskan realiti sosial hari ini sudah ditolak oleh beberapa sarjana. Justeru kemampuan kita untuk memahami perubahan dalam masyarakat dan bukan memahami ciri etnisiti semata-mata adalah penting bagi memastikan pemilihan kerangka konseptual dan teoretis yang akan diguna pakai dapat menjelaskan keharmonian dan konflik etnik di negara ini. 15
  • 10. 2.17 Kesimpulan Kebanyakan kajian perhubungan etnik yang lain di Malaysia telah banyak memberikan penekanan kepada perbezaan antara Melayu dengan Cina dan mereka telah mengabaikan kewujudan aspek-aspek persamaan, perkongsian nilai, dan sikap saling menghormati antara kaum ini (Fatimah Daud 1984, Raymond Lee 1989, dan Mohd. Noor Nawawi 1991). Jika batas etnik yang nipis telah wujud dalam tingkah laku orang Melayu dan Cina dan tingkah laku mereka lebih dipengaruhi oleh nilai-nilai bukan etnik, ini menunjukkan dua individu daripada kumpulan etnik yang berbeza boleh membina hubungan yang tidak bersifat etnik; hubungan mereka dikenal pasti sebagai hubungan sosial. Kita tidak boleh menganggap semua perhubungan sosial antara orang daripada kumpulan ras yang berbeza sebagai hubungan etnik. Perhubungan etnik hanya berlaku apabila hubungan tertentu itu telah diwarnai oleh ciri-ciri sosial berdasarkan kesedaran dan perbezaan perkiraan dimensi kaum. Ini menandakan hubungan silang budaya sudah wujud di kalangan masyarakat pelbagai budaya di negara ini. Dengan kata lain, perpaduan kaum telah terbina dan perhubungan antara kumpulan etnik adalah harmoni. 16